Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Budaya membaca perlu dipupuk sejak usia awal menerusi akses terhadap bahan bacaan berkualiti dan ekosistem yang menyokong pembelajaran sepanjang hayat, kata Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek.
Beliau berkata, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memberikan penekanan terhadap usaha memperkukuh budaya ilmu melalui pengukuhan perpustakaan sekolah, pusat sumber pendidikan serta pelbagai program galakan membaca.
Menurutnya, kurikulum baharu prasekolah yang diperkenalkan tahun ini turut mengandungi segmen khas dikenali sebagai Membaca Bersama atau PAKAT yang melibatkan kerjasama ibu bapa, komuniti dan sekolah bagi menyemai minat membaca dalam kalangan kanak-kanak.
Budaya membaca bahan bacaan yang berkualiti mesti bermula daripada umur dini. Oleh sebab itu, KPM telah meluluskan RM10 juta bagi membekalkan bahan bacaan berkualiti kepada semua prasekolah KPM,” katanya ketika merasmikan Simposium Antarabangsa Kepustakaan, Terjemahan dan Kecerdasan Buatan (LiTr.AI) 2026 di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka, semalam.

Beliau turut menyentuh pengumuman Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim mengenai penerusan Baucar Buku MADANI bernilai RM100 untuk pelajar sekolah menengah dan institusi pendidikan tinggi.
Menurut beliau, inisiatif tersebut penting bagi memastikan akses rakyat terhadap bahan bacaan berkualiti terus dipertingkatkan meskipun berdepan dengan cabaran kos sara hidup.
“Baucar buku ini menjadi antara inisiatif penting negara kerana akses terhadap buku ialah asas bagi pembinaan budaya ilmu,” katanya.
YB Fadhlina turut menegaskan bahawa perpustakaan perlu dilihat sebagai institusi pembinaan tamadun dan bukannya sekadar tempat menyimpan buku.
Beliau merujuk buku Libraries and the New Development of Civilization karya Syed Muhammad Naquib al-Attas yang menegaskan bahawa perpustakaan mempunyai kekuatan lebih besar daripada gudang senjata kerana peranannya yang membentuk peradaban manusia.
Selain itu, beliau turut berkongsi pengajaran daripada sastera Turkiye Pustakawan Berkeldai yang menceritakan usaha seorang pustakawan membawa buku ke kawasan pedalaman demi memastikan akses ilmu sampai kepada masyarakat.
Katanya, peranan pustakawan masih relevan dan penting walaupun dunia semakin dipengaruhi teknologi digital dan kecerdasan buatan.
Saya percaya ruang ini boleh terus diperkasakan dengan bantuan teknologi. Namun begitu, pembangunan teknologi mesti berteraskan budaya ilmu dan nilai tempatan,” katanya.
Beliau berharap LiTr.AI 2026 menjadi medan percambahan idea, perkongsian pengalaman dan pencarian penyelesaian bagi memperkukuh masa hadapan bidang kepustakaan, penterjemahan dan kecerdasan buatan di rantau ini.