Oleh Aisyah A.
12 Oktober 2022, 23:45

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan kerjasama Porcupine Production Sdn. Bhd. telah menganjurkan Pementasan Teater Tok Janggut dalam Dikir Barat dalam Rancangan Citra Seni DBP yang boleh ditonton menerusi Studio Siaran Langsung Media Sosial DBP pada 12 Oktober (Rabu) hingga 13 Oktober 2022 (Khamis) pada pukul 8.30 malam. Pementasan teater tersebut diadakan di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP dan merupakan sebuah karya arahan Sabri Yunus. Teater ini menampilkan barisan artis tempatan seperti Issey Fazlisham, Sabri Yunus, Arip Sukmasari dan ramai lagi dengan iringan dikir barat oleh Akademi Arjuna Sukma.

Christopher Wong, Ketua Pegawai Operasi Malaysia Book of Records menyampaikan sijil pengiktirafan Malaysia Book of Records kepada Sabri Yunus, pengarah teater dan disaksikan oleh Tengku Temenggung Kelantan, Yang Berhormat Mulia Tengku Tan Sri Dato’ Haji Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz.

Perasmian Teater Tok Janggut dalam Dikir Barat ini disempurnakan oleh Tengku Temenggung Kelantan, Yang Berhormat Mulia Tengku Tan Sri Dato’ Haji Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz dan turut dihadiri oleh Tengku Puan Temenggung Kelantan, Yang Berhormat Mulia Tengku Puan Sri Dato’ Tunku Noor Hayati Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj; Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Profesor Datuk Dr. Awang Sariyan; Ahli Lembaga Pengelola DBP, iaitu Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad (yang juga merupakan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja) dan Tan Sri Dato’ Sri Hamad Kama Piah Che Othman (yang juga merangkap Pengerusi Kumpulan UMW Holdings Berhad); dan Ketua Pengarah DBP, Datuk Abang Salehuddin Abg. Shokeran.

Tengku Temenggung Kelantan, Yang Berhormat Mulia Tengku Tan Sri Dato’ Haji Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz sedang memalu gong sebanyak tiga kali sebagai tanda perasmian Teater Tok Janggut dalam Dikir Barat sambil disaksikan Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Profesor Datuk Dr. Awang Sariyan.

Pementasan teater ini diadakan bagi mengenang semula jasa, perjuangan dan pengorbanan tokoh pahlawan Kelantan di Tanah Melayu, iaitu Tuan Guru Hasan bin Panglima Mat Munas (Tok Janggut) dalam mempertahankan tanah air daripada penjajahan British. Beliau terkorban dalam Perang Tok Janggut di Kelantan ketika menentang penguatkuasaan cukai oleh pihak British.

Antara babak dalam Teater Tok Janggut dalam Dikir Barat.

Menurut sejarah, selepas termeterai Perjanjian Inggeris-Siam pada tahun 1909, pihak British telah mengambil alih pemerintahan Kelantan daripada kerajaan Siam dan mula membawa pelbagai perubahan khususnya dari segi pentadbiran. Perubahan yang diperkenalkan oleh British telah menyentuh kedudukan dan keistimewaan tradisional di negeri Kelantan. Antara perkara yang paling sensitif ialah pelaksanaan cukai seperti cukai tanah, cukai kepala, cukai pokok buah-buahan serta cukai kelapa dan sireh.

Sabri Yunus sebagai Tok Janggut.

Jasa dan pengorbanan pemimpin dan pejuang Tanah Melayu ini harus terus dipentaskan, direkodkan serta diuar-uarkan supaya generasi muda turut mengenali mereka dan memahami bahawa kemerdekaan yang kita peroleh pada hari ini tidak datang secara percuma, sebaliknya dibayar dengan air mata dan darah para pejuang yang telah terkorban demi mempertahankan tanah air. Oleh itu, tenaga dan idea-idea hebat para pemimpin mencapai kesepakatan dengan British untuk mendapatkan kemerdekaan Tanah Melayu harus ditonjolkan kepada masyarakat melalui pelbagai kaedah termasuklah melalui nilai seni dan budaya seperti pementasan teater Tok Janggut dan filem Mat Kilau. Teater dan filem seperti ini wajar diberikan sokongan untuk menanam sikap sayang dan cinta akan tanah air dalam setiap diri rakyat Malaysia.

Pementasan Teater Tok Janggut dalam Dikir Barat ini turut mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records sebagai pementasan pertama teater dalam dikir barat di Malaysia.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.