Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKeluang Man sedang hangat ditayangkan di pawagam. Oleh itu, Aina Mastura menumpahkan perasaannya terhadap adiwira tersebut.
Filem Keluang Man (2025) diadaptasi daripada animasi dan idea asal milik Allahyarham Kamn Ismail yang mengisahkan Borhan seorang pesakit di hospital sakit jiwa tetapi mempunyai identiti rahsia sebagai seorang adiwira. Borhan menggunakan kelebihannya yang pandai bertarung dalam menegakkan keadilan dan menentang orang jahat.
Seperti dalam animasi, Borhan dalam filem juga dipaparkan sebagai seorang yang bersikap kurang waras, namun dalam masa yang sama mempunyai tujuannya tersendiri untuk mencari kebenaran mengenai Shamsir, sahabat lamanya yang terlibat dalam jenayah kumpulan Mata Batu.
Kelebihan adiwira yang luar biasa merupakan satu imaginasi yang hanya berlaku dalam fantasi seseorang. Namun begitu, filem Keluang Man bukan hanya sekadar sebuah filem fantasi adiwira, tetapi juga membawa konsep parodi yang penuh dengan sindiran dan humor, diadun dengan aliran surealisme yang membawa kita keluar daripada kenyataan dan dunia realiti.
Penulis sendiri merupakan peminat kepada genre fantasi dan parodi. Kelebihan Keluang Man ialah menggabungkan konsep ini dengan surealisme memberikan satu pengalaman menonton yang sangat unik kepada penulis.
Kebiasaan penggunaan parodi untuk mengkritik atau menyindir seseorang atau pihak tertentu dengan cara jenaka. Contoh seperti yang selalu dilakukan oleh Allahyarham Mamat Khalid dalam filem-filem beliau, seperti Man Laksa dan Hantu Kak Limah. Sama seperti Keluang Man, jika kita lihat unsur parodinya ada memberi sindiran kepada norma sosial dan politik negara secara tidak langsung.
Jika parodi digabungkan dengan surealisme, maka filem itu boleh menjadi sebuah filem yang memaparkan “dark humor”. Jadi, tidak salah jika penulis mengatakan bahawa Keluang Man juga ada menggunakan unsur sebegini sebagai satu daripada cara mengkritik sosial masyarakat. Keluang Man menggerakkan cerita dengan wataknya yang aneh, dan dikaitkan pula dengan situasi yang tidak masuk akal.
Jika memperkatakan tentang lakonan, penulis pada mulanya agak skeptikal dengan pemilihan Nas-T sebagai Borhan. Dari dulu, penulis sudah membayangkan figura lain yang bersesuaian untuk membawa watak Borhan. Namun begitu, Nas-T berjaya meyakinkan bahawa beliau merupakan pelakon yang sesuai sebagai Borhan.
Terdapat babak di mana Borhan memakai kostum Keluang Man, lalu melihat ke arah cermin, dan refleksi Keluang Man animasi terpapar di situ, secara tidak sedar membuat penulis berasa sebak dan terharu melihat watak Borhan akhirnya diangkat di layar perak.
Satu lagi watak yang membuatkan penulis tidak sangka akan menjadi satu ikonik dalam filem ialah watak Inspektor Sahab. Watak Inspektor Sahab dalam animasi sudah pun terkenal dengan gaya percakapannya yang unik. Dengan gaya yang tersendiri tanpa perlu meniru secara langsung watak dalam animasi, Anwaar Beg Moghal berjaya membawa watak Inspektor Sahab dengan baik.
Secara jujurnya menonton filem ini membawa penulis kembali ke usia semasa kanak-kanak dan zaman remaja. Jika ada yang menyebut filem ini adalah filem “fan service”, ada benarnya kerana filem ini dibuat untuk peminat Keluang Man yang datang dari tahun 1998 hingga tahun 2005.
Terdapat juga kehadiran artis-artis tertentu yang cukup terkenal pada era tersebut, atau disebut sebagai cameo bagi menimbulkan unsur nostalgia itu. Pasti ada yang menonton filem ini, dan merasakan bahawa ada beberapa lawak jenaka yang tidak fahami, ternyata penonton bukan peminat yang hadir daripada era kemunculan awal Keluang Man.
Namun begitu, terdapat beberapa isu yang penulis merasakan ramai yang dapat mengambil iktibar, iaitu isu kesihatan mental serta pengajaran berkenaan pengkhiatan dan perjuangan. Filem ini tidak hanya sekadar komedi hiburan, tetapi juga mengajak penonton untuk merenung dan menilai semula realiti kehidupan mereka.
“Aku bukan gila, aku sakit!”.