Oleh Hamdan Abu
Diterbitkan pada 19 November 2025, 11:41

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Satu pandangan: Isu Tular Animasi “Santiago of the Seas”

Santiago of The Seas (SOTS) mengisahkan seorang lanun kanak-kanak berusia lapan tahun bernama Santiago Montes atau Santi yang mengetuai krunya menaiki kapal El Bravo. Watak pembantunya ialah Tomas (sepupu Santiago) dan Lorelai (rakan Santiago), manakala watak antagonis termasuklah Bonnie dan beberapa penjahat lain. Mereka menjalankan pelbagai misi seperti menyelamat, mencari harta karun di perairan dan menjaga keselamatan lautan di rantau Karibia.

Animasi ini berlatarbelakangkan bahasa Sepanyol serta sarat dengan unsur budaya Latino-Karibia, iaitu gabungan budaya Latin Amerika dan Kepulauan Caribbean yang menonjolkan kepelbagaian dari segi sejarah, muzik, bahasa, agama dan makanan tradisional.

Antara negara yang mewakili budaya Latino-Karibia termasuklah Cuba, Puerto Rico, Republik Dominica, Colombia dan Venezuela. Pengaruh Afrika pula hadir melalui warisan perhambaan yang meninggalkan kesan besar dalam muzik, tarian dan kepercayaan tradisional kawasan tersebut.

Dalam bidang muzik, genre popular ialah reggae, salsa, merengue, bachata, calypsodan soca, yang membawa gabungan irama gendang Afrika dengan pengaruh Sepanyol-Latin.

Dari segi kepercayaan, masyarakat di rantau tersebut kebanyakannya menganut Katolik Roman di samping amalan tradisional seperti Santería, Voodoo dan kepercayaan Afro-Caribbean. Makanan utama pula terdiri daripada hidangan beras, kekacang, pisang serta makanan laut.

Dari sudut seni dan warisan, mereka terkenal dengan penggunaan warna-warna terang dalam seni visual serta cerita rakyat yang kaya dengan unsur magis dan watak haiwan yang boleh bercakap.

Keseluruhan unsur budaya tersebut diterjemahkan dalam dunia ceria dan penuh semangat yang ditonjolkan oleh watak-watak  Santiago of The Seas dan menjadi tema utamanya.

Nilai dan Tema

Secara umumnya, SOTS bertemakan kerjasama dan persahabatan, memaparkan bagaimana mereka bekerjasama menyelesaikan masalah. Keberanian Santiago dan krunya membantu orang lain menjadi nilai positif yang boleh dijadikan teladan oleh kanak-kanak dan remaja.

Siri animasi tersebut turut memaparkan penggunaan bahasa Sepanyol, budaya Latino-Karibia serta elemen pengembaraan maritim, yang secara tidak langsung memberi pendedahan kepada penonton mengenai dunia pelaut dan kepulauan Karibia.

Isu Kontroversi: Episod 22

Walau bagaimanapun, episod ke-22 yang disiarkan hujung minggu lalu oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM) menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan penonton. Mereka mendakwa episod tersebut memaparkan adegan berunsur Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT) yang seolah-olah terlepas daripada tapisan siaran.

Dalam episod tersebut, dua watak lelaki, iaitu Rio dan Martín digambarkan sebagai pasangan gay melalui adegan ciuman yang menunjukkan hubungan romantik sejenis secara jelas. Adegan tersebut dianggap oleh sebahagian penonton sebagai usaha menormalisasi unsur LGBT dalam rancangan kanak-kanak, sekali gus mencetuskan bantahan terutama di negara yang mempunyai nilai budaya dan agama konservatif seperti Malaysia.

Kontroversi yang terjadi menyebabkan RTM menangguhkan sementara siaran siri tersebut bagi membolehkan siasatan kandungan dibuat, khususnya berkenaan babak yang memaparkan hubungan romantik antara dua watak lelaki itu.

Dalam kenyataan media dikeluarkan semalam, RTM memaklumkan, hasil laporan penilaian kandungan dan semakan dalaman sebelum ini tidak mengesan sebarang perlakuan atau kemesraan yang menggambarkan hubungan pasangan sejenis mahupun elemen yang menjurus ke arahnya.

“Namun begitu, bagi memastikan tiada elemen yang boleh menimbulkan keraguan atau sensitiviti masyarakat, RTM telah menghentikan siaran animasi berkenaan untuk membuat penelitian lanjut keseluruhan kandungan siri tersebut.

“RTM kekal komited memastikan semua kandungan yang disiarkan mematuhi etika penyiaran serta tidak menimbulkan ketidaksenangan mana-mana pihak,” menurut kenyataan itu.

Penonton yang membantah berpendapat adegan tersebut tidak wajar ditayangkan dalam rancangan animasi kanak-kanak, dan meminta siaran dihentikan buat sementara waktu.

Ringkasnya, adegan yang melibatkan hubungan romantik sejenis dalam bentuk ciuman antara dua watak lelaki telah mencetuskan pelbagai reaksi dan akhirnya membawa kepada tindakan penggantungan sementara oleh pihak berkuasa penyiaran tempatan.

Contoh Judul Animasi Lain Yang Mengandungi Unsur LGBT

Beberapa judul animasi lain yang pernah memaparkan unsur atau watak LGBT termasuklah Toy Story 4, The Simpsons, Attack on Titan, How to Train Your Dragon, The Legend of Korra, Batman: Bad Blood dan beberapa lagi.

Amat berisiko jika animasi-animasi berkenaan ditayangkan di kaca televisyen tempatan melainkan telah ditapis secara teliti dan adegan negatif perlu disunting. Sebab itu, siaran televisyen perlu menjalani fasa pratonton sebelum ditayangkan kepada umum dan dilabelkan dengan kod-kod tontonan sama ada sesuai untuk kanak-kanak, remaja atau ditonton dengan pengawasan ibu bapa.

Pandangan Akademik

Bekas Pensyarah Kanan, Institut Perguruan Kampus Gaya, Kota Kinabalu, Dr. Juliana Osong menyuarakan kebimbangan serius berhubung kandungan animasi dan kartun moden yang dilihat berpotensi mempengaruhi cara berfikir dan tingkah laku remaja secara negatif.

Menurut beliau, watak dalam animasi sering digambarkan boleh melakukan apa sahaja tanpa akibat yang realistik. “Konsekuens boleh diubah sewenang-wenangnya. Ini menanam tanggapan dalam kalangan remaja bahawa perkara sama boleh berlaku dalam kehidupan sebenar,” ujarnya.

Lebih membimbangkan, unsur keganasan yang sebelum ini wujud dalam kandungan kartun telah memberi kesan terhadap perlakuan kanak-kanak dan remaja, lalu membuahkan insiden buli berkumpulan dan sikap tidak peduli terhadap kecederaan, seolah-olah semua boleh ‘dibaiki’ atau ‘dihidupkan semula’ seperti dalam animasi.

Dr. Juliana menambah, “cabaran besar kini adalah budaya generasi muda yang meletakkan wang sebagai matlamat utama, hingga sanggup mengorbankan nilai dan pegangan,” katanya dengan penuh harapan agar perubahan boleh bermula dengan kesedaran dan tindakan bersama.

Beliau turut menzahirkan kebimbangan terhadap penyusupan elemen LGBT dalam kandungan kartun terkini, yang disifatkan sebagai membawa penyakit moral dan seksual yang boleh menghancurkan nilai masyarakat.

Dr. Juliana juga menyentuh peranan media dan penguat kuasa kandungan yang menurutnya semakin leka. “Mereka yang sepatutnya menapis kandungan tidak lagi bertindak dengan integriti. Ini amat membimbangkan kerana kita sedang berhutang kepada generasi mendatang,” tegas beliau.

Beliau menyeru agar media dan pengamal industri kembali kepada nilai-nilai asas penyiaran yang membentuk minda dan akhlak masyarakat, bukan hanya mengejar keuntungan atau nilaian baik semata-mata.

Setiap kali saya menonton televisyen, saya berdoa agar tiada lagi musibah kemanusiaan. Malangnya, berita demi berita yang menyedihkan terus muncul. Media sepatutnya kembali kepada nilai-nilai asas seperti zaman penyiaran terdahulu, bukan sekadar mengejar rating, tetapi juga membentuk jiwa bangsa,” cetusnya.

Sementara itu, pesara guru Maktab Sabah, Datin Norain Zakaria yang dihubungi di Putrajaya juga menyuarakan kebimbangan terhadap kemunculan watak pasangan sejenis dalam siri animasi kanak-kanak antarabangsa yang disiarkan baru-baru ini. Adegan itu dilihat membawa agenda halus normalisasi hubungan LGBTQ+ dalam kalangan penonton muda.

Menurut beliau, selepas meneliti sinopsis episod terkini siri animasi tersebut, watak Rio dan Martin dipercayai digambarkan sebagai pasangan suami isteri, meskipun kedua-duanya merupakan lelaki. “Walaupun tiada aksi kasih sayang ditonjolkan secara langsung, hubungan mereka sebagai pasangan suami isteri tetap bercanggah dengan ajaran agama dan nilai budaya kita,” katanya.

Tambah Norain, watak Rio juga dipaparkan sebagai bapa angkat kepada dua kanak-kanak perempuan, sekali gus memperlihatkan struktur keluarga bukan tradisional dalam kandungan kartun yang disasarkan kepada kanak-kanak prasekolah.

“Ini adalah bentuk penyampaian halus yang boleh membentuk penerimaan kanak-kanak terhadap hubungan sejenis sebagai sesuatu yang normal, berpotensi merombak persepsi masyarakat secara berperingkat tanpa disedari,” jelasnya.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi