2 November 2022, 09:47

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Petaling Jaya – Sepanjang 26 Oktober hingga 30 Oktober yang lalu, pementasan teater Asrama-Ra: Dorm Putera (Act II) berlangsung di PJ Live Arts. Teater Asrama-Ra: Dorm Putera (Act II) merupakan naskhah terbaru Khairunazwan Rodzy dan sekuel kepada naskhah Asrama-Ra yang pertama yang telah dipentaskan pada Oktober 2013 di Menara MARA.

(Dari kiri: Nam Ron, Fadhli Masoot dan Nesa Idrus). Foto: Inersia Prodaksen

Asrama-Ra: Dorm Putera (Act II) dilihat mengambil jalan yang berbeza dengan memainkan konsep penerokaan minda watak utamanya, Ijan yang dilakonkan oleh Fadhli Masoot sebagai pengawalan plot.

Dengan latar sekolah, isu buli dan watak-watak yang terpampang keremajaannya, naskhah ini jarang menjadi naskhah sanjungan, namun masih diangkat dan dipuji kerana pendekatannya yang tidak menyembunyikan keketaraan kepada penonton seperti transisi babak sebagai babak yang tersendiri, hampir keseluruhan cerita adalah permainan dalam kepala, tona komedi yang tidak sensitif namun memerangkap penonton dan lain-lain lagi.

Khairunazwan Rodzy selaku pengarah teater Asrama-Ra: Dorm Putera (Act II). Foto: Inersia Prodaksen

Konsistensi yang dibawa oleh para pelakon di atas pentas menggambarkan betapa jelasnya pengaruh kepengarahan Khairunazwan dalam melentur naskhah terbarunya itu. Beliau dikenali sebagai dramatis yang flamboyan naskhahnya seperti naskhah Asrama-Ra: Dorm Putera (Act II) ini, namun bersifat sangat kolaboratif dalam menerima penyampaian dramawannya ketika menggalas kerusi pengarah.

Fadhli Masoot pula memaparkan watak Ijan yang terkurung dengan kolosal emosi tersendiri. Ijan tidak pernah meninggalkan pentas sepanjang cerita berlangsung, maka Fadhli perlu untuk mengekalkan kegalauan yang berat selama hampir dua jam.

Watak pelajar lain pula dilakonkan oleh Fimie Don sebagai Fakhri, Han Zalini sebagai Juwan, Idham Maulana sebagai Pidot, Anwar Rusdini sebagai Sopi, Ikhlas Jalil sebagai Eddy, Nesa Idrus sebagai Ayu serta Sri Irdina sebagai Cikgu Sabariah. Manakala watak Ustaz Kamal pula dilakonkan oleh dramatis tersohor, Nam Ron.

Foto: Inersia Prodaksen
Antara babak dalam teater yang dilakonkan oleh Fadhli Masoot sebagai Ijan. Foto: Inersia Prodaksen

Kedudukan watak Ijan selaku teraju utama dalam teater ini yang terperangkap dalam cetusan permainan minda dengan keputusannya sebagai orang yang terlibat dalam sebuah tragedi akan berlegar-legar sama ada untuk diam membisu atau bersuara untuk menebus kewarasannya.

Antara cabaran buat para pelakon teater ini adalah menghidupkan semula jiwa keremajaan mereka dalam persembahan teater setelah lama meninggalkan alam persekolahan.

Selain itu, menonjolkan isu buli dengan nafas baharu juga bukanlah perkara yang mudah memandangkan keberadaan isu yang sama dalam rata-rata cerita moden bersifat klise. Namun begitu, dengan gaya dan pengawalan cerita yang meneroka kelainan, penggarapan dan perkembangan cerita yang unik, Asrama-Ra: Dorm Putera (Act II)  tidak mempunyai sebarang konotasi yang sama, bahkan wajar digalas menjadi naskhah sanjungan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.