Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangJohor Bahru – Pembinaan bakat dalam bidang lakon layar dan seni lakon merupakan asas penting dalam sesebuah drama termasuklah drama pentas, televisyen dan radio. Drama mampu menjadi medium penyebaran dan pengembangan bahasa Melayu ke peringkat yang lebih luas. Bagi memastikan usaha ini dilaksanakan secara berterusan, Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan (DBPWS) dan Jabatan Penyiaran, Radio Televisyen Malaysia (RTM) Johor berkolaboratif membina bakat baharu dalam pembinaan penulis lakon layar bagi drama radio dan pentas yang dilaksanakan pada 21 dan 22 Mac 2023 di RTM Johor.
Lakon layar ialah cerita yang dipentaskan atau disiarkan merangkumi karangan yang berupa sandiwara, iaitu dialog dan kejadian berlakunya sesuatu peristiwa dalam drama. Seni lakon pula mencakupi lakonan yang dipentaskan dengan dikenali sebagai teater atau drama, dirakamkan seperti filem, telemovie, drama rantaian dan drama radio berserta dengan hasil tulisan yang berbentuk dialog.
Hal ini bersesuaian dengan Pelan Strategik DBP 2021-2025 menerusi inisiatif melaksanakan program penulisan kreatif bagi menjayakan strategi utama, iaitu peningkatan kemahiran penulisan dalam bahasa Melayu. Program ini berjaya melahirkan 20 penulis skrip serta pelakon drama radio dan pentas teater yang baharu yang bakal mewarnai hab teater dan drama radio di Johor.
Objektif utama program ini ialah untuk memberi pendedahan dalam bidang penulisan lakon layar radio dan pentas seiring dengan kehendak pasaran selain membina wajah baharu dalam industri drama, filem dan teater. Hal ini selaras dengan aspirasi kerajaan dalam mendidik masyarakat untuk menghayati dan menghargai karya sastera dan persuratan kebangsaan.
Peserta dibimbing tentang asas penulisan drama dengan kaedah, format dan teknik yang betul, menepati kehendak semasa serta keperluan penerbit. Peserta yang berpotensi besar dalam bidang ini akan dibimbing secara berterusan bagi membina jaringan kerjasama dengan RTM sebagai media penyiaran utama dalam menerbitkan drama radio yang berkualiti.
Program menggilap bakat lakon layar dan seni lakon ini dikendalikan oleh Encik Othman Ahmad atau lebih dilkenali dengan nama Man Che Kah selaku Setiausaha Majlis Teater Negeri Johor yang juga merupakan jurulatih seni budaya negara dan fasilitator program penghayatan seni budaya, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN).
Beliau yang berpengalaman luas dalam bidang teater dan drama radio memfokuskan tentang apresiasi dan ekspresi seni lakon dalam penganalisian skrip, lontaran vokal dan intonasi, peranan mimik muka serta pemahaman tentang perwatakan dan sinergi dengan pelakon lain. Selain memahami tentang teori penulisan skrip, beliau juga membimbing peserta dengan teknik seni lakon yang berkesan, lenggok bahasa tubuh dan ekspresi wajah yang sesuai dengan watak dan perwatakan.
Penerbit RTM yang juga wakil rasmi RTM Johor, Puan Wan Noor Wajiha Wan Mustafa menyatakan hasrat untuk menawarkan peluang berlakon dalam drama radio kepada peserta dan mana-mana skrip yang memenuhi kehendak dan keperluan penerbit akan dipertimbangkan untuk disiarkan dalam slot drama radio. Tugasan peserta membina sinopsis dan skrip drama pada hari kedua berjaya melahirkan skrip drama radio dan pentas yang ringkas. Namun begitu, penghasilan naskhah tersebut masih boleh dimurnikan dan dimantapkan lagi jika mahu dipentaskan pada layar yang lebih besar atau disiarkan sebagai drama radio.