17 Februari 2023, 11:41

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Bermula semalam 16 hingga 18 Februari 2023, Persatuan Badan Budaya DBP (Badan Budaya DBP) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menganjurkan pementasan teater yang bertajuk Master Kobid hasil arahan Aris Othman dan skrip oleh Tan Sri Johan Jaaffar yang bertempat di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP.

Antara barisan pelakon teater Master Kobid.

Sebagai pemakluman, Badan Budaya DBP dan perkembangan seni teater kebangsaan cukup sinonim dengan nama-nama besar pejuang bahasa dan seni persembahan ini. Badan Budaya DBP merupakan sebuah produksi teater yang diasaskan oleh Sasterawan Negara ke-3, iaitu Allahyarham Datuk Dr. Usman Awang semasa beliau masih bertugas di DBP pada tahun 1967. Tamu di Bukit Kenny merupakan pementasan teater pertama oleh Badan Budaya DBP dengan arahan Usman Awang sendiri.

Perkembangan pesat bidang teater menyuburkan kesedaran para karyawan DBP agar badan ini akan dapat terus dilestarikan dan Badan Budaya DBP telah didaftarkan dengan nama Persatuan Badan Budaya DBP. Kini badan seni ini merupakan pertubuhan yang dianggotai oleh para karyawan DBP yang masih berkhidmat dan mantan karyawan DBP serta karyawan luar. Badan Budaya DBP bergiat aktif menggerakkan usaha-usaha pengembangan bahasa dan sastera menerusi pelbagai aktiviti kesenian dan kebudayaan termasuklah pementasan teater sejak tahun 1967.

Teater Master Kobid arahan Aris Othman.

Sejak ditubuhkan, Badan Budaya DBP terus aktif dengan pementasan-pementasan teater yang lebih matang dalam karya-karya realisme. Pementasan teater terakhir oleh Badan Budaya DBP ialah Sandera arahan A. Wahab Hamzah pada tahun 2014. Badan Budaya DBP telah berjaya melahirkan tokoh-tokoh besar khususnya dalam dunia teater tanah air seperti Tan Sri Johan Jaaffar, Dato’ Dr. Mohd Anwar Ridhwan, Zakaria Ariffin, Sabri Yunus, Imuda, Abon, Bohari Ibrahim serta beberapa orang yang turut mewarnai dunia seni tanah air.

Berdepan dengan konflik pandemik COVID-19 telah membuatkan seluruh rakyat Malaysia berdepan dengan pelbagai cabaran kritikal, bukan sahaja kehilangan nyawa orang tersayang kerana wabak ini, bahkan memberikan kesan kepada sektor-sektor lain khususnya ekonomi dan pendidikan. Oleh hal yang demikian, karyawan sentiasa melihat situasi yang berlaku adalah peluang untuk meraih idea dan gagasan dalam melahirkan sesebuah karya sastera khususnya bergenre skrip teater.

Menyelami serta menghayati kehidupan rakyat Malaysia yang menempuh badai dan gelora pandemik COVID-19 telah menjadikan naskhah Master Kobid sebagai suatu bingkisan pemikiran penulis yang serba kompleks namun bersifat sejagat. Sehubungan dengan itu, orang ramai serta pencinta seni teater amatlah dialu-alukan untuk hadir memberikan sokongan kepada pementasan teater ini.

Sudah tentu masyarakat ingin mengetahui dengan lebih lanjut tentang siapakah gerangan Master Kobid dalam teater ini? Apakah yang dipolemikkan oleh lapan watak lain yang masing-masing membawa peranan yang cukup signifikan dengan masyarakat yang berjaya menempuh serta berdepan dengan cabaran pandemik COVID-19 yang lalu. Justeru, bagaimanakah penelitian yang diterjemahkan oleh mata Master Kobid berkaitan manusia dan konflik-konflik yang dihadapinya?

Sembilan orang pelakon, iaitu terdiri daripada Dr. Rosdeen Suboh (Master Kobid), Taiyuddin Abu Bakar (Wakil Rakyat), Roydy Rokidy (Doktor), Eliza Mustafa (Peniaga Kecil), Mohamad Arif Taslim (Wak Sin), Rosli Abdul Rahman (Seniman), Amirul Hakim Lokman (Wartawan), Badrol Hisham (Sasterawan) dan Kyra Sabri (Gadis) masing-masing mempunyai kekuatan tersendiri dalam mempersembahkan kreativiti mereka bereksperimen dengan dialog serta ekspresi dalam menjiwai watak-watak dalam teater ini.

Barisan tenaga di belakang tabir yang menjadi tonggak kepada teater Master Kobid.

Orang ramai boleh membuat tempahan tempat duduk dengan mengimbas kod QR yang tertera pada poster teater. Sudah pasti para penonton yang bakal menyaksikan pementasan teater ini sentiasa diingatkan bahawa virus korona masih belum tewas dan pematuhan prosedur standard operasi (SOP) sentiasa menjadi keutamaan walaupun anda telah lengkap divaksinasi. Selamat menyaksikan teater Master Kobid.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.