Diterbitkan pada 30 September 2025, 00:07

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Di sebalik gegendang yang diasak tanpa belas, dan vokal yang mengalir seperti darah dari luka terbuka, nama Daighila terus terukir sebagai satu daripada entiti muzik bawah tanah yang paling berpengaruh di Malaysia mahupun Asia.

Daighila menjadi simbol ikonik dalam sejarah muzik bergenre punk (hardcore/screamo/emoviolence) di Malaysia. Bukan setakat penampilan luar yang tidak nampak, tetapi sila lihat muzik dengan lebih mendalam, Daighila mungkin sukar didekati oleh masyarakat yang tidak diketahui, bagi seseorang individu sudah pasti siapa itu “Daighila”?.

Lagu-lagunya penuh “menyelami jiwa dan bertenaga tanpa batas ”. Sebaliknya, kumpulan ini menjeritkan puisi kecewa, manifesto marah dan nota-nota peribadi yang dilontar dengan sepenuh tubuh serta jiwa. Mereka bukan sekadar bermain muzik tetapi mereka meluahkan hidup yang punah.

Ditubuhkan sekitar awal tahun 2000-an, Daighila berasal dari Rembau, Negeri Sembilan, dan merupakan sebahagian daripada generasi kumpulan yang memperkukuhkan semula identiti hardcore punk di Malaysia. Nama mereka sering disebut bersama-sama kumpulan seperti Utarid, Sarjan Hassan dan Jose Phine. Kumpulan yang menyuntik elemen intelektualisme dan emosi mentah ke dalam dunia hardcore yang sebelum itu didominasi oleh gaya keras semata-mata.

Daighila bukan sekadar sebuah kumpulan, malah merupakan entiti kolektif yang hidup atas prinsip antikapitalisme, kesedaran kelas dan penolakan terhadap hegemoni budaya arus perdana. Mereka merakam sendiri muzik, mengurus jualan rilisan sendiri, menjelajah ke luar negara tanpa tajaan besar dan semua itu dilakukan dengan satu niat: mempertahankan maruah suara dari bawah.

Suara Emosi, Bunyi Kejujuran

Apa yang membezakan Daighila daripada ratusan kumpulan lain ialah keupayaan mereka menggabungkan kekasaran sonik dengan sensitiviti lirik yang menyentuh. Dalam keganasan muzik mereka,  tetap terselit kelembutan yang menyentuh jiwa raga.

Lirik mereka baik dalam bahasa Melayu mahupun Inggeris bukan luahan kosong. Lirik tersebut adalah cerminan masyarakat, kritik terhadap sistem dan kadang-kadang pengakuan jiwa yang sunyi.

Sebagai contoh, dalam album “Miscellanous dan Transition”, Daighila mempersembahkan satu bentuk keindahan yang terbaring dalam serpihan. Setiap lagu terasa seperti nota penyesalan yang diselamatkan saat akhir dengan persoalan, kehilangan dan pemberontakan senyap.

Pentas dan Peluh: Komuniti Yang Hidup

Mereka mungkin tidak bermain di pentas besar atau televisyen nasional, tetapi di ruang-ruang gig kecil, di lot belakang kedai, Rumah Api, dan beberapa gudang-gudang lama, Daighila adalah raja.

Penulis sendiri menyaksikan bagaimana kehadiran mereka mampu menukar satu malam biasa menjadi sebuah ritual katarsis. Penonton tidak hanya datang untuk menonton  mereka datang untuk merasa. Dalam moshpit itu, tiada kelas, tiada pangkat. Yang ada cuma tubuh dan suara  bertembung dalam solidariti emosi.

Daighila di Luar Negara: Bukan Kumpulan Biasa

Mereka pernah menjelajah ke Eropah dan Asia bukan dengan niat untuk popular, tetapi untuk menyambung silaturahim budaya bawah tanah global. Di Hamburg, Berlin, Tokyo, Daighila membawa bersama bukan hanya muzik mereka, tetapi jiwa Malaysia yang resah, marah dan ingin didengar. Ini bukan eksport budaya untuk keuntungan, tetapi penghantaran jiwa yang tidak sempat disuarakan dalam sidang media rasmi.

Kesimpulannya, dalam dunia hari ini yang semakin sunyi oleh kepalsuan dan plastik, Daighila adalah bunyi bising yang menyelamatkan. Mereka mungkin tiada pengiktirafan komersial, tetapi dalam kalangan yang memahami, mereka adalah legenda.

Daighila mengingatkan kita bahawa seni tidak perlu manis untuk jadi bermakna. Bahawa jeritan boleh lebih jujur daripada senyuman. Bahawa luka boleh dijadikan lirik.  Walau dunia ini tidak sempurna, tetapi masih boleh bertahan  dengan muzik,  komuniti, serta sedikit harapan dalam distorsi.

_____________________________

Dr. Yusry Sulaiman bertugas di Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah, Universiti Utara Malaysia (UUM).

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi