Oleh Izzat Isa
Diterbitkan pada 27 Jun 2026, 16:43

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Langkawi – Festival Apresiasi Seni Untuk Semua Peringkat Kebangsaan 2026 (FASUS 2026) yang diadakan di Auditorium LADA dan Dewan Badminton LADA, di sini pada 22 dan 25 Jun lalu berlangsung dengan jayanya.

Terdapat dua bentuk pertandingan yang telah dianjurkan, iaitu Pertandingan Sayembara Puisi dan Lagu Perpaduan Madani Sekolah Menengah dan Pertandingan Simfoni Tradisional Perpaduan Madani Sekolah Menengah yang dibahagikan kepada kategori Sekolah Menengah Harian dan Sekolah Menengah Seni Malaysia.

FASUS edisi kali ini telah menobatkan Sekolah Seni Malaysia Sarawak (SSeMS) sebagai johan Pertandingan Sayembara Puisi dan Lagu Perpaduan Madani Kategori Sekolah Menengah Seni Malaysia, selain turut merangkul Anugerah Ciptaan Lagu Terbaik.

Sekolah Seni Malaysia Kuala Lumpur (SSeMKL) pula telah merangkul tempat kedua dan turut memenangi Anugerah Puisi Terbaik, Anugerah Deklamator Terbaik dan Anugerah Persembahan Terbaik, manakala Sekolah Seni Malaysia Elopura menerima Anugerah Khas Juri.

Poster hebahan Festival Apresiasi Seni Untuk Semua Peringkat Kebangsaan 2026 (FASUS 2026).

Untuk Pertandingan Sayembara Puisi dan Lagu Perpaduan Madani Kategori Sekolah Menengah Harian, johan telah dimenangi oleh Kontinjen Johor berserta Anugerah Ciptaan Lagu Terbaik.

Naib johan telah dimenangi oleh Kontinjen Perak, manakala tempat ketiga oleh Kontinjen Selangor berserta Anugerah Persembahan Terbaik, tempat keempat oleh Kontinjen Kelantan berserta Anugerah Puisi Terbaik dan tempat kelima dimenangi oleh Kontinjen Pahang.

Anugerah Deklamator Terbaik pula telah dimenangi oleh Kontinjen Kuala Lumpur, manakala Anugerah Khas Juri pula dimenangi oleh Kontinjen Pulau Pinang.

Sekolah Seni Malaysia Johor (SSeMJ) pula telah dinobatkan sebagai Johan Pertandingan Simfoni Tradisional Perpaduan Madani untuk kategori Sekolah Menengah Seni Malaysia, selain turut mengungguli Anugerah Gubahan Terbaik.

Naib Johan untuk kategori ini telah dimenangi oleh SSeMKL berserta Anugerah Khas Juri.

Tempat ketiga telah dimenangi oleh SMK Elopura, manakala Sekolah Seni Malaysia Perak pula telah mendapat tempat keempat dan telah memenangi Anugerah Vokal Terbaik. Tempat kelima pula dimenangi oleh SSeMS.

Kontinjen Kedah telah disandang sebagai Johan Pertandingan Simfoni Tradisional Perpaduan Madani bagi kategori Sekolah Menengah Harian dan Naib Johan pula dimenangi oleh Kontinjen Perak yang turut merangkul Anugerah Gubahan Terbaik.

Tempat ketiga pula dimenangi oleh Kontinjen Negeri Sembilan, tempat keempat oleh Kontinjen Selangor, dan tempat kelima oleh Kontinjen Johor.

Peserta dan penonton yang menyaksikan Festival Apresiasi Seni Untuk Semua Peringkat Kebangsaan 2026 (FASUS 2026) di Auditorium LADA, Langkawi Kedah.

Dalam kategori ini, Kontinjen Pulau Pinang telah menerima Anugerah Vokal Terbaik, manakala Kontinjen Sarawak menerima Anugerah Khas Juri.

FASUS merupakan festival tahunan anjuran Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang merangkumi semua aspek dalam seni persembahan dan pelbagai bidang muzik.

Pelibatan murid dalam pertandingan ini memberikan pendedahan dan memupuk penghargaan terhadap seni budaya daripada pelbagai bidang kesenian kepada murid peringkat sekolah rendah dan sekolah menengah, serta meningkatkan ilmu pengetahuan, mencungkil bakat dan memupuk penghargaan terhadap nilai kesenian bangsa sebagai teras pembentukan masyarakat berbudaya.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi