Diterbitkan pada 18 Mei 2025, 08:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Filem pendek (filpen) merupakan sinema dan pembentukan asal kepada penghasilan wayang gambar. Dua orang adik beradik Lumiere mencipta sinematografi (cinematographe), yakni produknya adalah filpen. Kemenjadian filpen pertama tersebut disebabkan keghairahan dan semangat Lumiere yang berkobar-kobar dalam menghasilkannya. Kebanyakan filem (panjang) wujud atas dasar komoditi atau dagangan, namun penghasilan filpen lahir atas semangat dan jika mendapat keuntungan pun disebabkan iklan. Akan tetapi tidak semua iklan merupakan filpen dan tidak juga dianggap sinema.

Filpen memiliki bentuknya yang tersendiri. Walaupun perkara tersebut masih subjektif, filpen bukanlah sebuah filem panjang yang dipendekkan. Malah bukan juga drama pendek yang bersambung-sambungan. Tak perlukan plot, tak perlukan three act structure serta heroes journey. Bak kata Godard, three act structure itu ada di dalam semua filem. Kalau yang dicari dalam three act structure, pastilah three act structure yang kita jumpa kerana dalam keadaan apa-apa pun semua cerita pasti ada three act structure.

Christopher Nolan pengarah yang terkenal dengan beberapa buah filem seperti The Dark Knights, Dunkirk dan Tenet, juga pernah membikin sebuah filpen, iaitu Doodlebug. Filpen tersebut mengisahkan seorang lelaki yang mengejar sesuatu yang kecil di bawah sehelai sapu tangan. Awalnya kita akan fikir, lelaki tersebut akan mencari serangga, tapi di saat sapu tangan itu dialihkan, lelaki tersebut menjadi versi kecil. Setelah itu, lelaki tersebut berjaya mengetuk dirinya yang versi kecil dengan kasut, tiba-tiba muncul versi dirinya yang besar lalu menghenyaknya.

Lantas, filpen yang dihasilkan tak semestinya memerlukan cerita, hanya perlukan pernyataan (statement). Filpen milik Martin Scorsese pula dibikin semasa beliau masih menjadi penuntut di Tisch School of Arts, New York, iaitu Big Shave. Dalam filpen tersebut latarnya hanya di dalam tandas dan kita melihat seorang jejaka sedang bercukur perlahan-lahan yang akhirnya membawa kepada kerosakan kendiri (self destruction). Filpen serba ringkas itu dapat dibaca dan di wacana dalam pelbagai hal. Pengarah filem dari Thailand, Apitchapong Weerasethakul pernah menghasilkan sebuah filpen bertajuk Mobile Men yang hanya merakam gelagat dua orang lelaki di atas sebuah lori. Dalam beberapa saat, Apitchapong sendiri tiba-tiba muncul dan perkara ini bukanlah satu masalah untuk filpen.

Di Malaysia, banyak filpen yang dihasilkan. Sering kali anti-komoditi (bagi filpen yang baik) akan dianggap rebel. Kalaupun tidak rebel kepada establishment, penghasilannya akan rebel kepada bentuk wayang itu sendiri. Sebagai contoh filpen Sesudah Subuh karya Ridhwan Saidi telah dibikin menggunakan fotografi filem (mengingatkan kita pada Chris Marker). Begitu juga filpen Dear Ridhwan oleh Aidil Rusli (adaptasi cerpen Ridhwan Saidi, Luwak dan Kretek dari Antologi Kopi terbitan BukuFIXI) dibikin dengan bahagian (footoge) demonstrasi Bersih yang dicampurkan dengan fiksyen berlatarkan pesta buku.

Arian Md Zahari menghasilkan [The Making of] 2020 yang melawan konvensi adaptasi, iaitu diadaptasi dari Belanjawan 2020. Filpen tersebut hanya berdurasi 3 minit memaparkan perbualan dua orang pekerja asing yang lucu (witty). Begitu juga dengan Bebbra Mailin yang pernah membikin filpen Linguistik Kedai Makan yang hanya memfokuskan dua orang lelaki melabun perkara seni dan filem, kemudian kamera ke meja sebelah dan bertatapan pasangan bisu yang berbicara dengan cara mereka.

Di Malaysia, filpen memiliki anugerahnya yang tersendiri. Namun begitu, syarat produksinya harus mendaftar dengan autoriti filem. Ternyata perkara tersebut menunjukkan mereka tidak faham apa itu filpen. Filpen selalunya dilahirkan oleh jiwa-jiwa yang ghairah, lahir dari berontaknya terhadap sistem dan birokrasi. Filpen lahir dari kespontanan dan bau semangat anak muda. Mungkin, filpen yang diangkat dalam anugerah itu merupakan filem pendek yang baik, tetapi boleh jadi filpen yang lebih baik terpinggir kerana syarat-syarat tersebut.

Oleh itu, Shorts Sendiri, Sea Shorts Film Festival, malah setiap kali Temasya Wayang Budiman pasti akan ada tradisi komuniti filpen. Filpen diraikan sebagai wayang di arus bawah. Dalam dunia hari ini, filpen dianggap sebagai latihan dan persediaan melahirkan wayang yang sebenar, yakni filem panjang. Perkara tersebut mengingatkan kita kepada kata-kata Lav Diaz (pengarah Filipina) bahawa wayang tidak ada pendek atau panjang, sama seperti lukisan yang tidak pernah dianggap kecil atau besar.

Filpen adalah sinema. La Jette oleh Chris Marker adalah sinema. The Red Ballon milik Lamorisse adalah sinema. A Trip To The Moon karya George Millies adalah sinema. Filpen walaupun memiliki had dari segi durasi, tetapi bentuknya bebas. Jauh lebih bebas dari pembikinan filem panjang.

Pada akhirnya, sinema bermula sebagai filpen. Sinema lahir sebagai filpen. Filpen adalah sinema.

_________________________________________________

Adam Taufiq Suharto merupakan penulis dan pengkarya bebas. Selain pernah bertugas sebagai penulis skrip untuk stesen televisyen tempatan, beliau juga aktif membikin filem pendek, juga menulis esei dan cerpen. Kini, beliau berjinak-jinak dengan fotografi jalanan.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi