Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Lagu rakyat masih popular dan layak untuk dipertandingkan demi kelangsungan lagu tersebut pada masa akan datang.
Demikian menurut pensyarah kanan Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya (UM), YBrs. Dr. Shafa’atussara Silahudin ketika menjadi ahli panel dalam sesi “Bual Bicara Lagu Rakyat” bersempena dengan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026 yang berlangsung di Dewan Tun Hussein Onn, Aras 2, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), petang tadi.
Beliau berkongsi pengalaman sewaktu menjadi juri dalam Pertandingan Nyanyian Lagu Rakyat anjuran Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor di Shah Alam pada tahun 2024.
“Antara lagu daerah yang sering dibawa oleh peserta termasuklah lagu Lemak Manis, Joget Wan Lebor (Perak) dan Bongai (Negeri Sembilan).
“Lagu ini popular dalam pertandingan kerana melodi dan iramanya yang menarik, ceria, serta ketersediaan sumber lagu iringan (minus-one) yang mudah didapati oleh masyarakat umum,” katanya.
Bagi menjelaskan peranan lagu rakyat, beliau memperincikan perbezaan antara lagu rakyat, lagu tradisonal dan lagu moden yang merangkumi tujuan, kaedah pelaksanaan dan bentuk persembahannya.
Menurutnya, lagu rakyat disampaikan secara tidak formal, santai dan dimainkan ketika waktu senggang; lagu tradisional mempunyai konteks persembahan yang lebih formal yang melibatkan elemen gerak tari, lirik, melodi yang dicipta, serta susunan muzik yang tersendiri, manakala lagu moden pula merujuk lagu genre pop semasa yang sering didengari di radio, televisyen, mahupun aplikasi penstriman Spotify.
Menceritakan pengalaman beliau yang bergiat aktif menekuni lagu irama Melayu Asli berasaskan struktur pantun, YBrs. Dr. Shafa’atussara berkata bahawa minat tersebut sebenarnya berakar umbi sejak beliau masih kecil kerana sudah terbiasa mendengar datuk, nenek dan moyangnya mendendangkan lagu tradisional dan lagu rakyat yang berunsurkan haiwan seperti lagu Enjit-enjit Semut.
Beliau berkata, di sebalik lagu Burung Kakak Tua terdapat unsur pertembungan budaya yang berlaku pada era penjajahan Portugis di Nusantara yang memberikan idea terhadap penciptaan lagu kanak-kanak ini.
“Pengalaman saya sewaktu menuntut di Belanda, lagu Burung Kakak Tua ini pernah dirakamkan semula dan dipopularkan dengan slanga yang amat unik oleh seorang penyanyi warganegara Belanda kelahiran Indonesia bernama Anneke Grönloh,” katanya.
Selain itu, beliau turut berkongsi tentang lagu Nina Bobo, iaitu sebuah lagu dodoian yang melodi mendayunya sering kali dianggap memberikan suasana seram oleh sebahagian masyarakat moden.

Lagu Nina Bobo diangkat semula oleh beliau ketika mendendangkan lagu tersebut secara langsung dalam Seminar Lagu Kanak-kanak yang dianjurkan secara bersama oleh Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di Auditorium Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri (JKKN) pada tahun 2018.
Beliau berkata,
Melodi yang mendayu tersebut bukanlah bertujuan untuk menakut-nakutkan, sebaliknya berfungsi sebagai medium komunikasi, melambangkan kasih sayang, serta membawa doa dan harapan ibu bapa terhadap anak.
Selain untuk menidurkan anak, lagu dodoian seperti Nina Bobo berperanan merapatkan hubungan silaturahim antara ibu bapa dengan anak.
Dalam pada itu, YBrs. Dr. Shafa’atussara juga mengaitkan fungsi emosi lagu rakyat dengan bidang penyelidikan semasanya yang memfokuskan muzik dan kesejahteraan.
Beliau bersama-sama dengan pasukan penyelidik rentas disiplin di Universiti Malaya (UM) yang menggabungkan pakar dari Fakulti Perubatan, Fakulti Ekonomi, Fakulti Seni Kreatif, Fakulti Pendidikan dan Pusat Pengajian Melayu telah berjaya menghasilkan suatu modul kesihatan dan kesejahteraan yang dinamakan Music Care.
“Modul Music Care berjaya menghimpunkan enam buah lagu tradisi dan lagu rakyat pelbagai kaum di Malaysia, termasuklah lagu Burung Kakak Tua, Dayung Sampan, serta lagu tradisi masyarakat Cina dan India,” katanya.
Program anjuran Akademi DBP ini dikendalikan oleh perancang bahasa, Encik Muhammad Affan Mohd Yunus yang bertindak sebagai moderator.