Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPada 22 Jun 2025, genaplah 69 tahun usia penubuhan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Buat julung kalinya acara sambutan ulang tahun DBP telah diadakan di luar dari Semenanjung, iaitu di Kota Kinabalu, Sabah. Karyawan DBP Cawangan Sabah, Zaidi Ismail membingkaikan acara bersejarah tersebut.
Untuk mengisi acara Sambutan Ulang Tahun Ke-69 DBP yang bertemakan “Obor Semangat Nan Abadi” di Kota Kinabalu, Sabah, sebanyak 22 aktiviti bahasa, sastera dan penerbitan telah diadakan oleh perbagai bahagian DBP dari 25 hingga 28 Jun 2025. Aktiviti-aktiviti yang diadakan itu adalah untuk meningkatkan imej dan citra DBP; mendekatkan DBP dengan pelbagai khalayak; serta mempromosikan produk dan perkhidmatan DBP kepada masyarakat melalui pelaksanaan pelbagai kegiatan kebahasaan, kesusasteraan dan penerbitan.
Aktiviti-aktiviti yang diadakan di bawah “Karnival Madani Nan Abadi atau MANA” ini melibatkan pelibatan khalayak sasaran dari pelbagai kumpulan sasar, termasuklah pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi, khalayak umum serta kakitangan awam dan swasta. Karnival ini telah diadakan di beberapa lokasi utama, iaitu di Tuaran, Membakut, Universiti Malaysia Sabah (UMS), serta Hotel Horizon dan Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), Kota Kinabalu.
Antara aktiviti yang telah diadakan dari 25 hingga 28 Jun 2025 itu termasuklah Pertandingan Mewarna, Majalah Dalam Kelas dan Persembahan Boneka di Sekolah Menengah Kebangsaan Badin serta Temasya Bahasa dan Sahabat Kata di Institut Pendidikan Guru Kampus Kent, Tuaran pada 25 Jun 2025.
Seterusnya, pada 26 Jun 2025 pula, telah diadakan Kayuhan Prihatin, di SEDCO Saga-saga; Seronoknya Membaca, Pertandingan Mewarna, Eksplorasi Bahasa dan Majalah Dalam Kelas di Sekolah Menengah Kebangsaan Membakut; Program Tuntunan Puisi Madani dan Sahabat Kata di Perpustakaan Membakut; serta Program Kreatif Penghasilan Buku Bergambar Kanak-kanak, Bengkel Kreatif dan Kritis Bersama-sama Editor dan Taklimat Dana Penggerak Industri Buku Negara di DBP Cawangan Sabah. Di Hotel Horizon, Kota Kinabalu pula diadakan Wacana Puisi Esei Asean Kota Kinabalu 2025, pada 27 Jun 2025.
Kemuncak sambutannya pula telah diadakan tiga acara pada 28 Jun 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) Kota Kinabalu, iaitu Aroma Meja Bulat: Serumpun Madani, Majlis Perasmian Sambutan Ulang Tahun Ke-69 DBP, dan Gema Puisi Nan Abadi. Majlis Perasmian Sambutan Ulang Tahun Ke-69 DBP telah disempurnakan oleh Tuan Yang Terutama Tun Datuk Seri Panglima (Dr.) Musa Haji Aman.
Dalam lafaz perasmiannya, Tuan Yang Terutama Tun Datuk Seri Panglima (Dr.) berdoa ke hadrat Allah SWT semoga DBP akan terus berkembang maju. Dalam majlis tersebut, Tuan Yang Terutama Tun Datuk Seri Panglima (Dr.) juga turut melancarkan buku Biografi Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Biografi Ketua Pengarah DBP, dan Indeks Kajian Bahasa Kebangsaan.
Temu kehormat lain yang turut serta dalam majlis perasmian itu termasuklah Menteri Pendidikan Malaysia, Yang Berhormat (YB) Fadlina Sidek; Timbalan Ketua Menteri Sabah III, YB Datuk Ir. Shahelmey Yahya; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Dr. Haji Mohd. Arifin Datuk Haji Mohd. Arif; Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Malaysia, Datuk Dr. Ts. Aminuddin Hassim; Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Sasterawan Negara Datuk Dr. Anwar Ridwan, dan Ketua Pengarah DBP, Dr. Hazami Jahari.
Dalam ucapan sambutannya, Menteri Pendidikan Malaysia, Yang Berhormat Fadlina Sidek berharap agar generasi muda akan meneruskan kelangsungan hidup bahasa sukuan seperti Bajau, Kadazan, Lundayeh, Gana dan Taga di Sabah.

Dalam hal ini, antara usaha yang dilakukan oleh DBP Cawangan Sabah termasuklah melaksanakan projek Pangkalan Data Bahasa-bahasa Sukuan Sabah dan pembangunan perkamusan dan glosari bahasa sukuan dengan kerjasama Kerajaan Negeri Sabah.
Dengan adanya acara sambutan dan pelbagai kegiatan bahasa, sastera dan penerbitan bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun Ke-69 DBP Peringkat Kebangsaan di Sabah ini, diharapkan perkembangan bahasa, sastera dan penerbitan dalam bahasa Melayu, khususnya di Sabah semakin bersemarak.
_____________________________________
Zaidi Ismail merupakan karyawan DBP dan telah menghasilkan Di Sebalik Kata . Buku tersebut menghuraikan persoalan yang berkaitan tentang perkara yang ada di sebalik kata, seperti ejaan, pembentukan kata dan makna sesebuah kata. Aspek utama yang dibahaskan dalam buku ini ialah aspek semantik, morfologi, dan sintaksis (penggunaan kata dalam ungkapan atau ayat).