Diterbitkan pada 4 November 2025, 16:12

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Dalam arus persaingan perniagaan global, banyak syarikat multinasional mula berusaha merangka identiti korporatnya sendiri yang menonjolkan imej yang eksklusif. Usaha tersebut merupakan strategi untuk memperkukuhkan kedudukan imej korporat dalam pasaran bagi menawan keyakinan pelabur dan menyerlahkan keunggulan jenama syarikat.

Bersesuaian dengan landskap korporat, beberapa syarikat multinasional telah mula menjadikan seni warisan sebagai aset strategik yang berperanan penting bagi membina jenama, mengukuhkan reputasi serta menambah nilai dalam imej korporat.

Situasi sebegini telah mula dapat dilihat dengan beberapa buah syarikat multinasional mula menyalurkan dana melalui program tanggungjawab sosial korporat (CSR) untuk mengintegrasikan seni warisan bagi membina imej korporat.

Beberapa syarikat besar seperti Samsung Group yang beroperasi di Korea Selatan telah melancarkan Samsung Museum of Art (Leeum) di Seoul untuk menampilkan koleksi seni warisan klasik Korea bersama karya moden, manakala Toyota Motor Corporation di Jepun pula menyokong pameran seni tradisional Jepun sebagai sebahagian daripada identiti jenama mereka.

Sementara itu, Unilever PLC sebuah syarikat multinasional di London juga pernah menaja beberapa projek seni komuniti yang berteraskan kepada warisan budaya tempatan di London. Bagi syarikat multinasional tersebut, pengintegrasian seni warisan merupakan sebahagian daripada strategi membangunkan imej korporat melalui CSR yang bukan sahaja menonjolkan keunikan dan eksklusiviti jenama, malah memperkukuhkan reputasi serta meningkatkan daya saing peringkat global.

Berikutan dengan pendekatan strategik yang telah dilaksanakan oleh beberapa syarikat multinasional, syarikat besar yang beroperasi di Malaysia juga mula turut sama-sama terlibat untuk membangunkan imej korporat syarikatnya melalui integrasi seni warisan tempatan.

Kesemuanya ini telah mewujudkan tanggungjawab sosial syarikatnya untuk terlibat dengan sebarang aktiviti,  sama ada mempamerkan warisan budaya tempatan, mengangkat seni tradisi ke dalam kempen pemasaran, mewujudkan ruang korporat yang beridentitikan nilai seni mahu pun konsep penajaan untuk memperkukuhkan reputasi serta daya saing di pasaran.

Selari dengan CSR ini juga, Malaysia Airlines System (MAS) diantara syarikat multinasional di Malaysia yang telah berusaha mengintegrasikan seni warisan dalam pembangunan imej korporatnya. Sejak awal penubuhannya lagi, MAS telah menampilkan identiti Malaysia melalui elemen seni tradisional dalam reka bentuk seragam pramugari yang berasaskan kebaya, corak batik pada fabrik serta penggunaan motif warisan dalam kempen pemasaran dan dekorasi dalaman pesawat.

Selain itu, Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) juga merupakan diantara syarikat multinasional di Malaysia yang menonjolkan seni warisan dalam membina imej korporatnya. Penubuhan Galeri PETRONAS pada tahun 1993 telah berperanan untuk mempamerkan serta memelihara karya seni visual tempatan ke peringkat antarabangsa. Galeri ini juga telah menjadi platform kepada pihak kerajaan didalam membantu menampilkan kepelbagaian budaya disamping mengangkat bakat seniman sebagai sebahagian daripada naratif korporat PETRONAS di peringkat global.

Integrasi seni tradisi bukan sahaja membina imej korporat semata-mata, malah berperanan sebagai duta budaya negara di pentas global. Secara tidak langsung,  memperlihatkan keindahan warisan Malaysia ke persada dunia, di samping memperkukuh identiti korporat syarikat tempatan untuk membawa jenama mereka ke peringkat antarabangsa dengan lebih berwibawa dan berdaya saing.

Selain daripada syarikat korporat, beberapa agensi kerajaan juga turut bersama dalam mengintergrasikan seni warisan melalui CSR demi pembangunan imej korporatnya, seperti Bank Negara Malaysia (BNM).

BNM, sebuah agensi bank pusat yang mengawal selia sistem kewangan dan memastikan kestabilan ekonomi. Pada masa yang sama, bagi memastikan imej korporatnya kekal relevan dan berwibawa dalam pengurusannya, BNM telah komited untuk membina pendekatan CSR melalui mengintegrasikan seni warisan dalam organisasinya.

Melalui strategi imej korporat, BNM telah menubuhkan sebuah Galeri Seni Bank Negara Malaysia. Galeri ini bukan hanya bertujuan untuk mempamerkan koleksi seni tempatan sahaja tetapi pada masa yang sama juga mencerminkan warisan negara. Kesemuanya ini memperlihatkan komitmen BNM terhadap pendekatan CSR dalam memelihara dan mendidik masyarakat terhadap seni warisan.

Pada tahun 1983, Malaysia telah melancarkan secara rasmi Dasar Penswastaan kepada beberapa agensi kerajaan. Dasar sebagai satu daripada strategi kerajaan untuk mengurangkan beban kewangan sektor awam, meningkatkan kecekapan perkhidmatan, serta menggalakkan penglibatan sektor swasta dalam pembangunan ekonomi negara.

Beberapa agensi kerajaan seperti Petronas, MAS, Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Telekom Malaysia (TM) telah mula terlibat dari organisasi berasaskan sosial kepada entiti perniagaan yang berorientasikan keuntungan.

Lantas, pembangunan imej korporat amat penting untuk membentuk reputasi, keyakinan pelanggan dan kepercayaan pelabur asing terhadap imej. Sehubungan itu, integrasi seni warisan telah dijadikan sebagai pendekatan utama dalam membina strategi untuk menonjolkan imej korporat melalui pemeliharaan dan penajaan festival budaya, pameran seni atau program pembangunan bakat seni tempatan.

Seiring dengan itu, beberapa syarikat multinasional di Indonesia juga telah menjadikan integrasi seni warisan melalui CSR sebagai strategi penting dalam membangunkan imej korporat. PT Unilever Indonesia diantara syarikat yang bertanggungjawab kepada penajaan program pemeliharaan batik dan kraftangan tradisional.

Usaha tersebut bukan sahaja untuk melestarikan warisan budaya tempatan, tetapi juga sebagai strategi niaga bagi mendekatkan jenama serta imej korporat bagi mengukuhkan kesetiaan pelanggan terhadap produk keluarannya. Begitu juga dengan PT Telkom Indonesia yang melancarkarkan festival seni budaya sebagai medium untuk memperluaskan capaian pasaran yang sekaligus membina imej korporat sebagai syarikat telekomunikasi.

Sementara itu, PT Bank Central Asia (BCA) pula menyalurkan CSR melalui penganjuran seni persembahan, pameran budaya dan pendidikan seni yang berfungsi meningkatkan keyakinan pelanggan serta pelabur terhadap kredibiliti bank tersebut.

Pendekatan ini membuktikan bahawa seni warisan bukan sekadar elemen sosial sahaja, sebaliknya sebagai instrumen strategik yang mampu menambah nilai daya saing syarikat dan memperkukuh reputasi jenama, disamping membentuk tanggungjawab sosial untuk membina imej korporat.

Malah, pihak akademik telah mula membincangkan konsep integrasi seni budaya melalui CSR boleh dihuraikan sebagai satu strategi korporat yang merangkumi tiga dimensi utama, iaitu ekonomi, sosial, dan budaya.

Sementara itu, dalam pengajian pengurusan pula, imej korporat sering dikaitkan dengan teori pemegang taruh yang menekankan kepentingan hubungan antara organisasi dengan masyarakat di sekelilingnya.

Manakala dalam konteks CSR dalam seni warisan pula, sesebuah syarikat itu bukan sahaja memenuhi tanggungjawab sosial sebagai entiti perniagaan, malahan juga membina model simbolik yang mampu meningkatkan reputasi dan nilai jenama. Melalui sudut pemasaran pula, pendekatan ini dapat dilihat sebagai strategi pembezaan yang menjadikan imej sesebuah syarikat itu lebih unik berbanding pesaing lain.

Secara keseluruhannya, integrasi seni warisan melalui pelaksanaan CSR adalah seiring dengan agenda pembangunan lestari seperti yang digariskan oleh UNESCO dalam model Sustainable Development Goals (SDG).

Konsep kelestarian pada seni warisan ini akan membentuk nila imej korporat sekarang yang memberi perhatian terhadap pemeliharaan warisan, memelihara warisan persekitaran serta mengukuhkan ikatan sosial yang dapat memberi nilai tambah kepada pertumbuhan ekonomi syarikat.

Perlaksanaan beberapa syarikat multinasional tempatan seperti Petronas, MAS dan BNM terhadap konsep integrasi seni warisan dalam CSR bukan sahaja membina imej korporatnya, malahan diiktiraf sebagai strategik yang lebih berdaya saing.

Akhir kata, konsep integrasi seni warisan dan CSR, bukan sekadar memenuhi tanggungjawab sosial semata-mata, sebaliknya ianya merupakan strategik nilai tambah yang mampu meningkatkan imej korporat keperingkat global.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi