Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangApa khabar, Rai! Bagaimanakah rasanya setelah lulus pengajian Doktor Falsafah dengan mengkaji filem-filemku dan menjadi sarjana P. Ramlee yang mutakhir? Bagaimanakah kau berhujah dengan satu daripada seorang panel penilai yang mengatakan penyelidikanmu tidak berada dalam spektrum akademik? Malah kajianmu lebih bersifat dokumentari sanjungan.
Bagaimanakah kau mempertahankan diriku sebagai sebuah institusi keilmuan dan membingkai diriku sebagai sebuah kearifan tempatan? Bagaimanakah dengan sanggahan bahawa untuk menjadi pengkaji P Ramlee, kau tidak perlu berkelulusan tinggi? Bagaimanakah penerimaanmu apabila dilabel sebagai “pesakit kronik P. Ramlee”?
Dalam Berita Harian (23 Jun 1968) ketika sedang menyiapkan Ahmad Albab, aku menyatakan telah berlaku banyak perubahan dalam selera penonton filem. Orang yang pandai semakin banyak. Mereka suka tengok filem Barat. Jika aku yang berlakon, siapa akan menontonnya? Budak universiti akan bertanya apa kelulusan P. Ramlee? Tetapi sekarang, karya-karyaku dikaji oleh “budak-budak universiti”, termasuklah dirimu.
Perihal tidak perlu ada ijazah tinggi untuk mengkaji hasil kerjaku, itu juga mungkin benar. Kalian hanya memerlukan minat, ketekunan, keikhlasan dan sedikit “kegilaan”. Tetapi jika ada yang mengaji tinggi, maka bentangkanlah dapatan kajian kalian selayak kelulusan.
Apakah cukup sekadar membuat perkongsian salin tampal tanpa memberi kredit atau lebih parah, mencuri hasil kajian orang lain dan menerbitkannya semula tanpa izin? Atau masih mengulang naratif lapok dan memainkan cerita sudut gelap berbaur sensasi? Bagaimanakah dengan usaha untuk membahaskan pemikiran serta kepengaranganku yang berunsur kosmpolitan?
Tidakkah ditemui bayangan filem Sanshiro Sugata dalam Pendekar Bujang Lapok dan Kanchan Tirana? Tidakkah dikaji sejauh mana aku menyukai Edith Piaf sehingga lagu La Vie En Rose terpercik dalam lagu Dengarlah Gemala Hati atau bagaimana aku mengambil sedikit elemen Mambo Italiano ke dalam lagu Madu Tiga? Aku juga terpengaruh dengan filem James Bond, maka elemen lagu From Russia with Love aku masukkan suntik ke dalam lagu Di Pinggiran. Bagaimanakah adegan tinju filem City Lights arahan Charlie Chaplin kubawa ke Nasib Si Labu Labi, pernahkah diteliti sejauh mana persamaannya? Gunung Seulawah yang disebut dalam Gambus Jodoh itu tahukah kalian di mana letaknya? Itu homaj Sudarmaji untuk leluhur di sebelah ayahandaku.
Sudahkah kau tonton Tea House of August Moon lakonan Marlon Brando? Filem itu mengejek pendudukan Amerika di Jepun tetapi protagonis bangsa Jepunnya dilakonkan oleh Marlon Brando dari Amerika. Tidakkah mahu diperhalusi kaedah aku mengejek pihak tertentu dalam filemku? Sebelum Perdana Menteri keempat memperkenalkan Dasar Pandang Ke Timur, aku sudah melangkah ke Negara Matahari Terbit melalui hasil kerjaku.
Lagu Eriko nyanyian Yukio Hashi pada tahun 1962 kugubah semula dengan tiupan klarinet solo untuk filem Tiga Abdul. Ah, sudah tentu kau ingat lagu itu yang melatari adegan Abdul Wahub menari bersama “kekasih upahannya” untuk meledakkan marah Sadiq Segaraga. Sebelum kalian mengagumi lagu Bohemian Rhapsody ciptaan Freddie Mercury, aku telah tampil dengan lagu Anekaragam yang menghiasi filem Belantara pada tahun 1957.
Masihkah diulang naratif aku dipinggirkan dan tidak dilayan sewajarnya oleh pihak tertentu? Masihkah diulang cerita aku menunggu Sally di kantin RTM tetapi dipadankan dengan gambarku sedang menyelenggarakan rakaman lagu Mimi Loma di Studio King, Petaling Jaya? Atau cerita pelbagai versi aku “diboo” oleh anak muda yang ketika itu sedang gilakan pop yeh-yeh?
Sudah pasti cerita kemiskinan di hujung usiaku diromantisasikan berlebihan hingga apa yang terhidang di meja makan pun menjadi penunjuk kepapaan. Bagaimanakah kau menapis kisah-kisah berunsur mistik tentang kebolehanku mengubat orang dan unsur-unsur misteri yang melingkari diriku? Pasti banyak kandungan media dengan tajuk mengumpan yang isinya dijangka menggemparkan tetapi nihil nilai? Sudahkah kalian menghayati pesanan isteri Jim (kalian memanggilnya Dato’ Hajah Rosnani Jamil) bahawa mereka yang memperolehi rezeki dengan namaku hendaklah bersih hati, tidak menyebut yang bukan-bukan tentang diriku dan sentiasa mendoakan yang baik-baik.
Rai, masihkah diulang naratif sekian-sekian pihak memungkiri sederet janji, kononnya untuk memberikan ekosistem pengarahan filem yang lebih sempurna ketika aku berpindah ke Kuala Lumpur? Atau cerita tentang mutu karyaku yang merosot berbanding di Singapura dan aku tidak sepatutnya meninggalkan Pulau Temasik itu? Ya, mungkin sahaja mutu karyaku di Kuala Lumpur tidak sama dengan mutu karyaku di Jalan Ampas tetapi aku bertahan dengan 16 filem sehingga habis umur.
Studio Jalan Ampas ditutup tiga tahun sebaik sahaja aku berpindah ke mari tetapi aku terus menghasilkan filem. Tidak ada duit, buat cara tidak ada duit. Mutu filemku merudum teruk? Kau dapat namakan filem apa yang paling berkualiti dan hebat pada era itu? Pada zamanmu, sekurang-kurangnya filem Anak Bapak, Keluarga 69 dan trilogi Do Re Mi diulang-ulang. Dialog dan falsafahnya terus diingati. Watak Pak Maon sering masuk ke dalam meme dan parodi pada era media baharu.
Watak Cikgu Shaari diulang-ulang rujuk setiap kali menjelang Hari Guru. Akui sahaja, zaman itu zaman mencabar dan memang filem tempatan mengalami persaingan hebat dengan televisyen dan filem luar yang jauh lebih cantik.

Lihat bagaimana sahabatmu Nazirul, seorang lagi pesakit kronik P. Ramlee, mengkaji Ahmad Albab dan capaian tentang diriku di era digital? Aku pernah mengatakan bahawa Ahmad Albab akan menjadi filem terakhirku dan aku tidak mahu lagi menjadi pengarah selepas tahun 1968, menjelang usiaku 40 tahun.
Apakah kerana aku kecewa dengan keadaan perfileman tempatan dan sambutan khalayak ketika itu? Apakah aku sudah putus asa diasak kemasukan filem antarabangsa dan kehadiran televisyen? Tetapi persaraanku tidak berlaku dan aku terus mengarah lagi lapan buah filem sehingga habis hayat.
Barangkali ada hikmahnya hayatku habis di tanah kelahiran sendiri. Aku lebih diingati. Setiap tahun akan ada tahlil dan bacaan doa selamat untukku. Setiap tahun dibuat forum, seminar dan acara imbas kembali. Pertandingan nyanyian tiru gayaku apatah lagi. Aku tahu kau kurang gemar dengan acara-acara seperti itu, tetapi semua lapisan masyarakat ada kaedah tersendiri memperingatiku.

Akan tetapi mungkin tak perlulah lagi mencari pengganti diriku kerana setiap insan seni datang dengan pakej tersendiri. Zamanmu adalah zaman media baharu dan ledakan kecerdasan buatan. Apakah masih berminat dengan naratif alif mim nun wau atau salah pangkah jamban dapat najis? Pastinya senda maya tentang salah pangkah ini akan kembali riuh menjelang musim pemilihan nanti. Kebanyakan penggiat seni dan peminat menghasilkan kembali gambarku dengan aneka imaginasi dan kreativiti, sesuai dengan tuntutan zamanmu.
Kalian wajar berterima kasih kepada Timbalan Mufti Pahang, Ustaz Dato’ Badlishah yang mengkaji gaya nyanyianku yang mengikut tajwid dan berkongsi tentang inspirasi qasidah serta selawat dalam penciptaan lagu-laguku. Bagaimanakah dengan audio siar Sembang Sambung yang menampilkan tetamu yang dapat memberi persepsi baharu serta lebih bijaksana tentang diriku?
Tentu sahaja usaha menampilkan tetamu sumber primer yang lebih kukuh sanadnya agar dapat meluruskan banyak perkara tentang diri ini yang sering disalah anggap. Sampaikan salamku kepada Adlin anak sahabatku, Dato’ Khai menantu sahabatku dan pasukan penyelidik mereka yang akan menghasilkan filem berkisar riwayat hidupku.
Semoga semuanya berjalan lancar dan filem itu nanti akan menjadi wacana balas yang adil untuk diriku. Bagaimanakah usaha membawaku sebagai Memory of The World ke UNESCO? Sulalatus Salatin, Hikayat Hang Tuah dan Surat-Surat Sultan Abdul Hamid Kedah telah dibawa pada tahun 2001, Misa Melayu karangan Raja Chulan telah dibawa pada tahun 2023. Jadi aku harap ada pihak yang berikhtiar untuk memastikan namaku terdaftar di sana.
Semoga semua usaha untuk mengingatiku diiringi hati yang tulus dan sanjungan yang dilapisi kebijaksanaan.
______________________________
RAIHANI MOHD. SAAID merupakan seorang penyair, penulis dan pengkaji P. Ramlee. Bukunya mengenai pemikiran dalam filem P. Ramlee, Suara Nusa Dalam Filem-filem Seniman Agung telah diterbitkan oleh The Biblio Press pada tahun 2022. Kini bertugas sebagai penyelidik di sebuah universiti swasta tanah air.