Diterbitkan pada 24 November 2025, 12:32

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Pementasan teater perdana Sungai Mengalir Lesu merupakan satu inisiatif penting Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) untuk mengangkat karya agung Sasterawan Negara, Datuk Seri A. Samad Said, ke pentas utama. Usaha ini bukan sekadar menghidangkan hiburan, tetapi juga menyalurkan mesej perpaduan, kemanusiaan dan kesedaran sosial yang terkandung dalam karya asal kepada khalayak yang lebih luas.

Namun begitu, persoalan yang wujud: adakah pementasan ini benar-benar layak digelar teater perdana? Apakah pengiktirafan ini semata-mata kerana status pengarangnya sebagai Sasterawan Negara, atau adakah pementasan itu sendiri benar-benar memenuhi ekspektasi tinggi yang diidamkan oleh sebuah teater perdana–dari segi kekuatan lakonan, penyampaian mesej, inovasi artistik dan kesan mendalam terhadap penonton?

Dalam konteks ini, gelaran ‘perdana’ bukan lagi sekadar simbolik, tetapi menjadi ukuran kritikal terhadap kualiti dan nilai karya yang dibawa ke pentas.

Pada 1 hingga 4 Oktober tahun 2025, Auditorium Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menjadi saksi kebangkitan semula sebuah karya sastera penting dalam sejarah teater Malaysia–Sungai Mengalir Lesu yang pernah dipentaskan pada tahun 2017. Karya asal sasterawan negara yang diadaptasi ke naskah pentas oleh Zakaria Ariffin, dan diarahkan oleh Aris Othman, mengangkat tema perjuangan kemerdekaan dan konflik batin watak-wataknya–sememangnya memiliki kedalaman makna dan potensi untuk menggugah jiwa penonton.

Akan tetapi, pementasan terbaharu ini meninggalkan kesan kelesuan yang sukar dinafikan, satu kegagalan untuk menyalakan kembali api semangat yang sepatutnya membakar setiap babak dan dialognya.

Mak Buruk menunggu suami yang hilang, Tuminah janda muda yang terdesak atas kelangsungan hidup, Zainab gadis belasan tahun yang dipaksa berkahwin dengan seorang lelaki tiga kali usianya, Tompang yang buta, Basir yang membawa makanan kepada Tuminah dan menidurinya sebagai balasan, Mulyadi dan Irwan warga Indonesia yang turut menderita akibat perang dan kebuluran. Kanak-kanak seperti Dalim, Sukon, Baharom yang seronok bemain di tepian sungai yang kotor dan hitam.

W atak-watak yang kaya dengan cerita, yang hidupnya pedih dan melukakan–seharusnya membawa teater ini sebuah pengalaman menonton yang berbekas dan mencengkam.

Sungai Mengalir Lesu antara karya sastera terpilih yang merakamkan fasa dekad paling penting dalam kehidupan bangsa kita. Kisah getir sekumpulan manusia di sepanjang sebuah sungai menjadi simbol kesengsaraan rakyat Tanah Malaya pada era Perang Dunia Kedua.

Tragedi dan penderitaan yang mereka alami menyingkap betapa dahsyatnya kesan perang terhadap kehidupan manusia, sekali gus mengingatkan kita akan kepentingan mengelakkan bencana serupa daripada berulang.

Selain berfungsi sebagai karya sastera, Sungai Mengalir Lesu juga merupakan dokumentasi sejarah sosial yang amat berharga, merakam realiti, emosi dan nilai kehidupan masyarakat pada zaman itu.

Dalam Sungai Mengalir Lesu, A. Samad Said menulis dengan ketelitian dan kepekaan yang tinggi, menggambarkan kehidupan masyarakat pada zaman Perang Dunia Kedua dengan penuh halus dan nuansa. Setiap adegan, dari aliran sungai yang lesu hingga gelagat kanak-kanak yang bermain dengan botol dan kulit kayu hanyut, dibentangkan dengan hidup seolah-olah pembaca dapat menyaksikannya sendiri.

Penulisannya bukan sahaja mencatatkan peristiwa, tetapi juga menyalurkan emosi, penderitaan dan harapan manusia dalam menghadapi cabaran hidup. Melalui bahasa yang puitis tetapi realis, A. Samad Said berjaya menjadikan karya ini sebagai gabungan sastera dan dokumentasi sejarah sosial yang kaya, membolehkan pembaca merasai getaran zaman serta memahami kedalaman pengalaman masyarakat ketika itu.

Barisan pelakon seperti Akmal Ahmad, Nesa Idrus, Shasha Fairus, Roydy Rokidy, Khal Isyaf, Aloeng Silalahi tampil dengan lakonan yang mengesankan. Akmal Ahmad, khususnya, berjaya membina watak Basir dengan penuh kedalaman dan kejujuran emosi, membawa penonton menyelami konflik dalaman yang kompleks.

Nesa dan Shasha pula memberikan sokongan emosi yang kuat, menambah lapisan pada naratif dengan kehadiran yang halus namun penuh penghayatan. Asas dan pengalaman yang luas dalam bidang teater oleh setiap dari pelakon-pelakon ini, telah banyak menyelamatkan keseluruhan pementasan ini. Sekalung tahniah untuk barisan para pemain yang hebat dan berdedikasi.

Selain daripada aspek lakonan, kostum dalam pementasan ini juga menunjukkan keberkesanan yang jelas. Pemilihan pakaian yang tepat dan sesuai dengan watak-watak yang dibawakan bukan sahaja membantu memperkuatkan identiti setiap watak, malah turut menambah nilai estetika keseluruhan persembahan.

Kostum yang digayakan mampu membawa penonton lebih mendalam ke dalam suasana dan konteks cerita, sekali gus menyempurnakan visual pementasan. Oleh itu, aspek ini harus diberi pujian sewajarnya kerana memainkan peranan penting dalam mempertingkatkan kualiti dan impak teater secara menyeluruh.

Penggunaan tegah liputan dalam pementasan teater berfungsi sebagai alat penting untuk menandakan perubahan babak atau masa. Namun begitu, apabila tegah liputan digunakan secara berlebihan atau terlalu kerap, boleh menyebabkan keletihan mata kepada penonton.

Keadaan gelap sepenuhnya yang tiba-tiba berulang kali memaksa mata penonton menyesuaikan diri secara berulang, sekali gus mengganggu fokus dan keselesaan semasa menyaksikan persembahan.

Selain itu, terlalu banyak tegah liputan juga boleh menjejaskan tempo pementasan, menyebabkan rentak cerita terputus dan mengurangkan tenaga dramatik pada babak-babak penting. Keadaan ini sangat mengecewakan memandangkan naskah Sungai Mengalir Lesu sebenarnya kaya dengan peluang untuk menyuntik tenaga dramatik yang hebat.

Kesan buruk ini turut mengganggu pengalaman penghayatan penonton terhadap pementasan. Penonton mungkin sukar untuk terus terlibat secara emosi dan mental jika aliran cerita kerap terhenti atau terganggu dengan penggunaan blackout yang tidak tepat.

Sebagai alternatif, perubahan pencahayaan secara bertahap (gradual lighting changes) dapat membantu menandakan peralihan masa atau lokasi tanpa mematikan sepenuhnya cahaya pentas. Penggunaan lampu sorot, lampu berwarna atau pencahayaan fokus yang berubah perlahan-lahan mampu mengekalkan suasana dan kesan dramatik tanpa mengganggu penghayatan penonton.

Di samping itu, penggunaan muzik penghubung atau efek bunyi juga dapat memperlancarkan transisi antara babak, menggantikan fungsi tegah liputan secara semula jadi dan menarik.

Set pentas yang direka antara kekuatan utama pementasan ini. Reka bentuknya yang terperinci serta nilai estetik yang tinggi berjaya menggambarkan suasana dan latar zaman cerita dengan cukup meyakinkan. Namun begitu, sayangnya set yang begitu indah itu hanya berperanan sebagai latar statik dan tidak dimanfaatkan sepenuhnya dalam pementasan.

Pencahayaan yang terhad dan kurang dinamik turut melemahkan potensi visualnya, menjadikan suasana pentas kurang bertenaga dan tidak berlapis secara dramatik. Contohnya, elemen sungai yang dibina di atas pentas, walaupun menarik secara visual–tidak digunakan secara kreatif atau interaktif, menyebabkan sekadar menjadi hiasan semata-mata, bukannya sebahagian daripada kehidupan dan pergerakan watak dalam pementasan.

Pengarah pementasan teater perlu menunjukkan keberanian dan inovasi dalam menghasilkan karya yang bukan sahaja menghormati teks asal, tetapi juga relevan dengan penonton masa kini. Pendekatan kontemporari seperti teater immersive, penggunaan multimedia, dan naratif segar mampu menghidupkan kembali roh pementasan serta menjadikan karya klasik lebih menarik dan mudah difahami.

Transisi antara babak harus dilakukan secara halus dengan mengurangkan penggunaan tegah liputan yang kerap. Sebaliknya, perubahan pencahayaan secara bertahap atau penggunaan muzik penghubung dapat memastikan perjalanan cerita lebih lancar dan mengekalkan tenaga dramatik pada setiap babak penting

Penggunaan teknologi seperti video projeksi, muzik secara langsung dan efek bunyi yang tepat juga mampu memperkayakan pengalaman penonton serta membina suasana pentas yang lebih mendalam dan menarik. Untuk menambah kualiti lakonan, pelakon perlu diberi ruang untuk memperdalam penghayatan watak melalui latihan improvisasi dan fokus emosi, menjadikan persembahan lebih hidup, spontan dan meyakinkan.

Set pentas pula harus dimanfaatkan secara kreatif dengan pencahayaan dinamik dan pergerakan pelakon yang memaksimumkan potensi ruang, agar pementasan menjadi lebih visual dan berkesan.

Ruang kolaborasi antara generasi penggiat seni sangat penting untuk menghasilkan karya yang menghormati tradisi tetapi juga mempunyai elemen pembaharuan. Pengalaman penggiat seni veteran digabungkan dengan keberanian tenaga muda yang berani berinovasi akan memastikan kesinambungan dan perkembangan dunia teater ke arah yang lebih segar dan relevan dengan zaman sekarang.

Soalan penting yang harus ditanya oleh penggiat seni dan penonton ialah: Adakah kita harus terus mementaskan karya sasterawan negara seperti Sungai Mengalir Lesu dalam bentuk konvensional yang sama, atau sudah tiba masanya membuka ruang kepada penggiat muda untuk membawa pendekatan baru yang lebih segar dan dinamik?

Pengulangan cara yang sama hanya akan membawa kepada kelesuan–satu kitaran di mana karya lama hanya menjadi “muzium hidup” yang cantik tetapi sunyi jiwa. Sebaliknya, dengan memberi ruang kepada inovasi dan pembaharuan, karya agung ini dapat terus relevan dan berdenyut dalam konteks zaman yang berubah.

Gabungan pengalaman lama dan idea baru dari penggiat muda boleh membuka lembaran segar yang menghidupkan kembali warisan tanpa kehilangan roh asal. Ini bukan sahaja menghormati karya sasterawan, tetapi juga memastikan ia terus hidup dan bercakap kepada generasi hari ini.

Karya klasik kita perlu berevolusi, berkembang dan membuka ruang kepada keberanian serta kreativiti baru agar terus relevan dalam dunia seni yang semakin dinamik. Tanpa itu, kita hanya mengekalkan sejarah yang sunyi, bukan nadi seni yang berdenyut dan bermakna.

Dalam menghadapi cabaran seni hari ini, kolaborasi antara generasi tua dan muda merupakan kunci untuk membina masa depan teater yang bukan sahaja menghargai warisan, tetapi juga berani menyalakan semangat baharu dalam pementasan. Generasi veteran membawa pengalaman, disiplin, dan kefahaman mendalam terhadap nilai tradisi serta makna asal karya, manakala generasi muda tampil dengan tenaga segar, idea kreatif, dan keberanian untuk bereksperimen dengan bentuk persembahan baharu. Apabila dua kekuatan ini digabungkan, maka lahirlah keseimbangan antara warisan dan inovasi–antara akar dan sayap seni itu sendiri.

Pementasan Sungai Mengalir Lesu 2025 membuktikan keutuhan pengalaman para penggiat seni berpengalaman dalam mengangkat karya besar A. Samad Said ke pentas. Namun begitu, jelas bahawa produksi ini masih banyak bergantung kepada tenaga dan pendekatan generasi terdahulu.

Kekurangan suara serta tenaga muda menjadikan pementasan ini kaya dengan nilai tradisi tetapi agak terbatas dari segi keberanian dan kesegaran bentuk persembahan. Justeru, penting untuk dunia teater membuka ruang kolaborasi yang lebih luas antara generasi tua dan muda–agar warisan seni yang dibina dengan pengalaman dapat disambung dengan daya cipta baharu yang segar dan relevan. Hanya dengan itu, teater kita akan terus mengalir, bukan lesu ditelan masa, tetapi deras dengan semangat dan nadi baharu yang meneruskan kehidupan seni bangsa.

___________________________

Fazleena Hishamuddin merupakan karyawan dalam pelbagai lapangan seni seperti penulisan, teater, puisi, filem, pengacaraan dan muzik. Lirik yang dihasilkan, Pelukan Angkasa telah dinobatkan sebagai Lagu Terbaik Anugerah Juara Lagu 36.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi