Oleh Mubarak Ismail
21 Mac 2023, 20:04

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Majlis Pelancaran dan Sidang Media Drama Audio Malam Pengantin telah berlangsung dengan jayanya pada 21 Mac 2023 (Selasa) pukul 2.30 petang di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka.

YBhg. Dr. Hazami Jahari, Ketua Pengarah DBP (tengah) menyampaikan cenderamata kepada Encik Kenny Ong Chun Eng, Ketua Pegawai Eksekutif Astro Radio (dua dari kiri).

Majlis anjuran SYOK, Astro dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ini turut mendapat sokongan daripada Sinar FM, Era FM dan Rocketfuel Entertainment Sdn. Bhd. serta disempurnakan oleh Encik Kenny Ong Chun Eng, Ketua Pegawai Eksekutif Astro Radio.

Objektif Majlis Pelancaran dan Sidang Media Drama Audio Malam Pengantin ini dianjurkan adalah untuk mengangkat dan menonjolkan karya bahasa Melayu terbitan DBP ke medium terkini dan seterusnya disebarluaskan kepada masyarakat serta untuk memartabatkan penggunaan bahasa Melayu dalam bidang drama audio.

Menurut YBhg. Dr. Hazami Jahari, Ketua Pengarah DBP dalam ucapan alu-aluannya, kini DBP berada dalam landasan yang tepat dalam menjalankan satu daripada fungsi terasnya, iaitu penyebaran bahasa dan sastera dengan mengorak langkah dalam pelaksanaan program serta penghasilan produk digital. Dengan bersumberkan kandungan bahan terbitan dalam bidang bahasa dan sastera, SYOK merupakan rakan sinergi strategik yang mempunyai “jiwa dan sejalan” dengan matlamat DBP selain terbukti mempunyai keupayaan dan kepakaran dalam penghasilan produk digital.

YBhg. Dr. Hazami Jahari, Ketua Pengarah DBP sewaktu menyampaikan ucapan alu-aluannya.

“Audio siar ataupun podcast merupakan penerbitan alternatif dalam bentuk audio yang semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat. Menyedari peminat audio siar yang semakin meningkat saban hari dan mempunyai peminat yang tersendiri, SYOK telah mengorak langkah dengan mempelbagaikan jenis penerbitan bahan kandungannya dalam pelbagai kategori termasuklah menggunakan hasil karya-karya daripada DBP. Oleh hal yang demikian, menjadi tanggungjawab DBP untuk bersama-sama bersinergi dengan SYOK bagi menyebarluaskan bahasa dan sastera di samping mengangkat bahan terbitan DBP menerusi platform penyiaran terkini untuk dinikmati oleh masyarakat sama ada di dalam negara mahupun di luar negara,” ujar YBhg. Dr. Hazami Jahari.

YBhg. Dr. Hazami Jahari turut berkata, hari ini merupakan hari yang amat bertuah kerana satu karya besar daripada insan seni teragung negara, iaitu Datuk Habsah Hassan menerusi karya Malam Pengantin diangkat menjadi projek rintis bagi drama audio. Masyarakat mengenali Datuk Habsah Hassan menerusi keunggulan dan sentuhan magisnya dalam menghasilkan lirik lagu yang malar segar.

Namun begitu, masih ramai yang tidak maklum bahawa skrip drama radio merupakan lapangan awal bagi diri beliau sewaktu mengasah bakat dalam penulisan kreatif. Karya yang telah berusia 46 tahun kini kembali berkumandang di udara dengan nafas baharu. Inovasi sebegini perlu dalam mengesahkan bahawa karya yang baik dan bermutu tidak bertarikh luput dan kekal hidup dalam kalangan masyarakat.

“Drama audio Malam Pengantin ini akan menyertai lebih 280 koleksi podcast kami di SYOK yang merangkumi pelbagai genre, topik dan bahasa. Menerusi kerjasama kami dengan DBP, kami memberi peluang kepada para pengkarya tempatan dan bakat-bakat baharu industri seni untuk melebarkan sayap mereka menerusi hiburan digital dan elektronik terutamanya podcast audio,” kata Encik Kenny Ong Chun Eng.

Encik Kenny Ong Chun Eng selaku Ketua Pegawai Eksekutif Astro Radio dan penerbit drama audio Malam Pengantin.

Menurut Encik Kenny Ong Chun Eng, drama audio Malam Pengantin merupakan adaptasi daripada buku Pulang Gadisku Pulang karya Datuk Hajah Habsah Hassan. Di samping itu, drama audio Malam Pengantin juga merupakan drama audio yang pertama dilengkapi dengan lagu latar yang bertajuk Cinta Tak Mengerti nyanyian Syazwan Shuhaimi. Masyarakat juga boleh mendengar lagu ini menerusi platform Youtube Rocketfuel Entertainment.

Selain itu, bakat-bakat tempatan juga diketengahkan menerusi drama audio ini dan pihak SYOK berasa teruja mendapat peluang bekerjasama dengan lebih ramai rakan kongsi tempatan dan serantau untuk menonjolkan lebih banyak hiburan dan bakat baharu menerusi platform SYOK.

“Kami komited untuk terus menghasilkan pelbagai kandungan yang menarik dan bermanfaat agar sentiasa kekal relevan di samping untuk menjadikan SYOK sebagai pilihan masyarakat serta untuk mengukuhkan kedudukan kami sebagai destinasi radio, muzik dan podcast yang utama. Oleh hal yang demikian, semua peminat SYOK podcast boleh melayari drama audio Malam Pengantin bermula 29 Mac pada jam 10 pagi menerusi aplikasi dalam laman sesawang SYOK,” jelas Encik Kenny Ong Chun Eng.

Datuk Hajah Habsah Hassan (tiga dari kiri) bersama-sama barisan panelis sidang media drama audio Malam Pengantin.

Turut hadir menyerikan majlis ialah Tuan Haji Mohd Salahuddin Dato’ Paduka Mohamed, Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera DBP; Puan Priya Prabakaran, Ketua Kandungan Astro Radio; Datuk Hajah Habsah Hassan, penulis asal skrip drama radio Malam Pengantin serta barisan artis yang menjayakan drama audio Malam Pengantin, iaitu Syainie Shuhaimi, Hafreez Adam, Alyssa Azmi, Rosie Haslinda dan Syazwan Shuhaimi.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.