Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangMalaysia sebagai sebuah negara yang mempunyai kerencaman kaum perlu dilengkapi dengan semangat patriotisme yang tinggi. Semangat patriotisme dalam diri setiap rakyat akan memangkin perpaduan yang lebih jitu. Mereka juga akan mengetepikan sebarang perbezaan dan bersatu untuk memajukan nusa tercinta.
Namun begitu, pendekatan integrasi budaya yang digunakan Malaysia dilihat ada kalanya membuatkan rakyat pelbagai kaum ini saling curiga kerana walaupun hidup secara bersama, mereka bebas mengamal dan mengekalkan identiti asal mereka.
Buktinya, mereka tetap memperjuangkan bahasa Ibunda masing-masing sehingga kadang kala terlupa tanggungjawab mereka akan bahasa Kebangsaan Malaysia, yakni bahasa Melayu. Kerajaan MADANI dilihat tidak lepas tangan akan isu penting ini dengan melaksanakan pelbagai dasar dan program bagi meningkatkan semangat patriotisme dalam kalangan rakyat Malaysia.
Sejak negara mencapai kemerdekaan, usaha berterusan telah dilaksanakan oleh kerajaan untuk terus mengukuhkan perpaduan antara rakyat pelbagai kaum di negara ini. Tambahan pula, negara kita pernah diuji dengan titik hitam, iaitu tragedi peristiwa berdarah 13 Mei 1969 akibat rusuhan kaum.
Tragedi ini bukan sahaja mengorbankan banyak nyawa tetapi juga harta benda sehingga membawa kepada darurat yang diisytiharkan pada 16 Mei 1969. Melalui tragedi ini, kita belajar pentingnya untuk kita meguruskan perpaduan antara pelbagai kaum yang hidup bersama. Walaupun selepas itu, tiada lagi tragedi besar yang melibatkan perpaduan tetapi masih ada insiden-insiden kecil berlaku yang dilihat mampu menggoncang perpaduan dan keamanan negara.
Di bawah kerajaan MADANI, Kementerian Perpaduan Negara (KPN) dilihat antara kementerian yang diberikan fungsi dan tugas khas dalam meningkatkan perpaduan dan semangat patriotisme masyarakat. Pada tahun ini, KPN melalui Arkib Negara telah memperkenalkan inisiatif Arkib@Sekolah dan Arkib@Komuniti bagi memupuk kesedaran sejarah, semangat patriotisme serta penghargaan terhadap warisan negara bermula peringkat akar umbi.
Matlamat utama kedua-dua inisiatif tersebut adalah bagi memupuk kesedaran sejarah, memperkukuh identiti kebangsaan dan menanam semangat cinta negara dalam kalangan murid dan pelajar. Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang menyatakan inisiatif Arkib@Sekolah merupakan sebahagian daripada Program Arkib Pendidikan yang membawa bahan arkib asli termasuk dokumen, gambar dan artifak sejarah terus ke persekitaran sekolah.
Para pelajar akan didedahkan kepada detik-detik penting sejarah negara serta tokoh-tokoh kemerdekaan melalui pameran Malaysia, Tanah Airku. Melalui inisiatif tersebut juga, pelbagai aktiviti sampingan lain seperti teka silang kata, kuiz sejarah dan sesi interaktif turut diadakan.
Aktiviti yang dilaksanakan secara santai ini menjadikan pelajar lebih teruja untuk mempelajari bahan arkib yang menyimpan pelbagai sejarah negara tercinta. Manakala, inisiatif Arkib@Komuniti pula memberi ruang kepada masyarakat untuk mengurus, mendokumentasi dan memelihara warisan sejarah serta budaya tempatan secara sukarela dan tersusun.
Kedua-dua inisiatif ini mampu mendekatkan arkib kepada masyarakar seterusnya mampu melahirkan generasi yang mempunyai jati diri tinggi, berpengetahuan dan cakna akan sejarah negara.
KPN turut memperkenalkan Kempen Taat Setia Rukun Negara sempena ulang tahun ke-55 Rukun Negara pada tahun ini dalam usaha memperkukuh perpaduan nasional menerusi penghayatan prinsip-prinsip Rukun Negara.
Rukun Negara ialah asas kepada usaha memperkukuh perpaduan, menjamin kestabilan serta membina masa depan negara yang lebih mampan. Jadi, kempen ini menggalakkan rakyat terutamanya generasi muda agar terus berpegang kepada asas pembentukan negara serta mempertingkat kesedaran awam mengenai kepentingan taat setia kepada negara dan Perlembagaan Persekutuan.
KPN berharap rakyat Malaysia akan lebih menghargai, memahami dan menghayati prinsip-prinsip Rukun Negara sebagai asas perpaduan dan keharmonian negara seterusnya membentuk masyarakat MADANI yang progresif, inklusif dan berintegrit melalui kempen ini.
Dalam kempen ini, KPN akan melaksanakan 11 inisiatif untuk meningkatkan penghayatan Rukun Negara sebagai wadah penyatupaduan rakyat Malaysia sepanjang sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia pada tahun ini.
Antara program yang dilaksanakan ialah Konvensyen Sekretariat Rukun Negara, Sambutan Anak Merdeka 31 Ogos, Program Malaysiaku Merdeka, Jejak Merdeka Gen Z, Pertandingan Pidato Rukun Negara dan Kembara Harmoni Merdeka.
Semua rakyat Malaysia digalakkan untuk mengambil bahagian dalam kempen ini dengan memuat naik video dan gambar berkaitan Rukun Negara sepanjang bulan Ogos hingga 16 September ini dengan menggunakan tanda pagar #TaatSetiaRukunNegara dan #55TahunRukunNegara di platform media sosial masing-masing.
Kempen ini dilihat bertepatan dengan situasi masyarakat Malaysia yang semakin melupakan prinsip kelima Rukun Negara, iaitu ‘Kesopanan dan Kesusilaan’ khususnya ketika berkomunikasi di media sosial.
Kesemua aktiviti dan kempen ini dilaksanakan berdasarkan Dasar Perpaduan Negara (DPN) yang merupakan dasar payung yang melakarkan usaha berterusan bagi memupuk, mengukuh dan memelihara perpaduan dalam kalangan rakyat.
Konsep Perpaduan Dalam Kepelbagaian digunakan untuk melestarikan keharmonian masyarakat majmuk di negara ini dan DPN menetapkan hala tuju perpaduan negara dan bertindak sebagai pemangkin bagi pencapaian Malaysia sebagai sebuah negara yang bersatu-padu, harmoni dan makmur.
Negara kita yang kaya dengan kepelbagaian budaya, agama, dan etnik yang selalu menjadi contoh perbezaan yang ada juga mampu menjadi kekuatan. Konsep ini mampu mengukuhkan semangat patriotisme masyarakat kerana melaluinya, rakyat dapat memupuk toleransi dan saling menghormati antara satu sama lain.
Minggu Perpaduan Negara merupakan antara inisiatif lain yang dilaksanakan oleh KPN untuk terus memantapkan perpaduan dan mengukuhkan semangat patriotisme rakyat Malaysia. Sambutannya yang mula dilaksanakan pada tahun 2023 ini merupakan ialah satu program tahunan yang dianjurkan bagi meraikan kepelbagaian budaya dengan pelbagai aktiviti dijalankan.
Antara pengisian utama dalam Minggu Perpaduan Negara ialah pameran Rumah KAMI (rumah etnik), Perkampungan Etnik Kadazan Dusun dan Orang Asli, Malaysia Tanah Airku, Susur Masa oleh Jabatan Muzium Malaysia serta Pavilion Perpustakaan Malaysia. Pada tahun ini, tema yang dipilih untuk program tersebut ialah ‘Harmoni dalam Kepelbagaian’.
Bukan sahaja melalui dasar dan program di bawah kementerian, kerajaan MADANI dalam Belanjawan 2023 turut menyatakan peruntukan RM50 juta sebagai Dana Penerbitan Filem Kenegaraan (DEKAN) untuk menghasilkan lebih banyak filem kenegaraan sehingga dapat dipasarkan ke peringkat tertinggi.
Filem merupakan antara genre yang mampu menyuntik semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat terutamanya generasi muda negara. Peruntukan berkanaan dibuat susulan kejayaan filem Mat Kilau yang berjaya memperoleh kutipan tertinggi dalam sejarah negara. Sebelum kejayaan filem tersebut, pemain industri filem di negara ini takut-takut untuk menerbitkan filem kenegaraan dan patriotik kerana sambutan penonton yang hanya suam-suam kuku.
Lantaran tersebut, inisiatif tersebut sedikit sebanyak mampu mendorong mereka untuk menghasilkan lebih banyak filem kenegaraan dan patriotik yang lebih berkualiti. Filem Pagari Bulan arahan Raja Mukhriz Raja Ahmad Kamaruddin merupakan antara filem yang dihasilkan menggunakan Dekan bernilai RM2.5 juta.
Di samping itu, dalam usaha untuk menyemai rasa cinta, sayang dan berbangga akan simbol kedaulatan negara seterusnya meningkatkan semangat patriotisme, kerajaan MADANI melalui Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah melaksanakan pemakaian lencana Jalur Gemilang pada pakaian seragam murid di institusi pendidikan bawah kelolaannya berkuatkuasa mulai 21 April 2025 lalu.
KPM turut membekalkan dua lencana Jalur Gemilang secara percuma bagi semua murid untuk sesi persekolahan 2025/2026. Walaupun inisiatif ini telah dikatakan mengundang ridiko berbahaya kerana lencana berbentuk pin ketika ini dikhuatiri memberi risiko kecederaan kepada para pelajar tetapi jika dilihat ibu bapa dan guru sebenarnya boleh mendidik anak-anak kecil ini menghormati Jalur Gemilang yang menjadi simbol penting kedaualatan melalui inisiatif ini.
Inisiatif ini secara langsungnya mampu mendidik masyarakat Malaysia daripada awal tentang penghormatan selayaknya yang perlu diberikan kepada Jalur Gemilang. Lencana berpin berkenaan perlu dikendalikan secara berhati-hati dan penuh hormat serta tidak boleh diletakkan secara sewenang-sewenangnya sebagaimana bendera Jalur Gemilang yang lain.
Tambahan pula, isu mengenai inisiden Jalur Gemilang yang berlaku di negara kita bagaikan tidak berkesudahan seperti pembakaran Jalur Gemilang, pemasangan Jalur Gemilang secara terbalik dan cetakan atau pemaparan Jalur Gemilang yang tidak tepat. Kesemua insiden berkenaan boleh dielakkan jika setiap masyarakat bertanggungjawab dan menghormati simbol kedaulatan negara ini.
Tuntasnya, sebagai sebuah negara yang mempunyai kerencaman kaum, kerajaan sememangnya tidak boleh berpeluk tubuh dan seharusnya terus memperbanyakkan lagi dasar, program, inisiatif dan aktiviti bagi memperkukuh semangat patriotisme dan perpaduan dalam kalangan masyarakat.
KPN merupakan antara kementerian bertanggungjawab memastikan perpaduan masyarakat terus utuh juga perlu mempelbagaikan lagi program berimpak tinggi terutamanya yang mampu menarik generasi muda negara. Kerajaan juga boleh terus membantu pengusaha filem menghasilkan filem kenegaraan yang berkualiti tinggi dalam usaha memantapkan lagi semangat patriotisme masyarakat. Usaha perlu diterushkan untuk mengajak rakyat melihat kepelbagaian yang ada ini sebagai kekuatan nusa tercinta, Malaysia dan bukan sebaliknya.