Diterbitkan pada 17 November 2025, 11:41

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Satu perkembangan menarik apabila Kementerian Komunikasi meneliti cadangan mewujudkan Hari Muzik Negara (HMN) yang bertujuan mengiktiraf sumbangan penggiat muzik tempatan serta memperkukuhkan ekosistem industri muzik negara.

Menurut Menterinya, YB Datuk Fahmi Fadzil, cadangan itu akan dimasukkan dalam siri syor hasil kajian menyeluruh mengenai industri muzik yang telah diselesaikan oleh kementerian beliau bersama-sama MyCreative Ventures.

Katanya, sejak tahun lalu beliau telah meminta MyCreative Ventures dan Kementerian Komunikasi meneliti kewajaran mewujudkan satu akta khas untuk industri muzik. Bercakap kepada pihak media selepas merasmikan Majlis Penutup Riuh x ASEAN di Stadium Merdeka baru-baru ini, YB Datuk Fahmi Fadzil memberitahu kajian itu kini telah disiapkan, dan akan menjadi asas kepada hala tuju industri berkenaan.

Jelas beliau, antara perkara yang dibentangkan kepada Jemaah Menteri termasuklah penubuhan akta muzik, serta sambutan HMN yang akan meraikan keupayaan pemuzik dalam pelbagai aliran, daripada tradisional hingga kontemporari.

Beliau melihat ada kewajaran untuk kita meraikan sumbangan para pemuzik tempatan. Meskipun telah ada majlis anugerah muzik tertentu, tambahnya, HMN boleh menjadi wadah lebih menyeluruh untuk menghargai semua genre, dan bakat tempatan.

Memanaskan perkara ini, penulis bertanya kepada beberapa orang pemuzik (penyanyi dan komposer) veteran dan peminat muzik, yang nama mereka tidak disiarkan. Ada yang enggan mengulas awal kerana menganggap muzik Malaysia kini terlalu banyak dicemari pengaruh luar.

Ada pula yang terkejut kerana berpendapat belum ada keperluan mewujudkan HMN. Beliau turut bertanya manfaatnya kepada dunia muzik tanah air, dan benteng untuk mempertahankan jati diri muzik negara kita.

Lebih pedas, pemuzik berkenaan turut bertanya mampukah pemuzik Malaysia mengelakkan diri daripada diperguna oleh ahli politik, ataupun mereka yang mempergunakan ahli politik.

Sementara itu, seorang peminat muzik berpendapat HMN wajar diadakan kerana menjadi satu hari yang khusus untuk merenung kembali dan membincangkan segala hal baik buruk berkaitan muzik tanah air.

Begitu pun, Konsortium Industri Rakaman Muzik Malaysia (IRAMA) menyambut baik cadangan HMN. IRAMA melihatnya sebagai satu usaha penting dalam memperkukuh peranan, dan martabat industri muzik tanah air.

IRAMA dalam satu kenyataan menyebut cadangan HMN mula diusulkan sejak YB Gobind Deo Singh ketika menjadi Menteri Komunikasi dan Multimedia, tetapi pelancarannya tertangguh akibat pandemik COVID-19.

Katanya, IRAMA menyokong penuh cadangan agar 22 Mac, iaitu tarikh kelahiran P. Ramlee dijadikan HMN kerana Allahyarham adalah tokoh agung yang menjadi simbol keunggulan seni dan budaya bangsa.

Sehubungan itu, IRAMA mencadangkan sambutan HMN diisi dengan majlis tahlil dan penghargaan khas di Pustaka Peringatan P. Ramlee, dan program serta aktiviti muzik di seluruh negara.

IRAMA juga menyarankan pemberian penghargaan kepada penggiat muzik dan karyawan tempatan yang banyak menyumbang terhadap pembangunan industri kreatif tanah air.

Walau bagaimanapun, dalam meraikan HMN, IRAMA mengesyorkan agar pelbagai isu dan permasalahan dalam sektor muzik tempatan dihargai. Oleh kerana diadakan pada tarikh kelahiran P. Ramlee, jangan pula sehingga “lari tajuk”, iaitu hanya mengenang Allahyarham semata-mata.

______________________________________

Raja Yusoff Ariffin adalah penulis bebas sepenuh masa sejak tahun 2002. Mula menulis pada tahun 1982 merangkumi genre puisi (sajak dan pantun), dan cerpen, serta rencana, ulasan, kritikan, dan berita yang tersiar dalam hampir semua akhbar, dan majalah berbahasa Melayu tanah air.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi