Diterbitkan pada 7 Jun 2026, 11:47

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Tasek Gelugor – Keindahan warisan budaya Sabah terus mekar dan mendapat tempat di hati masyarakat apabila lebih 1000 penonton membanjiri Dewan Tuanku Syed Putra, Universiti Sains Malaysia (USM) bagi menyaksikan penganjuran Malam Citra Bayu (MCB) Ke-18, semalam.

Program anjuran Pertubuhan Siswa Siswi Sabah (PERSIS) USM telah dirasmikan oleh Pembantu Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.44 Tulid, Yang Berhormat (YB) Jordan Jude Ellron, manakala Naib Canselor USM pula diwakili oleh Prof. Dr. Azizah Omar, Pengarah Pusat Pembangunan H.E.B.A.T USM.

Dalam ucapan perasmian, YB Jordan Jude Ellron memuji komitmen mahasiswa dalam memelihara dan memartabatkan warisan budaya Sabah melalui seni persembahan. Beliau menegaskan bahawa program seperti Malam Citra Bayu mempunyai peranan penting dalam menyatukan mahasiswa daripada pelbagai latar belakang kaum, agama dan negeri melalui penghayatan seni dan budaya.

Mahasiswa khususnya anak-anak Borneo perlu terus memperkukuh semangat menuntut ilmu, membina jati diri dan memanfaatkan peluang yang tersedia di institusi pengajian tinggi bagi melahirkan generasi yang berilmu, berkemahiran dan mampu menyumbang kepada pembangunan masyarakat serta negara.

Beliau turut menyifatkan pelibatan mahasiswa daripada pelbagai universiti dalam pertandingan tersebut sebagai manifestasi semangat Malaysia MADANI yang meraikan kepelbagaian dan menghargai warisan budaya sebagai aset penting negara.

Mengangkat slogan “Dentang Kalawon, Megar Tradisi Tari”, Malam Citra Bayu Ke-18 tampil sebagai platform yang bukan sahaja mengetengahkan keindahan seni tari Sabah, malah menjadi wadah memperkukuh perpaduan, semangat kebersamaan dan penghargaan terhadap kepelbagaian budaya Malaysia.

Sebanyak lapan universiti dari seluruh negara telah berentap dalam Malam Citra Bayu Ke-18 menerusi persembahan yang mengetengahkan keunikan budaya dan warisan masyarakat Sabah. Universiti yang mengambil bahagian ialah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menerusi kumpulan Kesuma Bayu, Universiti Sains Malaysia (USM) melalui kumpulan Geris Sumayau, Universiti Malaysia Sabah (UMS) menerusi ARTUMS, Universiti Teknologi MARA (UiTM) melalui kumpulan Runduk Dahai, Universiti Putra Malaysia (UPM) menerusi Tagondu, Universiti Selangor (UNISEL) melalui kumpulan Rhythm Tari, Universiti Utara Malaysia (UUM) menerusi Rentak Rumandawi, dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) melalui kumpulan Rentak Bayu.

Kesemua pasukan mempersembahkan karya tari kreatif yang sarat dengan elemen budaya, adat resam dan identiti masyarakat Sabah, sekali gus menjadikan pertandingan tahun ini antara yang paling sengit dan berkualiti dalam sejarah penganjurannya.

Sepanjang malam berlangsung, penonton disajikan dengan persembahan seni tari kreatif yang memukau hasil sentuhan bakat mahasiswa dari lapan universiti yang bersaing. Setiap pasukan mempersembahkan karya yang diinspirasikan daripada budaya, adat resam, kepercayaan dan kehidupan masyarakat pelbagai etnik di Sabah.

Gabungan elemen dramatari, muzik tradisional, visual pentas, pencahayaan kreatif dan kostum yang mempesonakan berjaya mencipta pengalaman seni yang luar biasa kepada para penonton. Setiap persembahan bukan sekadar hiburan, malah membawa mesej tentang sejarah, identiti dan kekayaan warisan budaya masyarakat Sabah.

Malam yang penuh gemilang itu turut diserikan dengan persembahan khas artis jemputan terkenal tanah air, Stacy Anam, yang berjaya menghangatkan suasana dewan menerusi persembahan bertenaga dan penuh karisma. Kehadiran penyanyi kelahiran Sabah itu menambahkan lagi kemeriahan acara yang sememangnya dinanti-nantikan oleh warga kampus dan pencinta seni budaya.

Kemuncak pertandingan menyaksikan pasukan Tagondu dari UPM dinobatkan sebagai Johan Malam Citra Bayu Ke-18. Persembahan mereka yang mantap dari segi teknik, penceritaan, kreativiti dan penghayatan budaya berjaya menambat hati barisan juri sekali gus membolehkan mereka membawa pulang trofi kejuaraan.

Naib Johan pula menjadi milik pasukan ARTUMS dari UMS yang mempamerkan persembahan berkualiti tinggi dengan identiti budaya yang kuat dan persembahan yang penuh penghayatan.

Sementara itu, tempat ketiga disandang oleh wakil tuan rumah, USM yang turut menampilkan persembahan menarik serta mendapat sorakan hangat daripada para penonton.

Selain anugerah utama, beberapa anugerah khas turut diberikan bagi mengiktiraf kecemerlangan peserta dan pasukan dalam kategori tertentu.

Anugerah Penari Lelaki Terbaik dimenangi oleh wakil UPM hasil persembahan yang mantap dan penuh karisma. Manakala anugerah Penari Perempuan Terbaik menjadi milik wakil UMS yang berjaya mempamerkan kelembutan gerak tari serta penghayatan watak yang luar biasa.

Bagi kategori Koreografi Terbaik, anugerah tersebut juga dimenangi oleh UMS yang berjaya menampilkan susunan gerak tari kreatif, tersusun dan mempunyai nilai estetika yang tinggi.

Anugerah Busana Terbaik pula dimenangi oleh UKM menerusi kostum yang menonjolkan keindahan budaya Sabah secara autentik dan menarik, manakala UPM sekali lagi membawa pulang anugerah Muzik Terbaik hasil penataan muzik yang berjaya menghidupkan jalan cerita persembahan mereka.

Terdahulu, Malam Citra Bayu yang kini memasuki penganjuran edisi ke-18 terus membuktikan relevansinya sebagai antara program seni budaya mahasiswa paling berprestij di negara ini. Program tersebut bukan sahaja menjadi pentas pertandingan, malah berfungsi sebagai medium pendidikan budaya, pengukuhan perpaduan dan pembangunan sahsiah mahasiswa.

Turut hadir memeriahkan majlis ialah Penasihat 1 PERSIS, Puan Andy Siti Nurhidayah Rahim, Penasihat 2 PERSIS, Puan Samsuriati Syamsuddin, serta Yang Dipertua PERSIS, Gulam NorAhmad Khan Norzaman, bersama barisan pengurusan universiti, alumni, mahasiswa dan tetamu jemputan.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi