Diterbitkan pada 16 Jun 2026, 09:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Daro – “Pemilihan Daro sebagai lokasi Sambutan Ulang Tahun Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ke-70 merupakan satu pengiktirafan terhadap potensi Daro kerana daerah itu menunjukkan perkembangan positif dari segi pembangunan serta keaktifan masyarakatnya terhadap kegiatan bahasa dan budaya.”

Demikian penjelasan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri N.43 Daro merangkap Ahli Lembaga Pengelola DBP, Yang Berhormat (YB) Dr. Haji Safiee Haji Ahmad seterusnya merasmikan program Malam Bahasa Jiwa Bangsa di Dewan Masyarakat Daro, semalam.

Dalam ucapan perasmiannya, beliau menyifatkan tempoh 70 tahun penubuhan DBP bukanlah sesuatu yang singkat, sebaliknya mencerminkan perjalanan panjang yang penuh cabaran dalam usaha membina negara bangsa melalui pemerkasaan bahasa kebangsaan.

“Sejak penubuhan DBP pada tahun 1956, DBP telah memainkan peranan penting dalam memastikan bahasa Melayu terus berkembang sebagai bahasa rasmi, bahasa ilmu dan wahana perpaduan negara.” Ujar beliau semasa merasmikan program Malam Bahasa Jiwa Bangsa.

Beliau turut menjelaskan bahawa fungsi DBP merangkumi pelbagai aspek termasuklah penghasilan kamus, pembinaan istilah, penerbitan buku ilmiah, serta pengembangan sastera sebagai asas pembinaan tamadun bangsa.

Ahli Dewan Undangan Negeri N.43 Daro merangkap Ahli Lembaga Pengelola DBP, YB Dr. Haji Safiee Haji Ahmad semasa menyampaikan ucapan perasmiannya.

Pada masa yang sama, beliau menegaskan bahawa cabaran terhadap bahasa Melayu kini semakin kompleks seiring dengan perkembangan teknologi digital dan kecerdasan buatan.

Usaha berterusan perlu dilakukan bagi memastikan bahasa terus kekal relevan dalam pelbagai bidang.

Sementara itu, Ketua Pengarah DBP, YBhg. Datuk Dr. Hazami Jahari dalam ucapan alu-aluannya menyatakan bahawa pemilihan Daro sebagai lokasi sambutan adalah berasaskan potensinya sebagai daerah yang sedang pesat membangun serta mempunyai kekuatan dalam mengekalkan warisan budaya tempatan.

“Hubungan erat antara DBP dengan masyarakat setempat termasuklah institusi pendidikan dan penggiat seni menjadi faktor penting dalam menjayakan pelaksanaan program bahasa dan sastera di daerah tersebut,” ujar beliau.

Sebahagian penonton yang hadir memeriahkan program.

Menurut beliau, perkembangan pesat yang berlaku di Daro dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini menunjukkan perubahan yang ketara bukan sahaja dari segi pembangunan fizikal, malah dari aspek kesedaran masyarakat terhadap kepentingan bahasa dan budaya.

Beliau turut menegaskan bahawa usaha menyemarakkan bahasa kebangsaan perlu dilaksanakan secara berterusan melalui pelibatan aktif semua lapisan masyarakat terutamanya generasi muda agar bahasa Melayu terus dimartabatkan.

Seterusnya, beliau turut memaklumkan bahawa sambutan peringkat kebangsaan ulang tahun DBP ke-70 akan diadakan di ibu negeri Sarawak, iaitu Kuching pada 22 Jun ini sebagai acara kemuncak yang bertujuan untuk memperluas lagi usaha memartabatkan bahasa, sastera dan warisan budaya di peringkat nasional.

Terdahulu, program Malam Bahasa Jiwa Bangsa yang diadakan bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun DBP ke-70  menyajikan persembahan seni yang memukau, sekali gus menjadi wadah penting untuk memperkenalkan kekayaan budaya Daro kepada khalayak. 

Antara persembahan tersebut ialah silat daripada kumpulan Seni Silat Warisan Melanau, dendangan syair berjudul Restu Jiwa Pahlawan, persembahan tarian Melanau, persembahan bermukun masyarakat Melayu Sarawak dan Labuan yang menggabungkan elemen tarian, paluan muzik tradisional, serta berbalas pantun.

Aksi kanak-kanak Daro mempersembahkan tarian Melanau kepada pengunjung yang hadir.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Pegawai Daerah Daro, YBrs. Encik Zul Haji Usup; Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera DBP, YBrs. Encik Abang Haliman Abang Julai; Pengarah DBP Cawangan Sarawak, YBrs. Dr. Azizul Haji Ismail; dan Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Daro (Sektor Perancangan), YBrs. Encik Ayub Hassim.

Kredit Foto: Khairul Azhar
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi