Diterbitkan pada 27 Januari 2025, 09:15

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Hafizul Osman, penyokong tegar kelab bola sepak Arsenal dan Kedah Darul Aman (KDA) yang merindui kejayaan kelabnya dalam merebut kejuaraan liga, meluahkan kerisauan jika kelab kesayangannya tewas. Mengapakah beliau risau?

Lama sangatkah tinggal dalam ‘gua’ tu? Kami datang nak menyinggah bawa makanan dan minuman, Sekurang-kurangnya kami ada ‘teman’ di dalam gua ni.

Usai sesebuah perlawanan bola sepak yang melibatkan kelab kegemaran, penulis akan tersenyum puas jika menang dan sebaliknya sekiranya kalah. Hal ini kerana akan ada mesej yang mampu menghiris perasaan. Ayat-ayat seperti; Tahniah, minggu ini tinggal dalam gua/ Lama sangat dah tu tinggal dalam gua/ Kena belasah lagi ke/ kelab lauk.

Begitulah antara ayat yang biasa kita lihat dalam hantaran di laman media sosial setelah selesai satu-satunya perlawanan bola sepak. Biasanya perlawanan  melibatkan pasukan yang beraksi di Malaysia mahupun di luar negara terutamanya kelab bola sepak yang beraksi dalam liga bola sepak utama Eropah. Budaya ini digelar sebagai hasut maya (troll).

Budaya hasut maya dalam bola sepak telah bermula sejak kewujudan laman media sosial seperti Facebook, X dan Instagram. Ketiga-tiga platform media sosial ini mampu menyampaikan maklumat dengan lebih pantas. Oleh itu, keputusan perlawanan bola sepak akan lebih mudah dan pantas diperolehi berbanding sebelum ini. Walaupun media sosial sebenarnya mula popular pada awal tahun 2000-an seperti kemunculan laman Friendster dan Myspace akan tetapi laman media sosial ini agak terbatas berbanding laman media sosial yang terkini.

Di Malaysia, budaya hasut maya ini menjadi satu budaya yang popular dalam laman media sosial. Rata-rata warganegara akan terlibat dalam hasut maya  terutamanya dalam hal-hal yang melibatkan politik. Hasut maya dalam bola sepak menjadi budaya yang kedua popular di Malaysia melibatkan semua kaum tidak kira Melayu, India, Cina mahupun etnik di Sabah dan Sarawak. Budaya ini lebih cenderung menggunakan suasana bola sepak Eropah kerana jumlah penyokong sesebuah kelab itu lebih ramai berbanding kelab-kelab bola sepak di Malaysia yang terpisah mengikut negeri.

Liga yang paling popular di Malaysia ialah Liga Perdana Inggeris. Sebut sahaja nama kelab seperti Manchester United, Manchester City, Arsenal, Liverpool, Chelsea dan Tottenham Hotspur, baik orang muda ataupun warga emas pastikan ada kelab kegemaran yang tersendiri. Bahkan, penyokong-penyokong ini ada yang mewujudkan kelab penyokong bola sepak tersendiri.

Tidak seperti kelab-kelab utama Eropah yang lain seperti Real Madrid dan Barcelona (kelab Sepanyol), Inter Milan, AC Milan dan Juventus (kelab Itali) serta Bayern Munich dan Borrusia Dortmund (kelab Jerman), kelab-kelab dari Liga Perdana Inggeris mendapat liputan yang meluas di Malaysia dan perlawanan kelab tersebut sentiasa ditonton setiap hujung minggu.

Kehadiran penyokong yang ramai menjadikan setiap restoran mamak di Malaysia sentiasa penuh. Perkara ini membuatkan bertambah meriah jika ada pertembungan sesama sendiri antara kelab-kelab bola sepak besar seperti perlawanan jiran setempat Manchester United-Manchester City (bandar Manchester) Arsenal-Chelsea, Chelsea-Tottenham Hotspur dan Arsenal-Tottenham Hotspur (kelab yang bertapak di London). Begitu juga seteru utama dalam kejuaraan liga melibatkan Manchester United-Liverpool dan Arsenal-Manchester United.

Jika satu daripada kelab itu kalah dalam pertembungan sesama sendiri ini atau kalah dengan mana-mana kelab dalam Liga Perdana Inggeris, penyokong sesebuah kelab itu akan menggunakan media sosial untuk mempersendakan penyokong kelab yang kalah. Biasanya perkataan yang digunakan hanyalah dalam bentuk perumpamaan ‘gua’ yang merujuk penyokong-penyokong itu perlu berdiam diri dahulu kerana kalah dalam perlawanan sebelumnya.

Contoh perumpamaan yang digunakan seperti ‘bertapa di dalam gua’, ‘lama sangat duduk di dalam gua’, ‘bila nak keluar dari gua’ dan ‘sudah ada teman di dalam gua’.

Dengan kemunculan aplikasi kecerdasan buatan seperti ChatGPT dan kemahiran teknologi menyunting video, hasut maya dalam bola sepak tidak lagi sekadar melalui penulisan sahaja. Ada sesetengah penyokong yang nakal akan menggunakan aplikasi kecerdasan buatan itu dengan menghasilkan beberapa imej pemain kelab bola sepak yang kalah berada di dalam gua.

Dengan menggunakan kemahiran penyuntingan video pula, beberapa rakaman video pemain bola sepak dijadikan subjek bagi menghasilkan video hasut maya ini. Antara pemain kelab Liga Perdana Inggeris yang sering dijadikan subjek ialah Harry Maguire dan Antony dari kelab Manchester United. Kedua-dua pemain ini dijadikan subjek disebabkan oleh kegagalan mereka memberikan impak kepada kelab selain sering menjadi punca kepada kekalahan dalam sesuatu perlawanan.

Budaya hasut maya dalam bola sepak bukan sahaja berlegar-legar dalam perlawanan peringkat kelab sahaja, malah turut mempengaruhi perlawanan bola sepak antarabangsa. Di Asia Tenggara, perseteruan antara Malaysia dan Indonesia dalam sukan bola sepak menjadi sangat sengit sehinggakan terbawa-bawa kepada penyokong masing-masing.

K edua-dua pasukan ini akan menggunakan media sosial seluas-luasnya bagi mempersendakan pasukan masing-masing. Hal ini dapat dilihat dengan kemajuan mendadak pasukan bola sepak Indonesia yang berjaya mara lebih jauh dalam pusingan kelayakan Piala Dunia 2026. Indonesia berjaya membawa masuk ramai pemain kelahiran Eropah yang mempunyai keturunan Indonesia yang berkualiti. Sekali gus meningkatkan kualiti pasukan untuk bersaing di peringkat antarabangsa dan seterusnya membuka peluang negara itu layak ke Piala Dunia.

Oleh itu, penyokong bola sepak Indonesia menggunakan prestasi terkini yang ditonjolkan oleh pasukan kebangsaan Indonesia itu sebagai modal untuk ‘menyerang’ laman media sosial penyokong bola sepak Malaysia. Prestasi pasukan bola sepak Malaysia sedikit merudum setelah gagal pergi jauh dalam pusingan kelayakan Piala Dunia 2026 dan juga kejohanan bola sepak ASEAN bagi merebut Piala Mitsubishi Electric 2024.

Justeru, budaya hasut maya dalam bola sepak bukanlah budaya yang baru diperkenal dalam kalangan masyarakat Malaysia. Budaya ini sudah lama sebati dalam kehidupan masyarakat Malaysia suatu ketika dahulu cumanya dalam bentuk yang primitif. Jika dahulu, para penyokong bola sepak ini akan menggunakan warung kedai kopi atau kedai makan untuk berbual dan mengusik rakan-rakan yang menyokong kelab bola sepak masing-masing tetapi kini budaya itu diperluas lagi dengan perkembangan teknologi.

Setakat ini, budaya ini belum lagi membawa impak yang negatif kepada penyokong bola sepak di Malaysia kerana dilakukan sekadar suka-suka untuk mengusik rakan-rakan sekolah, seuniversiti atau pun sepejabat. Diharapkan budaya ini tidak membawa sesuatu yang buruk kepada masyarakat. Sukan itu sepatutnya dapat menyatukan masyarakat, bukan untuk memecah belahkan masyarakat.

______________________________

Hafizul Osman merupakan penulis kreatif serta non-kreatif. Beliau telah menghasilkan 4 buah novel, 1 kumpulan cerpen dan lebih daripada 20 buah cerpen dan artikel. Kronikel Etanol  dan Misi 2050 antara karya yang ditulis oleh beliau.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi