Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangCap Goh Mei bermaksud malam ke-15 Tahun Baharu Cina yang secara umumnya merujuk kepada dialek Hokkien, iaitu `cap’ sebagai sepuluh, `goh’ bermaksud lima dan `mei’ bererti malam. Pada malam tersebut akan muncul bulan penuh dalam tahun baharu berkenaan; sekali gus menandakan berakhirnya sambutan perayaan Tahun Baharu Cina.
Bagi meraikan sambutan ini, kain rentang yang mengucapkan selamat menyambut Cap Goh Mei juga akan di pasang di tempat tumpuan awam seperti pasar, kompleks membeli belah dan pasar raya. Terdapat juga beberapa buah hotel turut menyajikan menu makanan istimewa untuk pengunjung sempena Cap Goh Mei.
Hidangan istimewa yang disajikan termasuk yuan xiao, iaitu bebola pulut nasi bersama kacang merah, pengat nyonya dan beberapa jenis makanan tradisi lain yang melambangkan kebersamaan hidup dalam berkeluarga dengan mengharapkan kedatangan tuah sepanjang tahun.
Perayaan Cap Goh Mei seringkali dikaitkan dengan mitos peristiwa, yakni dua wanita bujang yang telah membuang buah limau oren ke dalam sungai dengan harapan untuk mendapat jodoh. Anak-anak muda Tionghua sendiri menganggap malam tersebut sebagai “malam bercinta di bawah sinaran bulan”.
Oleh itu, tradisi membaling buah limau oren ke dalam laut, sungai atau tasik diadakan dengan anak gadis yang ingin mencari jodoh akan meletakkan nama dan nombor telefon mereka pada limau berkenaan. Ini untuk memudahkan mereka dihubungi oleh bakal pasangan yang menemuinya.
Secara tradisi amalan mencari jodoh cara sedemikian dipercayai dapat mempertemukan bakal suami sebagai pasangan hidup yang baik. Di tokong pula akan diterangi cahaya indah dan bersedia menerima kunjungan masyarakat Tionghua yang datang untuk bersembahyang dan meraikannya sebagai tanda syukur. Mereka juga akan berdoa kepada Dewa Kemakmuran memohon agar seisi keluarga mendapat tuah yang baik pada tahun itu dan seterusnya.
Pada malam berkenaan juga, pelbagai bentuk tanglung berwarna merah yang cantik dan bercahaya akan digantung menghiasi pekarangan rumah. Kanak-kanak khususnya akan berkumpul membawa tanglung di luar rumah. Pada masa kini, ratusan tanglung pelbagai bentuk dan warna akan digantung di bangunan, pokok dan dari tiang ke tiang yang menjadi latar kepada perarakan di bandar besar.
Perarakan pada sebelah malam ini akan turut diiringi dengan persembahan pelbagai kumpulan secara bergerak yang memainkan irama muzik jenis tiupan, gesekan biola serta pukulan gendang dan rebana. Kumpulan muzik ini biasanya juga ditempatkan dalam lori-lori berlampu berhias yang bergerak menyertai perarakan melalui jalan-jalan utama.
Turut dapat dilihat ialah persembahan tarian singa dengan iringan pukulan gendang termasuk aksi akrobatik peserta yang berani dan menarik. Berpuluh-puluh maskot haiwan beraneka bentuk dan warna juga kelihatan menunjukkan pelbagai aksi turut memeriahkan perarakan jalanan ini dengan letupan bunyi mercun dan bunga api.
Perarakan ini satu daripada acara kebudayaan yang akan menarik perhatian ribuan anggota masyarakat terutama pelancong yang menyaksikannya.