Diterbitkan pada 10 Jun 2026, 16:55

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Minden – Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh (PPPJJ), Universiti Sains Malaysia (USM) mencatat suatu pencapaian penting menerusi penganjuran program mobiliti pelajar antarabangsa pertama ke Fergana State University (FSU), Uzbekistan melalui Program International Learning & Cultural Exchange (USM-FSU ILCE) yang berlangsung dari 1 Mei 2026 hingga 8 Mei 2026.

Program tersebut melibatkan penyertaan tujuh orang pelajar PPPJJ yang berpeluang mengikuti pelbagai aktiviti akademik dan kebudayaan, termasuklah penyertaan dalam persidangan antarabangsa, lawatan kampus, sesi interaksi bersama-sama pelajar FSU dan penerokaan warisan budaya Uzbekistan yang kaya dengan sejarah dan tradisi.

Pelajar dibawa melawat makmal di Fergana State University.

Salah satu kemuncak program termasuklah pelancaran Pavilion Malaysia di FSU yang mengetengahkan keunikan kebudayaan Malaysia kepada komuniti universiti dan masyarakat setempat.

Delegasi PPPJJ memperkenalkan pelbagai elemen budaya Malaysia melalui pameran pakaian tradisional, permainan kebudayaan, demonstrasi penyediaan roti jala serta sajian makanan tradisional yang menjadi kebanggaan negara seperti baulu, dodol, rempeyek dan teh tarik.

Selain memperkukuh pengalaman akademik, program ini turut membuka ruang kepada pelajar untuk mengembangkan perspektif global, membina jaringan persahabatan antarabangsa serta meningkatkan kefahaman antara budaya.

Pelibatan dalam program mobiliti ini juga memberikan peluang kepada pelajar untuk menjadi duta kecil USM dan Malaysia di persada antarabangsa.

Pelajar USM menunjukkan cara untuk membuat roti jala di Pavilion Malaysia di Fergana State University.

PPPJJ USM merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua peserta yang telah menunjukkan komitmen, profesionalisme dan semangat kecemerlangan sepanjang program berlangsung.

Inisiatif ini selaras dengan aspirasi USM untuk melahirkan graduan berfikiran global, berdaya saing dan mampu menyumbang kepada pembangunan masyarakat dunia tanpa mengira sempadan.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi