Diterbitkan pada 5 April 2025, 09:34

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Sambutan Hari Raya telah berubah kepada konsep rumah terbuka Aidilfitri yang diraikan dalam bulan Syawal. Budaya rumah terbuka Aidilfitri dalam kalangan umat Islam di Malaysia telah mula berubah menjadi amalan kehidupan baharu dalam sambutan Hari Raya. Walau bagaimanapun, budaya ini masih mengekalkan kepada konsep majlis kesyukuran dan kegembiraan atas nikmat yang telah dikurniakan oleh Allah SWT untuk disambut secara bersama. Akan tetapi konsep ini lebih terbuka kepada sahabat yang jauh sahaja, rakan sepejabat dan juga kenalan dalam perniagaan. Sambutan ini juga dapat diterjemahkan sebagai proses asimilasi antara peradaban budaya Melayu dengan agama Islam yang merujuk kepada sambutan perayaan.

Pada hari ini, konsep rumah terbuka semakin popular sama ada yang tinggal di kota raya mahu pun di desa. Konsep rumah terbuka ini merujuk kepada suatu acara di mana tuan rumah mengundang saudara-mara, jiran dan rakan-rakan untuk berkunjung ke rumahnya mengikut tarikh dan masa yang telah ditetapkan. Berbeza dengan konsep kunjung-mengunjungi Hari Raya Adidilfitri yang diamalkan dalam budaya Melayu sebelum ini.

Peralihan konsep perayaan Aidilfitri dari kunjung-mengunjungi di awal Syawal kepada rumah rumah terbuka kerana perubahan gaya hidup masyarakat Melayu yang telah berkembang mengikuti peredaran masa. Kesemuanya ini disebabkan oleh budaya dan gaya hidup masyarakat yang semakin sibuk, yang mana masing-masing tidak mempunyai masa dan sukar untuk menetapkan masa untuk berjumpa. Justeru, konsep rumah terbuka Aidilfitri ini merupakan alternatif yang lebih praktikal membolehkan mereka berkumpul di suatu masa dan tempat yang ditetapkan. Secara langsungnya, mereka dapat meraikan perayaan Aidilfitri ini secara bersama-sama tanpa memerlukan banyak masa untuk kunjungan dalam waktu berasingan.

Di samping itu, konsep ini juga dipercayai adalah budaya yang telah dipengaruhi oleh budaya Barat yang mengamalkan konsep Open House. Pada awalnya, konsep ini telah memberi inspirasi kepada masyarakat Melayu yang tinggal di kota raya sahaja. Kini, budaya Open House telah merebak amalannya ke masyarakat desa untuk meraikannya. Pada hari ini konsep budaya Barat Open House ini telah mempengaruhi kepada amalan rumah terbuka ini yang telah diamalkan dalam masyarakat Melayu.

Malah, dengan peredaran masa yang begitu pantas sekarang, konsep rumah terbuka Aidilfitri ini juga telah menjadi budaya di beberapa buah pejabat dan syarikat besar untuk sama-sama meraikan perayaan Aidilfitri ini secara bersama-sama. Majlis rumah terbuka ini juga mengundang pelanggan, rakan niaga dan kadang-kala keluarga pekerja untuk berkumpul di pejabat dalam suasana yang lebih santai bagi mengukuhkan hubungan antara mereka. Di samping itu dapat meningkatkan semangat kerjasama dalam suasana yang lebih mesra dan tidak terlalu terikat dengan kerja di antara satu sama lain.

Pada hari ini, konsep rumah terbuka di pejabat atau di kilang besar semakin popular dan di lihat sebagai cara yang efektif untuk mengeratkan hubungan antara pekerja, pengurusan, dan rakan perniagaan dalam suasana yang lebih santai. Walaupun acara ini memerlukan kos perbelanjaan yang tinggi untuk menampungnya, tetap dapat memberi faedah yang besar kepada majikan dan pekerja dalam organisasi tersebut. Malah konsep budaya rumah terbuka Aidilfitri ini juga peluang bagi syarikat untuk menunjukkan penghargaan kepada pekerja bagi menjalin hubungan yang lebih baik di dalam komuniti kerja.

Sekarang, pihak kerajaan telah memberi perhatian yang tinggi terhadap konsep rumah terbuka Aidilfitri kerana dilihat sebagai budaya Malaysia yang mampu mengeratkan hubungan sosial, memperkukuhkan perpaduan antara kaum, serta mempromosikan keharmonian dalam masyarakat majmuk. ia.

Konsep rumah terbuka Aidilfitri ini juga dapat dilihat sebagai satu acara yang bersesuaian dengan prinsip Malaysia MADANI yang telah diperkenalkan oleh kerajaan Malaysia. Sebagaimana yang sedia maklum, Malaysia MADANI merupakan satu visi yang memberi perhatian terhadap pembangunan negara yang inklusif, harmoni, sejahtera, dan berdaya saing, dengan menekankan aspek kemanusiaan, kesederhanaan, dan keadilan dalam setiap lapisan masyarakat. Justeru, konsep rumah terbuka Aidilfitri dapat memenuhi beberapa elemen dalam amalan dengan prinsip-prinsip Malaysia Madani.

Sesungguhnya, konsep ini memberi peluang kepada rakyat Malaysia untuk bersama-sama merayakan konsep rumah terbuka. Bersesuaian dengan konsep Malaysia MADANI yang memberi perhatian terhadap kehidupan sejahtera untuk semua lapisan masyarakat, konsep rumah terbuka Aidilfitri ini memberikan suasana yang menggalakkan kesejahteraan sosial dan menawarkan kesempatan untuk rakyat berkumpul dan bersosial.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi