Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Platform pemasaran buku berasaskan kecerdasan buatan (AI); Shimmr, dan syarikat teknologi penghasilan kandungan berbagai bahasa; Ailaysa Technologies, diumumkan sebagai penerima bersama Anugerah Inovasi dalam Penerbitan olah Persatuan Penerbit Antarabangsa (IPA) 2026, sekali gus mengiktiraf inovasi yang berpotensi untuk memacu masa depan industri penerbitan global.
Anugerah tersebut disampaikan pada Majlis Anugerah IPA 2026 yang berlangsung bersempena dengan Kongres Penerbit Antarabangsa Ke-35 di Grand Hyatt Kuala Lumpur Selasa lalu.
Penyampai anugerah tersebut, Pengerusi Sharjah Book Authority, Sheikha Bodour Al Qasimi berkata, anugerah berkenaan diperkenalkan pada Kongres IPA di Jakarta pada 2022 bagi mengiktiraf individu dan organisasi yang memperkenalkan inovasi dalam penerbitan yang boleh dicontohi serta dimanfaatkan oleh industri di seluruh dunia.
Menurut beliau, panel juri menghadapi kesukaran memilih pemenang tunggal berikutan kekuatan idea yang dipersembahkan, sekali gus memutuskan untuk mengiktiraf dua penerima pada edisi tahun ini.
“Penganugerahan ini meraikan inovasi yang mampu membawa perubahan kepada industri penerbitan dan boleh diteladani oleh penerbit lain di seluruh dunia,” katanya.
Menerima anugerah bagi pihak Ailaysa Technologies, Senthil Nathan menyifatkan pengiktirafan itu sebagai penghormatan terbesar sepanjang kerjayanya dalam dunia buku dan bahasa.
Beliau berkata, misi utama Ailaysa adalah untuk memastikan setiap buku yang diterbitkan dalam apa jua bahasa dapat dinikmati oleh pembaca di seluruh dunia dalam bahasa pilihan mereka tanpa menjejaskan hak penulis, penterjemah dan penerbit.
“Setiap buku yang ditulis dalam apa-apa bahasa, oleh mana-mana penulis dan diterbitkan oleh mana-mana penerbit harus mampu sampai kepada pembaca di seluruh dunia dalam bahasa yang mereka pilih,” katanya.
Sementara itu, pengasas Shimmr, Nadim Sadek berkata, cabaran terbesar industri penerbitan pada ketika ini adalah untuk memastikan buku-buku mereka dapat ditemukan oleh pembaca yang tepat.
Katanya, platform Shimmr menggunakan AI bagi menghasilkan strategi pemasaran khusus untuk setiap judul berdasarkan kategori, budaya, khalayak sasaran dan kedudukan sesebuah buku di pasaran.
“Kami mahu memastikan setiap buku mempunyai peluang yang lebih baik untuk ditemukan oleh pembaca yang benar-benar memerlukannya,” katanya.
Beliau berkata lebih 250 penerbit di seluruh dunia kini menggunakan platform tersebut, sekali gus membuktikan keyakinan industri terhadap pendekatan baharu yang diterapkan.
Pada majlis sama, Alfredo Weiszflog diumumkan sebagai penerima Anugerah Cemerlang IPA (IPA Champion Award) atas sumbangan lebih lima dekad terhadap pembangunan industri penerbitan di Brazil dan peringkat antarabangsa.
Sheikha Bodour berkata bahawa Weiszflog memainkan peranan penting untuk memodenkan industri penerbitan Brazil menerusi kepimpinannya di Companhia Melhoramentos, serta menyumbang secara aktif dalam pelbagai jawatankuasa IPA, termasuklah Jawatankuasa Hak Cipta, Kebebasan Menerbitkan dan Literasi.
Beliau juga berjaya memperkukuh industri penerbitan Brazil ketika menerajui Brazilian Book Chamber, serta memperkenalkan pelbagai inisiatif bagi menggalakkan budaya membaca.
Memandangkan Weiszflog tidak dapat hadir ke Kuala Lumpur, anugerah tersebut diterima bagi pihaknya oleh Pengarah Penerbitan Girassol Brasil, Karine Pansa.
Dalam rakaman video yang ditayangkan pada majlis itu, Weiszflog berkata bahawa pengiktirafan tersebut merupakan pencapaian yang diimpikannya sejak pertama kali mengunjungi Pesta Buku Frankfurt pada 1969.
Menurut beliau, pengalaman melihat industri penerbitan Brazil yang pada ketika itu masih ketinggalan mendorongnya untuk memperjuangkan profesionalisme dalam sektor berkenaan.
Antara pencapaian yang paling dibanggakannya termasuklah pembangunan buku audio Ledor yang direka khas untuk membantu pelajar cacat penglihatan dan disleksia melanjutkan pengajian di universiti.