Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSintok – Pementasan teater yang mengangkat tema satira politik, Janji Presiden telah melabuhkan tirai dengan jayanya di Dewan Budi Siswa, Pusat Budaya dan Seni, Universiti Utara Malaysia (UUM) pada 26-27 Jun lepas.
Menurut pengarah dan penulis skrip, Joe K.A.S, pementasan teater ini bertujuan untuk melontarkan suatu kritikan sosial bertemakan politik yang disampaikan secara satira supaya naskhah ini tidak terlalu berat untuk dihadam oleh minda penonton.
“Pemilihan wilayah Kozambo hanyalah bersifat simbolik dan tidak merujuk mana-mana negara,” katanya.
Pementasan yang berlangsung dengan lancar itu mengambil masa hampir dua bulan latihan bagi memastikan setiap pelakon benar-benar menguasai dan menjiwai watak yang diberikan.

Antara watak yang paling mencuit hati termasuklah watak Wak Nujum yang dilakonkan Khairil Azwardy.
Penggunaan dialek Jawa yang pekat berjaya menghidupkan unsur komedi sekali gus mengimbangi tema politik yang sarat dengan sindiran dan kiasan tajam itu.
“Janji Presiden merupakan hadiah istimewa kepada para peminat teater setelah beberapa judul yang terdahulu telah dipentaskan bermula dengan Mimpi Presiden, diikuti Dongeng Presiden dan kini Janji Presiden sebagai penutup trilogi.”
Joe K.A.S juga turut menyatakan rasa gembira dengan sambutan yang amat memberangsangkan itu apabila dewan dipenuhi dengan penonton yang terdiri daripada penggiat teater, pelajar dan pencinta seni selama dua hari pementasan berlangsung.
Beliau berharap penonton bukan sahaja terhibur dengan gelagat dan lakonan para pelakon di atas pentas, malah turut terdorong untuk berfikir serta merenung kembali realiti kehidupan yang disampaikan oleh naskhah itu.
Turut hadir menyaksikan pementasan teater tersebut ialah Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Utara, Encik Sharrul Rizal Hashim sebagai tanda sokongan terhadap usaha memperkasa dan melestarikan seni teater di Wilayah Utara.
Kehadiran beliau mencerminkan komitmen DBP dalam menyokong perkembangan aktiviti kesusasteraan dan seni persembahan, khususnya pementasan teater yang menjadi wadah penyampaian pemikiran dan penghayatan nilai budaya kepada masyarakat.
Melalui gabungan lakonan yang mantap, dialog yang berkesan serta elemen humor yang bersahaja, Janji Presiden membuktikan bahawa teater masih relevan sebagai medium untuk menyampaikan kritikan sosial dan politik secara kreatif tanpa mengabaikan nilai seni persembahan.