Oleh Nasir Hamid
2 Februari 2023, 12:27

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuching – Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak (DBP Sarawak) telah mengadakan kunjungan hormat kepada Yang Berbahagia Datu Dr. Azhar Ahmad, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak pada 31 Januari 2023 (Selasa) di Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS) bagi memaklumkan program-program yang akan dianjurkan sepanjang tahun 2023. Pada masa yang sama, kunjungan hormat tersebut diadakan untuk mengeratkan lagi hubungan yang telah terjalin antara DBP Sarawak dengan JPNS sebagai agensi di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Encik Abang Haliman Haji Abang Julai, Pengarah DBP Sarawak (kiri) bersama-sama Datu Dr. Azhar Ahmad, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (kanan).

Kunjungan hormat tersebut diketuai oleh Encik Abang Haliman Haji Abang Julai, Pengarah DBP Sarawak bersama-sama ahli pengurusan yang lain, iaitu Encik Ja’afar Haji Hamdan, Timbalan Pengarah Pengembangan Bahasa dan Sastera, Encik Abdul Rasid Haji Subet, Timbalan Pengarah Pembinaan dan Penyelidikan, Cik Stephanie Lenya Chaong, Ketua Unit Promosi dan Pengiktirafan serta Puan Hajijah Haji Mainol, Ketua Unit Penerbitan.

Dalam pertemuan tersebut, DBP Sarawak telah membentangkan projek yang akan dilaksanakan pada tahun 2023 merangkumi Anugerah Citra Majalah Sekolah Menengah Negeri Sarawak dan Anugerah Buletin Jabatan yang akan diadakan secara bergilir-gilir bermula pada tahun ini. Program ini diadakan bagi memberikan penghargaan serta pengiktirafan kepada usaha pemupukan minat dan bakat para pelajar yang berkebolehan menghasilkan karya-karya yang bermutu.

Selain itu, DBP Sarawak juga menyasarkan untuk mengadakan Sayembara Pidato Perpaduan yang dianjurkan dengan kerjasama Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) pada bulan Februari ini serta penganjuran Forum Remaja Piala Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak yang memberikan penekanan kepada penggunaan bahasa Melayu baku yang baik dan berkesan dari segi tatabahasa, sebutan dan gaya.

Dalam taklimat yang disampaikan oleh Encik Abang Haliman, beliau turut memaklumkan bahawa DBP Sarawak akan menganjurkan Pertandingan Deklamasi Sajak yang akan melibatkan sekolah di daerah Miri dan Kuching dalam usaha memupuk minat dan kecintaan golongan remaja terhadap bahasa dan sastera Melayu.

Bagi menyemarakkan lagi sambutan ulang tahun ke-60 Sarawak Merdeka dalam Malaysia, DBP Sarawak akan menganjurkan dua program utama, iaitu Karnival Intelek di daerah Bintulu dan Minggu Karyawan Muda di daerah Sarikei. Kedua-dua program ini mempunyai pengisian yang menarik seperti Pertandingan Penglipur Lara Moden, Pertandingan Pantas Jawi Peringkat Negeri Sarawak dan Bengkel Penulisan yang akan melibatkan penulis baharu di Sarawak.

Di samping itu, DBP Sarawak turut bekerjasama dengan kerajaan negeri Sarawak dalam usaha menyemai rasa kecintaan dan keharmonian dengan menganjurkan program yang memfokuskan kepada perpaduan dalam kalangan masyarakat Sarawak. Antara program yang dirancang ialah pelibatan pelajar Sekolah Cina Swasta dalam forum pelajar, pertandingan video pendek untuk membina keyakinan diri pelajar dalam menggunakan bahasa Melayu yang betul dan pertandingan lagu Melayu yang akan melibatkan penyertaan pelajar Cina di Sarawak.

Pada tahun ini juga, DBP Sarawak akan mengadakan program baharu, iaitu Program Pemerkasaan Jawi bagi memperkenalkan ciri-ciri dan bahagian penting dalam tulisan Jawi. Selain itu, diharapkan program ini dapat menarik minat golongan remaja terhadap tulisan Jawi serta meningkatkan kemahiran mereka dalam penulisan Jawi.

Sesi penyerahan cenderamata selepas sesi perbincangan.

Dalam ucapannya, Datu Dr. Azhar berharap agar program-program yang akan dianjurkan ini dapat melibatkan semua sekolah di Sarawak dan juga sekolah di kawasan pedalaman Sarawak. Beliau juga memaklumkan bahawa JPNS memberikan sokongan yang penuh untuk bekerjasama dengan DBP Sarawak dalam melaksanakan program-program tersebut demi kebaikan para pelajar di Sarawak.

Selain itu, beliau turut mengulas mengenai prosedur membawa pelajar keluar dari kawasan sekolah untuk menyertai pertandingan dan pihaknya memaklumkan bahawa kebenaran ibu bapa atau penjaga masih diperlukan demi memastikan keselamatan pelajar.

Turut hadir dalam kunjungan tersebut ialah Tuan Haji Japri Bujang Masli, Ketua Pegawai Eksekutif Pustaka Negeri Sarawak (PNS) dan barisan pengurusan tertinggi JPNS. Tuan Haji Japri turut menyentuh tentang peranan PNS sebagai sebuah gedung ilmu di Sarawak.

Beliau berharap agar penulis atau badan penerbit di Sarawak dapat memainkan peranan dengan menyerahkan bahan terbitan dalam bentuk buku untuk simpanan PNS dan seterusnya menjadi rujukan serta bahan bacaan di perpustakaan. Beliau turut memaklumkan terdapat ordinan atau peraturan di Sarawak yang menghendaki penulis atau penerbit menyerahkan tiga buah buku yang telah diterbitkan kepada PNS.

Perbincangan yang sedang berlangsung semasa kunjungan hormat DBP Sarawak kepada JPNS.

Dalam majlis yang sama, Encik Abang Haliman turut menyentuh tentang pertandingan Bahas Piala Premier Sarawak yang akan diadakan pada tahun ini. Beliau mengundang JPNS dan PNS untuk bekerjasama menganjurkan pertandingan tersebut. Sebelum ini, pertandingan tersebut dikenali sebagai Bahas Piala Ketua Menteri dan dianjurkan oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM) yang bermula pada tahun 1986. Pertandingan tersebut terhenti semasa pandemik COVID-19 melanda.

Penganjuran pertandingan tersebut ialah susulan daripada pertemuan Yang Berhormat Menteri Pendidikan Malaysia dengan Yang Amat Berhormat Premier Sarawak sebelum ini, iaitu untuk menghidupkan semula pertandingan tersebut yang telah berjaya melahirkan pembahas dan pemidato terbaik di Sarawak.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.