Diterbitkan pada 25 Mac 2025, 08:36

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

 Reka bentuk klasik hinggalah moden, sampul mempunyai cerita yang tersendiri.

Ketika zaman penulis bergelar kanak-kanak, sambutan Hari Raya Aidilfitri merupakan hari yang sangat dinanti-nantikan. Selain meraikan ibadah puasa di bulan Ramadan, satu daripada kemeriahan sewaktu sambutan Aidilfitri ialah mengumpul duit raya. Tambahan pula, emak dan ayah sudah berjanji andai penulis berjaya untuk berpuasa penuh sebulan, maka banyaklah duit raya yang diperolehi. Penulis teringat pesan emak, sekiranya terdapat saudara mara yang menghulurkan sampul duit raya, jangan sesekali membukanya di hadapan mereka. Apatah lagi merungut andai jumlah yang diberikan tidak seberapa.

Itulah juga pesanan penulis kepada anak-anak penulis. Banyak atau sedikit bukanlah isu utama, sebaliknya keikhlasan dan kemeriahan sambutan Syawal itulah yang perlu kita raikan bersama. Tidak dapat dinafikan, selain juadah enak di hari raya serta kunjungan ke rumah sanak saudara, yang pastinya menggamit kenangan ialah momen yang sentiasa dinantikan, terutamanya oleh kanak-kanak, yakni pemberian sampul duit raya. Sejak dahulu, pemberian duit raya dalam sampul dengan corak yang unik bukan sahaja menjadi tanda kemeriahan, tetapi juga menyimpan nostalgianya yang tersendiri.

Sampul duit raya masih relevan sehinggalah ke hari ini, dengan reka bentuk klasik hinggalah moden yang mana setiap sampul mempunyai cerita yang tersendiri. Antara yang menarik perhatian penulis ialah sentuhan retro yang menampilkan momen-momen Aidilfitri zaman dahulu yang mungkin tidak dapat dilihat pada generasi masa kini.

Misalnya, momen sang ayah dan anak-anak lelaki mengejar untuk menangkap ayam, keluarga berkumpul di kampung datuk dan nenek, kanak-kanak bermain bunga api dengan pelita yang dibuat dari batang buluh, serta suasana tidur beramai-ramai bersama saudara-mara di rumah datuk dan nenek, yang pastinya mengembalikan kenangan indah yang pernah dilalui generasi terdahulu.

Terdapat juga sampul duit raya mengilustrasikan suasana dapur yang sibuk yang mana ahli keluarga bergotong-royong memasak juadah raya seperti ketupat, rendang, dodol, dan kuih tradisional yang boleh menambah sentuhan nostalgia. Selain itu, suasana kanak-kanak berkumpul bersama-sama sepupu atau rakan di kampung bermain permainan seperti galah panjang, gasing, atau baling selipar di halaman rumah kampung juga menjadi elemen menarik dalam rekaan sampul.

Hal ini mengingatkan kita kepada zaman kanak-kanak sebelum era gajet mengambil alih. Bagi mereka yang pulang ke kampung dengan pengangkutan awam, situasi sesak di stesen bas atau kereta api juga cukup nostalgik. Adegan melambai tangan turut mengingatkan kita kepada suasana kasih sayang ketika perantau yang perlu pulang untuk mencari rezeki di bandar selepas beraya di kampung halaman.

Selain itu, terdapat juga reka bentuk sampul duit raya yang mengilustrasikan pakaian tradisional yang kebiasaannya digayakan semasa hari raya seperti seperti baju Melayu sama ada bercekak musang atau teluk belanga. Begitu juga dengan pakaian wanita, baju kebaya, baju kurung Pahang, baju kurung Kedah dan baju kebarung menjadi pilihan untuk digayakan.

Suasana kampung dengan latar belakang sawah padi, rumah kampung, pokok kelapa, stesen bas atau kereta api yang penuh dengan perantau juga sangat menggamit memori yang dimanifestasikan ke dalam rekaan visual sampul duit raya.

Suatu ketika dahulu, bunyi meriam buluh dan meriam menggunakan kabait memeriahkan suasana malam raya, terutama di kampung-kampung. Namun begitu, atas faktor keselamatan, pihak berkuasa telah menguatkuasakan larangannya. Sampul duit raya yang mengilustrasikan meriam buluh sambil kanak-kanak menutup telinga mereka dapat memberikan gambaran kepada generasi masa kini berkaitan momen tersebut.

Penulis juga masih teringat kenangan beraya dari rumah ke rumah bagi mengumpul duit raya. Sementelah, penulis tinggal di kawasan Felda dan kedudukan rumah-rumah yang terletak bersebelahan memudahkan penulis dan rakan-rakan beraya dari sebuah rumah ke rumah yang lain untuk mengumpul duit raya. Naluri kanak-kanak, matlamat utama bukanlah makan kuih-muih atau juadah raya, namun lebih terarah untuk mengumpul duit raya.

Akan tetapi, tradisi beraya dari rumah ke rumah mungkin sudah jarang dilihat dalam kalangan generasi masa kini. Banyak keluarga lebih suka untuk mengadakan majlis raya di rumah mereka sendiri atau pergi ke rumah saudara-mara yang lebih dekat. Selain itu, ibu bapa mungkin lebih berhati-hati dan tidak membenarkan anak-anak mereka keluar beraya secara bebas kerana bimbang dengan keselamatan mereka di luar.

Kesimpulannya, selain dendangan lagu raya, juadah yang pelbagai dan iklan raya di kaca televisyen, pemberian sampul duit raya juga merupakan satu daripada momen yang ditunggu-tunggu dalam suasana kemeriahan hari raya Aidilfitri setiap tahun. Reka bentuk sampul duit raya pada masa kini bukan sahaja menjadi tanda kemeriahan, tetapi juga menyimpan nostalgia tersendiri.

Daripada reka bentuk klasik hingga moden, setiap sampul mempunyai cerita yang mengingatkan kita pada zaman kanak-kanak, serta menampilkan elemen budaya dan seni yang unik. Sampul duit raya bukan sahaja berperanan sebagai medium pemberian, tetapi juga sebahagian daripada warisan Aidilfitri yang terus hidup dalam ingatan setiap generasi.

____________________________________________

Penulis makalah ini, Profesor Madya Dr. Abdul Halim Abdullah, merupakan pensyarah di Fakulti Sains Pendidikan dan Teknologi, Universiti Teknologi Malaysia.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi