Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSejak penubuhan pada 26 Januari tahun 1959, Bank Negara Malaysia (BNM) sebagai organisasi kerajaan yang bertanggungjawab mengeluarkan mata wang untuk urusan jual beli masyarakat serta mengawal selia keseluruhan institusi perbankan, tetapi BNM juga tidak menyisihkan aspek pembangunan seni.
BNM telah mewujudkan Muzium dan Galeri Seni (BNM MAG) pada tahun 1989, Kuala Lumpur, bersempena ulang tahun ke-30 Bank Negara dan kini beroperasi di bangunan Sasana Kijang sejak tahun 2011.
Muzium tersebut ditubuhkan bukan sahaja untuk mempamerkan sejarah berkaitan numismatik dan perkembangan ekonomi Malaysia, tetapi juga berusaha mengumpul dan mempamer koleksi seni dan warisan negara.
Koleksi seni visualnya menyoroti peristiwa penting negara sejak tahun 1962, malah berperanan mengumpul koleksi wang lama tempatan dan asing. Muzium dan galeri seni itu juga memberikan perhatian kepada koleksi pelbagai karya seni visual yang dinamik dari Asia Tenggara.
Sebagai penaung warisan numismatik dan pendukung warisan seni Malaysia, BNM MAG kerap mengadakan aktiviti pameran yang menengahkan karya lukisan yang dilukis oleh bakat seni tempatan dan Asia Tenggara.
Tidak sekadar menonjolkan karya tetap, BNM MAG kini mengorak langkah pula dengan memberikan tumpuan kepada aspek membangunkan bakat muda berkemahiran yang menghasilkan karya dengan memperkenalkan Program Residensi Kijang (RisiK) awal tahun ini.
Residensi Kijang (RisiK) menjadi wadah baharu bagi artis muda tempatan mengasah dan menonjolkan bakat kreatif masing-masing.
Program khusus untuk artis muda di bawah 40 tahun tersebut mempunyai lebih lima tahun pengalaman profesional serta memlibatkan diri secara aktif dalam industri seni. Program ini merupakan landasan artistik untuk mereka meneroka dan berinovasi dalam menghasilkan karya.
Sambutan yang diterima daripada bakat-bakat seni amat menggalakkan. Daripada lebih 35 penyertaan yang diterima daripada artis pelbagai latar belakang, dua artis telah dipilih untuk menyertai kembara seni kreatif di BNM MAG yang bertemakan “Membuka Tirai Residensi Kijang”.
Mereka yang terpilih ialah Amir Mansor, iaitu artis sepenuh masa dari Pulau Pinang yang memberikan tumpuan pada catan abstrak dan eksplorasi teknik tanda. Manakala, seorang lagi pula artis muda yang bernama Noor Zahran, dari Selangor. Beliau menggabungkan komposit tiga dimensi dan lukisan hiperrealistik dalam karya seni yang dihasilkannya.
Kedua-dua artis tersebut telah menerima bimbingan daripada seniman berpengalaman, iaitu Ramlan Abdullah dan Ahmad Fuad Osman, sebagai mentor yang berkongsi kepakaran mereka dalam usaha memupuk bakat para artis baharu.
Hasil karya asli yang dihasilkan sepanjang program residensi itukini sedang dipamerkan dengan menampilkan pelbagai pendekatan seni seperti catan abstrak, teknik tanda, fotografi dan komposit digital bagi meraikan kreativiti dan inovasi.
Pameran dirasmikan oleh Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Marzunisham Omar pada 9 November tahun 2025.
Pengarah BNM MAG, Noreen Zulkepli berkata, Residensi Kijang merupakan satu kemajuan yang amat bermakna bagi muzium dan galeri seni tersebut serta penghasilan karya landskap seni tempatan.
Residensi ini memberikan peluang kepada artis-artis muda untuk mengembangkan bakat kreatif, menghayati dan mendalami koleksi di muzium dan galeri seni. Malah, program tersebut turut menyokong artis menerima bimbingan dan pendedahan yang diperlukan untuk memperhalus bakat dan karya demi memajukan perjalanan seni mereka.
Beliau berharap, pameran “Membuka Tirai Residensi Kijang (RisiK)” bukan sahaja dapat mencetuskan inspirasi kedua-dua artis residen itu malah turut menjadi asas kepada perkembangan generasi kreatif yang akan datang.
Pameran tersebut meraikan hasil kerja kreatif Amir dan Zahran meneroka daya kreatif mereka sepanjang menjadi residensi di BNM MAG. Karya-karya yang dipamerkan mencerminkan interpretasi peribadi kedua-dua artis terhadap koleksi dan pameran BNM, serta olahan pengalaman hidup masing-masing bagi memperkayakan kembara residensi sulung di sini.

Pameran ini berlangsung di Ruang Sukareka, Galeri Seni BNM MAG, Aras 3, bangunan Sasana Kijang Bank Negara di Jalan Datuk Onn, Kuala Lumpur mulai 9 November hingga 14 Disember 2025. Waktu pameran dari hari Selasa hingga Ahad dari 10 pagi hingga 5 petang. Masuk percuma.
Selain menyaksikan pameran tersebut, pengunjung juga berpeluang meninjau pameran lain di enam galeri tetap di Muzium dan Galeri Seni Bank Negara Malaysia, iaitu Galeri Kanak-kanak, Galeri Bank Negara Malaysia, Galeri Ekonomi, Galeri Kewangan Islam, Galeri Numismatik dan Galeri Seni.