28 April 2022, 09:28

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Pada awal era 2000-an, PETRONAS sentiasa menyentuh hati masyarakat dengan drama pendek yang diterbitkan olehnya bersempena dengan perayaan utama di negara ini, terutamanya Hari Raya Aidilfitri. Karya visual arahan Yasmin Ahmad yang ditayangkan di televisyen itu sentiasa menarik perhatian dan amat ditunggu-tunggu pada saban tahun.

Walau bagaimanapun, selepas pemergian Yasmin pada 25 Julai 2009, tiada lagi drama berjiwa halus sedemikian yang turut mewarnai sambutan perayaan dapat ditonton di televisyen. Justeru, untuk mengubati kerinduan masyarakat ini, PETRONAS berusaha menghidupkan kembali suasana dan perasaan tersebut dengan penerbitan drama pendek arahan pengarah lain yang berwibawa.

Pada 26 April 2022 lalu di sebuah hotel terkemuka, PETRONAS memperkenalkan episod kedua drama bersiri 366 terbitannya, iaitu 366: Hari ke-123, bersempena dengan kedatangan Hari Raya Aidilfitri pada 3 Mei 2022 nanti.

Dari kiri; Aizat Amdan, Kabir Bhatia, Jehan Miskin, Joseph Edwin, Azri Sabri, Lee Qi dan Azwan Kombos.

Drama bersiri 366 dimulakan dalam Episod Pertama: Tahun Baharu Cina: Hari ke-32 pada Februari 2022 lalu dengan paparan kisah Zhi Yi, lakonan Lee Qi yang berusaha mencari ibunya, tetapi tidak kesampaian.

Cerita Hari ke-123 memberikan tumpuan kepada Poji (Azri Sabri), seorang pemuda yang penuh keberanian dan kesungguhan, pulang ke kampung dengan harapan dapat memeterai cinta sejatinya bersama-sama Ayu (Aishah Azman).

Namun demikian, Poji menghadapi masalah besar kerana berlaku pelbagai kejutan, lebih-lebih lagi ketika menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri. Begitu pun, Poji menempuhi ujian tersebut dengan berani, dan reda dalam menerima takdir Allah SWT.

PETRONAS berharap agar para penonton bergembira menonton bahagian kedua daripada tujuh episod drama bersiri ini, dengan watak-watak terus mencari erti kehidupan dan menempuhi segala cabaran.

Pengurus Besar Kanan Kumpulan Komunikasi Strategi PETRONAS, Datin Anita Azrina Abdul Aziz, dalam ucapannya menyatakan meskipun sekarang baru memasuki suku pertama tahun 2022, tetapi rakyat Malaysia terus berusaha setiap hari meneruskan kehidupan, mengejar impian, dan melupakan kenangan lalu yang pilu. Langkah terbaik yang boleh dilakukan, kata beliau, adalah dengan terus mara, sama ada secara perseorangan, berkumpulan mahupun sebuah negara.

“Apabila kita dapat berkumpul semula dengan keluarga pada Hari Raya Aidilfitri tahun ini, marilah kita melihat sejauh mana dorongan dan pengorbanan yang telah dilakukan dua tahun lalu. Usahlah kita terus bersedih, tetapi bangkitlah dengan ceria menghadapi hari mendatang bersama-sama yang disayangi,” tambah Datin Anita.

Ketua Jabatan Pengurusan Komunikasi, Kumpulan Komunikasi Strategi
PETRONAS, Joseph Edwin.

Ucapan beliau dibacakan oleh Ketua Jabatan Pengurusan Komunikasi, Kumpulan Komunikasi Strategi PETRONAS, Joseph Edwin.

Drama bersiri 366: Hari ke-123 yang dipenuhi cinta, persahabatan dan penerimaan boleh ditonton menerusi saluran media sosial rasmi PETRONAS bermula pada 27 April 2022 lalu. Semoga drama mampu menghidupkan semula tema festival PETRONAS.

Lima lagi episod 366 yang bakal muncul ialah Episod 3: Kaamatan Hari ke-150, Episod 4: Gawai Hari ke-152, Episod 5: Merdeka Hari Malaysia Hari ke-243, Episod 6: Deepavali Hari ke-297, dan Episod 7: Krismas Hari ke-365.

Antara watak utama lain dalam 366 termasuklah Adam (Azwan Kombos), Margaret (Angeline Tan), Marilyn (Syafarina Abdullah), Vikram (Maheswaran Manikam), dan Pak Cik Lim (Kenji Sawahi).

Dalam majlis pelancaran 366 yang turut dihadiri oleh Remy Ishak, Puteri Aishah, Angah Raja Lawak, Jehan Miskin, Isey Azlisham dan Kabir ini, penyanyi pujaan ramai, Aizat Amdan menghiburkan hadirin dengan dendangan lagu runut bunyi drama bersiri tersebut, iaitu Percaya dan lagu popularnya, Sampai ke Hari Tua.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.