Diterbitkan pada 1 Jun 2025, 22:17

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Sidang Kemuncak Pertubuhan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) ke-46 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) berakhir dengan jayanya pada Mei 2025 yang lalu telah menampakkan persepakatan pertubuhan serantau tersebut untuk melakar hala tuju yang lebih berdaya tahan. Kejayaan ini turut menyerlahkan inisiatif Malaysia sebagai pengerusi ASEAN dalam menggerakkan peranan dan fungsi pertubuhan serantau.

Dalam persidangan tersebut,  tuan rumah telah menyediakan cenderamata yang menarik untuk dijadikan kenang-kenangan oleh delegasi yang hadir. Cenderamata yang disediakan oleh Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia kepada para delegasi telah menjadi menarik minat dan perhatian mereka.

Antara cenderamata yang diberi termasuklah tepak sirih berserta kotak kayu berukir. Penyediaan cenderamata tersebut merupakan sahutan daripada cadangan oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim semasa membentangkan Belanjawan 2025 di parlimen akhir tahun lalu.

Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia melalui reaksi Ketua Pengarahnya, Datuk Ainu Sham Haji Ramli melihat perhatian dan saranan pucuk pimpinan negara itu penting kerana dapat menyokong matlamat perbadanan memajukan industri kraf tangan. Hal ini membuka peluang menyediakan cenderamata korporat untuk delegasi ketua negara dan peserta sidang utama serta acara penting yang akan menyusul.

Kraftangan Malaysia yang komited kepada perkara ini sejak awal lagi turut membuat persiapan rapi dari segi aspek penyediaan bahan cenderamata. Bahkan, turut menawarkan khidmat nasihat kepada pihak urus setia mengenai reka bentuk dan kesesuaian termasuk cenderamata yang akan dipromosikan oleh pihaknya.

Saranan itu nampaknya telah berhasil atas keupayaan Kraftangan Malaysia menyediakan produk kraf yang diperlukan untuk diberikan kepada delegasi terutama ketua negara dan peserta.

Pengurus Besar Karyaneka, Shaheezam Mohamad berkata, untuk peserta kenamaan turut disediakan beg kulit buatan tangan yang mengetengahkan ciri kehalusan budaya Malaysia dalam ciptaannya.

Begitu juga untuk peserta persidangan, beg bermotifkan sulaman mengkuang turut dibekalkan, sesuai untuk menyimpan dokumen mesyuarat dan diharap dapat menyerlahkan kehalusan seni anyaman tersebut.

Selain itu, pelbagai produk lain turut disediakan seperti batik, ukiran, tenunan, anyaman dan replika kristal.  Karyaneka sendiri turut membuka reruai di lokasi sidang kemuncak ini dengan mempamerkan dan menjual pelbagai produk kraf negara yang unik dan menarik untuk dilihat oleh peserta dan pengunjung.

Turut diedarkan ialah baucar pembelian yang menawarkan diskaun 15 peratus kepada peserta dan pasangan serta pengunjung untuk membeli barangan kraf yang dijual di Karyaneka dan Komplek Kraf Negara di Jalan Conlay, Kuala Lumpur.

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi