Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKebanyakan filem terbaik tidak laris di pawagam. Benarkah begitu dan mengapa berlaku? Raja Yusoff Ariffin mengimbau sejarah Festival Filem Malaysia, dan filem-filem yang dinobatkan sebagai Filem Terbaik, dan cuba mencari jawapan mengapa kebanyakan filem terbaik gagal di pasaran.
Filem Terbaik Festival Filem Malaysia merupakan antara anugerah besar dan pemenangnya ditunggu-tunggu pada Festival Filem Malaysia (FFM). FFM bertujuan menghargai pembikin filem dalam industri perfileman negara, dikhususkan kepada filem yang telah tercalon untuk filem terbaik pilihan juri.
Penerima anugerah Filem Terbaik diumumkan sebelum penutup malam kemuncak FFM. Anugerah ini penting bagi menentukan mutu penerbitan, pengarahan, lakonan dan penulisan filem yang bertanding. Filem yang layak bertanding adalah yang ditayangkan dari bulan Mei tahun semasa hingga Jun tahun hadapannya, dan pertama kali menyertai FFM.
FFM8 (tahun 1989) dan FFM11 (1994) menjadi sedikit kontroversi apabila Filem Terbaik tidak dipertandingkan, walaupun ada beberapa buah filem mendapat anugerah yang banyak pada FFM tersebut.
Tiada anugerah Filem Terbaik pada FFM pertama (1980), sebaliknya para juri menganggap kategori Filem Heavy Drama Terbaik sebagai filem terbaik ketika itu, dan pemenangnya adalah Tiada Esok Bagimu (TEB). Kategori Filem Terbaik juga tidak menerima banyak pencalonan kerana jumlah filem yang dipertandingkan pun sedikit.
Pada FFM2 (1981), anugerah ini mula diadakan dan penganjur tidak menganggap kategori Filem Heavy Drama Terbaik sebagai kategori utama, sebaliknya memberi peluang semua jenis filem pelbagai genre bertanding untuk kategori Filem Terbaik.
Dia Ibuku (1981) arahan Yassin Salleh diangkat sebagai Filem Terbaik dan mencipta sejarah apabila menggondol 10 anugerah – paling banyak dan rekod tersebut masih belum dapat dipecahkan oleh mana-mana filem. Ketika itu, pencalonan untuk Filem Terbaik masih kurang sehingga FFM5 (1984).
Untuk meningkatkan lagi pencalonan filem dan mengatasi masalah kekurangan bajet, penganjuran FFM diadakan secara dwitahunan. Walau bagaimanapun, jumlah pencalonan untuk kategori Filem Terbaik tetap gagal bertambah.
Pada FFM7 (1987), pencalonan untuk Filem Terbaik bertambah kepada tiga calon. Filem Rahsia (1987) memenangi Filem Terbaik. Seperti yang disebutkan tadi, tiada pemenang Filem Terbaik pada FF8 (1989), kerana filem-filem yang bertanding ketika itu tidak layak menang.
FFM11 (1994), pencalonan untuk Filem Terbaik bertambah kepada lima buah. Pemenangnya adalah PI&…..?, filem yang kontroversi. Penganjur masih mengurangkan pencalonan filem untuk kategori Filem Terbaik pada FFM12 (1995), FFM13 (1997), dan FFM14 (1999).
Walau bagaimanapun, perkara itu berubah apabila bermula tahun 2001 hingga kini jumlah pencalonan (senarai akhir) Filem Terbaik bertambah, dan menghadkan sebanyak sebanyak lima buah filem sahaja.
Berikut senarai penuh pemenang Filem Terbaik FFM:
Antara trivia menarik Filem Terbaik FFM:
Ada seperkara menarik dalam FFM, iaitu banyak filem terbaik tidak mendapat sambutan hangat di pawagam.
Daripada 32 buah filem yang memenangi anugerah Filem Terbaik FFM, kecuali yang jumlah kutipan tidak dapat dipastikan, didapati banyak yang kerugian. Dalam kata lain, “Filem terbaik tidak laku”.
Filem terbaik yang boleh dianggap paling rugi adalah Paloh. Filem arahan Adman Salleh yang dibintangi Janet Khoo, Namron, Zack Taipan, Gibran Agi, Ellie Suriati, dan Hasnul Rahmat ini hanya mengutip RM142,000 daripada kos produksi RM3.8 juta.
HMM juga tidak untung. Dibintangi Stephen Rahman-Hughes, Dato’ Rahim Razali, Umi Nazeera, Khir Rahman Wan Hanafi Su, dan Nell Ng, filem arahan Datuk Yusry Abdul Halim ini mengutip RM6.5 juta daripada kos penerbitan RM8 juta.
Filem terbaik lain yang “tidak laku” termasuklah KMBM, arahan Allahyarham Mamat Khalid dengan para pelakonnya, Datuk Rosyam Nor, Umie Aida, Farid Kamil, Avaa Vanja, Corinne Adrienne, Bront Palarae, Soffi Jikan, dan Ruminah Sidek. Daripada kos penerbitan RM1.4 juta, hanya mengutip RM554,000.
LL (1997) pula memungut RM600,000 daripada kos produksi RM1.5 juta. Filem arahan Datin Paduka Shuhaimi Baba, dibintangi Ida Nerina, Allahyarham Azean Irdawati, Sidi Oraza, Allahyarham Dato’ Ismail Hutson, Man Bai, dan Maman Teacher’s Pet.
Filem arahan Dain Said, Bunohan (2012) juga rugi kerana mengutip RM780,000 berbanding kos penerbitan RM1.81 juta, walaupun menampilkan Faizal Hussein, Pekin Ibrahim, Zahiril Adzim, Bront Palarae, Namron, Wan Hanafi Su, Hushairy Hussein, Amerul Affendi, dan Soffi Jikan.
Sementara itu, LHD (2014) yang dibintangi Wan Hanafi Su, Azhan Rani, Harun Salim Bachik, Soffi Jikan, dan Jalil Hamid hanya mampu memungut RM149,000 ketimbang kos penerbitannya RM2.5 juta.
SS (1995), arahan Dr. Mahadi J. Murat rugi sedikit apabila mengutip RM1.1 juta daripada kos produksi RM1.6 juta. Tiada catatan kos penerbitan dan kutipan untuk filem TEBM, RSJ, MSP, Rahsia, HBK, BM, Selubung, PI&…..? Jogho, Sepet, Gubra, Jagat, Adiwiraku, COTJ, Roh, dan SGR.
Mengikut catatan, DI (1981) yang masih memegang rekod pemenang anugerah terbanyak yang dibintangi Dato’ (Dr.) Sarimah, M. Jamil, Mozaid, dan Aznah Hamid mengutip RM866,476.55 Walau bagaimanapun, kos penerbitannya tidak dinyatakan.
TFS mengutip RM89, 858, tetapi jumlah kos produksinya tidak dinyatakan. Filem arahan Dato’ Rahim Razali ini menampilkan Eman Manan, Jacqueline Mitchell, Dato’ Ahmad Tamimi Siregar, Liza Othman, Dr. Ghouse Nasruddin, dan Allahyarham Hisham Ahmad Tajuddin.
Apabila disebut kebanyakan filem terbaik yang rugi, ertinya bukan semua filem sedemikian gagal di pasaran. Masih ada yang tidak rugi walaupun kutipannya hanya sedikit lebih sedikit daripada kos penerbitan.
Sebagai contoh, BK (1981), arahan Tan Sri Datuk Jins Shamsuddin yang dibintangi Allahyarham A. Rahim, Allahyarham Hussein Abu Hassan, Datuk Yusof Haslam, dan Datuk Jins sendiri mengutip RM1.7 juta daripada kos produksi RM1.3 juta.
Filem terbaik FFM yang membuat kutipan agak banyak adalah yang diarahkan oleh Aziz M. Osman, Leftenan Adnan (2000). Dibintangi Hairie Othman, Datin Sri Umie Aida, Rusdi Ramli, Faizal Hussein, Wahid Senario dan Farid Amirul Hisham Wu Abdullah, memperoleh RM4.8 juta ketimbang RM2.5 juta kos produksi.
Begitu juga dengan KLM (2002), lakonan Datuk Rosyam Nor, Lisdawati, Faizal Hussein, Danny X-Factor, Saiful Apek, Liza Hanim dan Hasnul Rahmat, arahan Bade Hj. Azmi yang memungut RM2.87 juta daripada kos penerbitan RM1.5 juta.
Walau bagaimanapun, filem terbaik FFM yang sangat laris setakat ini adalah Imaginur (2023), arahan Nik Amir Mustapha. Menampilkan Beto Kusyairy, Diana Danielle, Afdlin, Nadiya Nisaa, Mior Hashim Manap, dan Fatimah, iaitu mengutip RM6.03 juta!
Menariknya, Imaginur laris terlebih dahulu sebelum dinobatkan sebagai Filem Terbaik FFM33. Mula ditayangkan di pawagam pada 23 Februari 2023, sedangkan FFM33 berlangsung pada 7 Disember 2023.
Adakah yang dapat mengatasi Imaginur? Antara filem yang akan menyertai FFM34 termasuklah Blood Brothers: Bara Naga (BBBN) yang mengutip RM76 juta daripada RM7 juta kos penerbitan, Ejen Ali: The Movie 2 (EATM2) memperoleh RM59.3 juta berbanding RM10 juta, dan Takluk: Lahad Datu (TLD – RM26 juta daripada RM12 juta).
Jika BBBN, EATM2, ataupun TLD dinobatkan sebagai Filem Terbaik FFM34, bermakna tercipta satu rekod, iaitu filem terbaik yang terlaris dalam sejarah perfileman tanah air!
Sukar menjawab persoalan mengapa banyak filem terbaik FFM gagal di pasaran. Afdlin sendiri pada tahun 2008 semasa sidang media pratonton Papadom, bersetuju dengan penulis bahawa filem terbaik tidak laku.
Penulis terjumpa sebuah tulisan berjudul Filem yang Menang Anugerah Tidak Laku – Salah Penonton atau Pembikin Filem? oleh Namri Sidek dalam portal Iluminasi berjudul bertarikh 26 September 2017. Ertinya, persoalan ini berterusan ditimbulkan.
Namri bertanya apakah kesalahan boleh diletakkan pada citarasa penonton. Jika difikirkan dengan mendalam, katanya, tiada sebarang tanggungjawab yang penonton perlu penuhi untuk menonton mana-mana filem mengikut citarasa mereka.
Jelas beliau, menyalahkan citarasa masyarakat yang gemar sesuatu yang ringan, dan “tutup otak” bukan jalan penyelesaian, kerana harus mengakui, pembikinan filem adalah satu bentuk perniagaan yang perlu diterima naik turunnya.
Jadi, dengan terus menyalahkan masyarakat kerana tidak mahu menonton filem berat, samalah seperti menyalahkan orang yang membeli kereta Perodua, sedangkan Mercedez lebih baik”, kata Namri.
_________________________________
Raja Yusoff Ariffin atau nama sebenarnya Raja Yusoff Raja Ariffin, adalah penulis bebas sepenuh masa sejak tahun 2002. Mula menulis pada tahun 1982 merangkumi genre puisi (sajak dan pantun), dan cerpen, serta rencana, ulasan, kritikan, dan berita yang tersiar dalam hampir semua akhbar, dan majalah berbahasa Melayu tanah air.