Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur — Budaya membaca yang diamalkan secara konsisten mampu menjadi pemangkin kejayaan dalam kerjaya dan kehidupan, kata Ahli Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), YBhg. Dato Dr. Jeniri Amir.
Beliau berkata demikian ketika menjadi panel dalam program Sembang Santai sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), petang tadi.
Menurut beliau, amalan membaca telah sebati dalam kehidupannya sehingga menjadi sebahagian daripada rutin harian yang menyumbang kepada perkembangan ilmu, pemikiran dan pencapaian diri.

Menurut Dato Dr. Jeniri, minat membaca berkembang apabila beliau menyedari bahawa buku berupaya membentuk peribadi, membantu perkembangan kerjaya dan meningkatkan taraf kehidupan.
“Tiada hari tanpa membaca kerana buku banyak membantu saya dalam kehidupan dan kerjaya,” katanya.
Beliau mendedahkan bahawa koleksi peribadinya kini melebihi 11,000 naskhah buku, manakala purata bacaannya mencecah sekurang-kurangnya 25 buah buku dalam tempoh dua bulan.
Dalam perkongsiannya, beliau turut mengimbau perjalanan hidup yang bermula daripada keluarga kurang berkemampuan di luar bandar Sarawak sebelum berjaya mengukuhkan kedudukan sebagai profesor, penulis, pengamal media dan tokoh akademik.
Menurut beliau, latar belakang bukan penentu mutlak kejayaan seseorang, sebaliknya sikap, usaha dan kesediaan menimba ilmu melalui pembacaan merupakan faktor yang lebih penting dalam membentuk masa hadapan.
Beliau turut mengesyorkan beberapa karya pembangunan diri dan kepimpinan yang mampu membentuk pemikiran positif, serta meningkatkan potensi individu, antaranya termasuklah How to Win Friends and Influence People karya Dale Carnegie dan Think and Grow Rich karya Napoleon Hill.
Dato Dr. Jeniri yang telah menghasilkan lebih daripada 60 buah buku berkata, pembacaan biografi, buku kepimpinan dan karya ilmiah berkualiti dapat membantu seseorang memahami pengalaman tokoh berjaya, serta membina pemikiran yang lebih matang dan berwawasan.
Sehubungan dengan itu, beliau menggesa generasi muda agar menjadikan amalan membaca sebagai budaya hidup bagi meningkatkan daya saing, memperkaya ilmu dan memperluas peluang kejayaan pada masa hadapan.
“Buku ialah guru, sahabat, penyuluh jalan dan sumber inspirasi yang membantu membentuk pemikiran, serta hala tuju kehidupan seseorang,” katanya.
Program anjuran DBP itu turut diserikan dengan sesi kuiz dan perkongsian pengalaman membaca yang mendapat sambutan daripada pengunjung PBAKL 2026.