Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangTas tangan atau beg tangan wanita bukan sekadar tempat menyimpan barang, tetapi status bergerak yang mencerminkan identiti, seni dan hubungan wanita dengan dunia sosial di sekeliling mereka. Dalam banyak masyarakat, tas tangan berubah mengikut peredaran zaman dan menjadi lambang evolusi budaya serta kedudukan wanita.
Pada abad ke-18 di Eropah, wanita aristokrat mula membawa beg kecil yang dikenali sebagai “retikul” yakni simbol kemewahan. Dalam budaya Asia pula, komuniti Peranakan Baba Nyonya terkenal dengan beg manik halus yang melambangkan seni dan status sosial. Di Nusantara, beg anyaman seperti rotan atau mengkuang turut menunjukkan kepakaran kraftangan dan taraf sosial.
Setelah itu, industri pembuatan tas tangan melonjak naik apabila menghasilkan jenama seperti Hermès, Chanel dan Dior yang menjadi petunjuk pencapaian ekonomi serta simbol prestij dalam masyarakat kapitalis moden.
Terdapat juga seperti tote, satchel dan clutch; memberi petunjuk tentang gaya hidup dan personaliti pemakai. Malah, beg tradisional seperti beg manik Borneo, beg songket, beg tenunan dan beg batik menghubungkan wanita kepada akar budaya masing-masing.
Dalam budaya Melayu, tas tangan sering mempunyai elemen kelembutan, kehalusan dan kesopanan. Penggunaan motif flora, batik, serta songket melambangkan identiti Melayu yang anggun. Dalam masyarakat moden, wanita Melayu menggabungkan beg tradisi dalam majlis formal sebagai tanda penghargaan terhadap warisan budaya.
Begitu juga dalam komuniti Dayak, Iban, Bidayuh, Kadazandusun dan Murut menggunakan beg manik yang dipengaruhi motif alam dan kosmologi. Setiap corak mempunyai makna, contohnya motif naga untuk perlindungan dan motif flora untuk kesuburan. Beg tradisi ini kini digunakan dalam acara budaya, tarian dan sambutan Kaamatan serta Gawai.
Bagi masyarakat Cina, sulaman halus dan manik warna-warni menggambarkan kehalusan seni warisan. Dalam budaya Cina moden, tas tangan juga digunakan sebagai simbol kejayaan dalam keusahawanan dan pendidikan, membentuk imej wanita berwibawa.
Dalam masyarakat India pula, beg berunsur kain sari, manik emas dan sulaman kaya digunakan dalam acara perkahwinan, tarian dan perayaan. Hal seperti ini melambangkan keberanian, keanggunan dan semangat budaya India yang kuat.
Kuasa Tas Tangan
Tas tangan telah menjadi simbol kuasa, terutama dalam politik dan profesionalisme wanita. Malah, melambangkan kemampuan mengurus pelbagai peranan: sebagai pekerja, ibu, anak dan pemimpin. Wanita membawa bukan sekadar barangan fizikal tetapi juga bentuk sosial yang kompleks.
Globalisasi, Konsumerisme dan Media Sosial
Media sosial mendorong budaya “what’s in my bag” dan menjadikan tas tangan sebagai penanda gaya hidup digital. Fenomena ini menggalakkan pembelian aspirasi, pasaran “preloved”, dan kelahiran jenama tempatan yang meniru trend global sambil mengekalkan identiti budaya.
Di Malaysia, peranan media sosial telah menjadi titik pertembungan tradisi dan modeniti. Wanita urban membawa beg kulit minimalis atau beg kerja, manakala pada masa sama menggunakan beg anyaman, songket atau batik dalam acara tradisi. Hal ini mencerminkan harmoni antara warisan dan gaya hidup moden.
Natijahnya tas tangan wanita, dalam pelbagai budaya, merupakan simbol identiti, status, seni, dan evolusi sosial. Bukan sekadar barang, tetapi naratif budaya yang hidup — menggambarkan perjalanan wanita sebagai individu dan sebahagian daripada masyarakat. Tas tangan akan terus menjadi medium budaya yang berubah dan berkembang mengikut zaman.