Diterbitkan pada 24 Oktober 2025, 09:18

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Sejak tahun 1948, tarikh 15 Mei setiap tahun akan diingati sebagai Hari Nakbah yang menandakan satu pengkhianatan Barat ke atas bumi Palestin. Onar dan dosa sejarah ini terletak pada kenyataan penubuhan pemerintahan haram Israel di tanah yang sememangnya menjadi hak milik umat Islam. Kewujudan pemerintahan haram tersebut lahir dari kandungan imperialisme British yang berbidankan sokongan Amerika Syarikat sejak sekian lama.

Dalam tempoh 77 tahun tersebut, pelbagai tragedi dan krisis hingga membawa pertumpahan darah di bumi Palestin telah berlaku yang kesannya turut dirasai dalam kalangan masyarakat. Seiring dengan itu, karya seni tanah air terutama melalui lagu Rock oleh XPDC, Dato’ Hattan, Amuk, Spider dan Barbarik telah mengartikulasikan rasa kemanusiaan berhubung keperitan sejarah umat Islam ini.

Dalam rangkaian kata yang eksplisit, lirik tersebut membangkitkan kesedaran tentang nasib mereka yang ditindas di bumi Palestin buat kita berfikir serta bertindak terhadap krisis kemanusiaan tersebut.

Dengan gelaran Metallica Malaysia, kumpulan XPDC tidak semata-mata menjanjikan irama lagu berentak keras dan puitis tentang cinta, mereka turut mempersembahkan lagu yang menyentuh isu konflik di Timur Tengah itu sendiri. Olahan lirik tersebut disajikan dengan susunan muzik yang mempunyai irama melankolik serta keras menerusi lagu Hujan Airmata dan Anti Perang.

Kedua-dua lagu ini dimuatkan dalam album V6 (2002 ) dengan mesej kemanusiaan terhadap isu di Palestin dalam ungkapan secara tersirat. Melalui vokal Ali, Anti Perang dipertaruhkan sebagai sebuah lagu yang lantang menentang kerakusan, keegoan serta kezaliman manusia dalam melaksanakan perang untuk kepentingan sendiri. Bagi lagu Hujan Airmata pula, liriknya lebih lunak dengan pertanyaan bernada kemanusiaan serta roh simpati seperti bait-bait berikut:

Mana hilang kasih sayang diberikan Tuhan pada kita insan

Hingga kita biar saja hujan airmata yang melimpah.

Dalam lirik lagu itu juga, isu rintihan terhadap kedamaian, perasaan ketakutan serta harapan untuk hidup lebih baik turut dituliskan untuk mencuit rasa keinsanan dalam kalangan pendengar. Pentingnya perkara ini terletak pada keupayaan lagu tersebut dalam menyampaikan mesej tentang bumi Palestin walaupun perkara itu tidak dijelmakan secara tersurat dalam baris lirik yang ada.

Bagaikan satu kesinambungan secara tidak langsung, Dato’ Hattan pada tahun 2002 muncul dengan sebuah lagu yang senada dengan XPDC tadi dengan tajuk Perjuangan (Palestin Berterusan). Dalam petikan gitar akustik dan susunan muzik yang rancak, lagu hasil ciptaan Tam Spider dan lirik oleh Bob Lokman ini disampaikan dengan jelas tentang nasib rakyat di bumi Palestin.

Jika kita fikirkan bersama-sama, tahun 2002 ini merupakan satu tempoh kegilaan oleh regim Ariel Sharon (2001-2006) yang ketika itu memegang jawatan sebagai Perdana Menteri Israel. Penindasan yang dibuat ke atas penduduk di bumi Palestin benar-benar mengerikan, lalu mendorong tindakan Intifada Al-Aqsa (2000-2007) serta reaksi balas dari pemimpin Palestin, Yasser Arafat (1996-2004).

Nyawa penduduk Palestin bagaikan tiada nilainya apabila menjadi sasaran, semburan peluru, senapang serta mangsa kepada muncung kereta kebal yang sentiasa ternganga. Lantaran itu, Dato’ Hattan dalam nyanyiannya cuba untuk memvisualkan imej perjuangan penduduk yang ditindas dalam baris liriknya:

  Jika mampu bunuhlah aku

 Pastikan bangkit semangat yang satu

 Jika mahu rampas bumiku

 Korban satu kan ganti seribu

 

Hidup dan mati bukan hukuman

Engkau bukan sandaran

Perang ini satu ketentuan

Ada yang wajib di pertahan

Lirik berkenaan berupaya dan bertenaga dalam menggambarkan sikap rakyat Palestin yang tidak dayus mempertahankan tanah air mereka tatkala diasak oleh kedurjanaan tentera Israel. Sebab itulah satu cadangan yang merepek dan tidak berasas apabila mereka ingin dikeluarkan daripada Palestin atas penyelesaian konflik secara damai seperti yang diutarakan oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.

Segalanya kerana Palestin adalah bumi milik rakyatnya dan bukannya untuk Zionis seperti yang telah termaktub dalam catatan sejarah sejak dahulu. Cubit peha kiri, peha kanan terasa sakit, begitulah ibarat rasa persaudaraan dalam dunia Islam terhadap konflik tersebut. Kumpulan Amuk dalam hal ini tidak ketinggalan dalam menyuarakan isu keganasan Israel dalam lagu yang bertajuk Sharon melalui album Hakikat pada tahun 2002.

Lebih keras dan tajam, lagu yang dinyanyikan oleh Bandi ini mengungkapkan kutukan serta kecaman terhadap pemimpin Israel tersebut seperti yang ditunjukkan dalam liriknya:

Arahan pendamaian tiada satu kau tepati

Kerna kuasa rakyat jelata jadi taruhan

Kaulah manusia

(Sharon Dajjal!)

Bertopeng puaka!

Kata-kata berapi yang dinukilkan dalam lirik tersebut mencerminkan realiti pihak Zionis yang sememangnya tidak pernah mematuhi undang-undang antarabangsa biarpun dikemukakan di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di samping kenyataan di Mahkamah Keadilan Antarabangsa di The Hague, Belanda.

Bukan sahaja pada zaman Sharon, bahkan kekejaman serta genosid berterusan di bumi Palestin sehingga kini ketika pentadbiran Benjamin Netanyahu yang jelas mewarisi dasar pentadbiran Perdana Menteri sebelumnya iaitu David Ben-Gurion (1948-1953; 1955-1963), Levi Eshkol (1963-1969), Golda Meir (1969-1974) serta Menachem Begin (1977-1983). Biarpun lagu kumpulan Amuk sudah berusia 23 tahun dalam industri muzik, namun konflik di Palestin tidak kunjung reda yang membabitkan gerakan jihad dalam bentuk serangan balas baik dalam kalangan Hamas, Hizbullah mahupun tentera Al-Qassam.

Lebih sedih dan pedih apabila kebanyakan negara-negara Islam seolah-olah bisu mulut dan pekak telinga tanpa satu tindakan yang benar-benar menggoncang kedudukan Israel supaya menamatkan kesemua kekejaman. Sebagai penduduk di Malaysia, kita masih dapat merasai keperitan hidup penduduk di sana yang sememangnya tidak kunjung reda dari zaman pentadbiran Tun Dr. Mahathir sehinggalah Dato’ Seri Anwar Ibrahim kini. Bukanlah untuk bersifat pesimis, akan tetapi konflik ini bagaikan tiada kesudahan walaupun ada usaha gencatan senjata, namun bagaikan perubahan musim yang pastinya kembali berkecamuk apabila tibanya tempoh atau peristiwa tertentu.

Bukannya untuk menunggang isu Palestin yang sentiasa hangat, kumpulan Barbarik pada tahun 2024 turut mengetengahkan isu Palestin ini dalam lagu, Peluru Coklat. Kumpulan ini merupakan satu jelmaan artis kumpulan Rock baharu yang dianggotai oleh JoBranko (gitar), Muss (vokalis), Ainoll (drum) dan Rozaimie (bass) yang berani mengetengahkan isu-isu kemanusiaan dalam lagu-lagu mereka.

Kehadiran lagu Peluru Coklat ini tepat pada masanya, iaitu di tengah-tengah konflik pembantaian rakyat Palestin pasca 7 Oktober 2023 yang pastinya mengakibatkan ribuan korban nyawa. Hal ini menandai satu titik penting tatkala isu Palestin ini sentiasa menjadi buah bicara dalam kalangan intelektual seperti Edward W. Said, Noam Chomsky, Fareed Zakaria serta John Mearsheimer yang sentiasa membahaskan krisis di Palestin. Gubahan lirik daripada Barbarik mempersembahkan realiti di Palestin kini dengan ungkapan:

Setanik selamba

Lu terus muntahkan peluru

Bagaikan menabur cokelat

Meragutkan jasad dan jiwa

Tanpa kasihan

Jelas betapa suara kesenian muzik mampu menzahirkan kebencian dan amarah terhadap pelakuan pihak yang bermatlamatkan kedurjanaan serta cita-cita kezaliman ke atas pihak yang lebih lemah. Lagu tersebut turut memberi kesedaran kepada kita bahawa imej krisis di Palestin ini telah menjadi satu tayangan global yang dipromosikan dalam pelbagai versi secara dikotomi dengan dakwaan seolah-olah masyarakat Palestin itu punca kepada keganasan.

Hal ini dimanfaatkan oleh pihak Barat terutamanya melalui media perdana seperti saluran berita BBC, CNN, The Times dan tidak terkecuali hebahan dari Rumah Putih di Washington D.C. Lama-kelamaan, dibentuk untuk membina satu doktrin yang diharapkan dapat mempengaruhi pandangan sejagat supaya memperlihatkan pihak Zionis itu benar manakala pejuang Palestin sebagai pengganas.

Secara retrospektif, gesaan untuk meruntuhkan mitos dan bobrokan pemikiran ini telah disuarakan oleh lagu Rasakan Resapkan nyanyian Spider yang liriknya dihasilkan oleh Datuk M. Nasir pada 2010. Tuntutan dari lirik tersebut jelas supaya kita menghapuskan serta menafikan segala elemen Israilliyat yang sentiasa membayangi kehidupan kita tentang realiti dunia sedia ada. Oleh itu, setiap produk seni dalam bentuk lirik-lirik lagu yang didengari oleh kita ternyata bukanlah untuk hiburan semata-mata kerana di sebaliknya tersimpan mesej manusiawi untuk sama-sama kita fikirkan.

Untuk membicarakan isu Palestin ini, kita seharusnya melihat dan menilai dari pelbagai segi serta sudut kehidupan yang terbentang di hadapan kita. Lagu-lagu yang disebutkan sebelum ini seharusnya menjadi ruang bacaan untuk membangkitkan literasi dalam diri kita terhadap nasib mereka yang tertindas di bumi mereka sendiri. Isu Palestin yang berlarutan sekian lama ini sememangnya melampaui persoalan agama kerana  membabitkan soal kemanusiaan yang akhirnya mempertaruhkan nyawa masyarakat tidak berdosa baik kanak-kanak mahupun wanita.

Lirik lagu daripada nyanyian XPDC, Dato’ Hattan, Amuk, Spider dan Barbarik secara tak langsung telah membentuk satu peta kesedaran dalam minda kita tentang Semenanjung Gaza, Baitulmaqdis dan Masijd Al-Aqsa. Tidak keterlaluan jika dikatakan usaha-usaha pemuzik ini sememangnya bergerak seiring dengan kegiatan akademik hari ini yang sibuk membicarakan isu Palestin sama ada di kaca televisyen oleh penganalisis politik mahupun di menara gading oleh individu dengan gelaran pensyarah. Cumanya, saluran muzik ini lebih mudah untuk sampai dan meresapi ke dalam jiwa kepada sesiapa yang mendengarnya sambil berfikir.

Sebagai kata-kata dalam akhir bicara, lagu-lagu Rock tanah air yang disebutkan di sini sememangnya sarat dengan mesej kemanusiaan. Kita dan Palestin terasa dekat melalui seni kata daripada artis tersebut kerana mampu untuk menjambatani beberapa perkara dari segi rasa kemanusiaan, legasi sejarah yang tragik serta perjuangan untuk sebuah kebebasan tanah air.

Tidak banyak artis yang berani tampil dengan buah tangan seperti ini kerana mereka tidak yakin lagu-lagu seumpama itu mampu mendapat tempat dalam pasaran selain daripada risiko tidak dimainkan di corong-corong radio. Meskipun Malaysia dan Palestin jauhnya beribu batu, tetapi gubahan muzik yang kreatif mampu mendekatkan perasaan kita yang setidak-tidaknya berupaya untuk mendorong rasa simpati di samping kesediaan bagi menghulurkan bantuan semampu mungkin.

Keberadaan lirik lagu juga memberi isyarat kepada kita bahawa perihal Palestin bukan sahaja terletak dalam tulisan buku akademik, tetapi mampu kita cerna dan cermati dari ketulusan jiwa seni oleh penggiat industri muzik tanah air.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi