Diterbitkan pada 29 Mei 2025, 09:45

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Sempena ulang tahun pemergian Tan Sri P. Ramlee yang ke-52, siapakah kita dalam watak-watak yang pernah diperan atau dicipta oleh beliau.

Siapakah yang ada dalam Penarik Beca? Seorang gadis manis anak hartawan yang berpendidikan dan mahu melihat seorang penarik beca miskin yang dicintainya mencapai takah hidup lebih mulia melalui jalan ilmu. Seorang lelaki Melayu tangkai jering, berharta tetapi hatinya boleh dibeli hanya dengan kereta mewah, dasi dan kemeja sahaja. Seorang hartawan acah-acah yang melabel golongan buruh sebagai gila hanya kerana enggan mengeluarkan upah yang setimpal dengan khidmat mereka. Seorang lelaki yang baru menikmati kehidupan mewah dan menyangka gemalai inang boleh ditukar ke lincah samba dengan kuasa beli, yang berfoya-foya sehingga terpaksa berhutang, yang merapati seorang bapa dengan watak anak prihatin hanya kerana ada agenda keji.

Siapakah yang ada dalam Bujang Lapok? Seorang lelaki yang sering gagal dalam menjual; baik barang-barang dagangannya mahupun cintanya, tetapi menunjukkan watak pemimpin yang baik dalam hidup berjiran. Seorang lelaki yang akur dengan kehendak adat turun-temurun, rela berhabisan demi cinta, walaupun tahu ada kekangan sosioekonomi yang melilitnya.

Seorang ibu yang sanggup berhutang dan bergolok gadai demi memuaskan hati masyarakat. Seorang lelaki yang percaya bahawa upacara perkahwinan besar-besaran tidak akan membenihkan bunga kebahagiaan, tetapi bunga hutang sehingga terbelit tujuh keturunan. Seorang bapa angkat yang berada dalam lingkaran puaka kemiskinan dengan minum arak, berjudi, mengambil dadah dan mempertaruhkan kehormatan anak angkatnya bagi melunaskan hutang.

Seorang anggota masyarakat prihatin yang mengajar bapa angkat tadi bahawa perbuatannya membiakkan persundalan di sisi masyarakat. Seorang wanita berstatus janda yang kaya, berpengaruh dan mempunyai kedudukan terhormat dalam masyarakat serta menjadi perantara antara dua buah keluarga dibezakan antara cincin berlian dengan cincin tembaga. Seorang wanita matang yang menjadi harapan seorang gadis malang untuk mendapat didikan yang sempurna serta berani meluahkan isi hati kepada lelaki yang dicintainya.

Siapakah yang ada dalam Pendekar Bujang Lapok? Seorang pendekar dengan arketaip guru purba, tidak mempamer kehandalannya, sabar, manusiawi, tetapi hanya menunjukkan belangnya di hadapan musuh paling besar, yang tahu menyukat bahaya, tahu membeza intan dengan kaca. Tiga orang pemuda dengan semangat berkobar cuba meniru tetapi strategi kurang kemas dan perlu menyempurnakan ilmu. Seorang gadis yang memasuki dunia perguruan dan berani berdepan dengan dunia luar, yang berwaspada dalam curiga.

Seorang pembantu rumah yang boleh membaca rumi dalam sebuah rumah yang kaya tradisi ilmu yang mana anak-anak muda keluar masuk berguru, ada alat muzik dan banyak ‘pensil kontot’. Seorang kapitalis yang mengawal sebuah perniagaan dengan sekumpulan lelaki Melayu yang kasar, tidak beradab, galak mencuri dan menyelesaikan masalah dengan cara tonyoh terajang.

Siapakah yang ada dalam Nujum Pak Belalang? Seorang budak yang luas pergaulannya, tidak takut memecahkan tembok yang membatasi mobiliti sosialnya serta tahu mencerakin tatakelola di kampungnya. Seorang ayah pemalas yang terlanjur menjadikan temberang dan menujum untuk memulangkan harta curian, tetapi sebenarnya si anak mahu si ayah berbuat sesuatu supaya dapur mereka berasap.

Seorang penghulu yang mengambil kesempatan dalam kesempitan. Seorang raja yang rela mempertaruhkan negeri untuk bermain teka-teki. Dua orang pencuri yang mencapai “kemajuan” hanya dengan ilmu ghaib; bermula dengan mencuri lembu kambing, kemudian mencuri harta dari perbendaharaan istana dan akhirnya mencuri harta yang paling disayangi oleh raja, iaitu puterinya sendiri.

Siapakah yang ada dalam Antara Dua Darjat? Seorang wanita cantik berdarah biru yang sanggup meredah hujan derita demi cinta. Seorang pemuzik marhaen yang terkoyak jiwa kerana pisau darjat memilihnya sebagai mangsa. Seorang Tengku yang mementingkan warna darah sehingga hidup anaknya musnah. Seorang lelaki aristokrat yang bermuka-muka dengan mulia gelar tetapi menyimpan sisi yang cemar. Seorang lagi aristokrat berhati rakyat bermata marhaen yang melihat bahawa maksud antara dua darjat bukan sekadar darjat sosioekonomi, tetapi juga darjat antara dua jantina.

Siapakah yang ada dalam Musang Berjanggut? Seorang rakyat biasa yang berjaya membuka pintu istana sebagai anak angkat raja, yang dipersiapkan untuk menjadi pemegang tampuk pemerintahan negeri dengan ilmu tempur dan firasat, yang menunjukkan bahawa isteri yang bakal bergelar permaisuri perlu faham berat beban mahkota. Seorang wanita cantik yang bijak membaca cuaca dan warna alam serta menggugah integriti pentadbir negeri.

Seorang bapa yang arif mengguna kiasan untuk menolak pinangan. Seekor musang yang licik hendak memadam undang-undang yang ditulisnya sendiri agar terbentur mengikut nafsu yang berombak. Seekor tikus yang menikus dan tidak berani menyatakan kebenaran. Seekor katak yang berubah-ubah pendirian. Sebuah patung yang hanya tegak membisu melihat kemungkaran. Seekor kuda yang sanggup ditunggang apabila terlepas dari kekangan.

Siapakah yang ada dalam Seniman Bujang Lapok? Pemuda-pemuda yang mahu mengubah nasib diri dengan menjadi pelakon komedi. Seorang jururawat manis pemberi harapan yang berwawasan mengurus kewangan. Seorang samseng kampung yang terkoyak kerana cintanya tidak dibalas lalu menyalakan api kemusnahan. Lelaki-lelaki berkemeja dan bertali leher, kelihatan seperti orang berpelajaran tetapi caci maki dan caru-marut sering terkeluar dari mulut. Seorang lelaki Punjabi yang memberi teguran tajam sentap kepada bangsa yang tidak tahu berbudi bahasa.

Siapakah diri kita dalam filem-filem seorang seniman yang lahir dengan nama Teuku Zakaria? Adakah kita watak yang dapat memberi kasih sayang dan cinta, mencurah didikan dan asuhan, mempamer tegas dan wibawa? Adakah kita watak yang terluka, dihenyak, terkoyak, terperosok ke penjuru paling pahit? Adakah kita yang memberi harapan dan semangat untuk mengubah warna hidup? Atau kita si angkuh yang tidak mahu berkongsi ruang dengan sesiapa? Adakah kita si lucu dan si dungu yang naif tetapi memberi pelangi ke langit yang suram? Siapakah kita di layar nusa?

_________________________________

RAIHANI MOHD. SAAID merupakan seorang penulis karya sastera dan pengkaji filem P. Ramlee di peringkat PhD di Universiti Malaya. Bukunya, Suara Nusa Dalam Filem-filem Seniman Agung terbitan The Biblio Press (2022) memuatkan analisis dan pemerhatian terhadap aspek-aspek pemikiran dalam filem-filem P. Ramlee.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi