Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangBudaya bernostalgia bukan sekadar untuk mengimbau kenangan tetapi sebagai satu terapi. Manusia tidak dapat mengembalikan masa lalu tetapi mereka boleh membawa kenangan itu kembali dalam memori mereka.
Masihkah anda ingat bagaimana huru-haranya sistem dalam talian ketika pembelian tiket konsert jelajah dunia kumpulan rock terkenal, My Chemical Romance pada bulan Ogos 2025 yang lalu. Kumpulan rock tersebut buat julung kalinya bakal mengadakan konsert di Malaysia pada tahun 2026. Kumpulan yang terkenal dengan lagu Helena, Welcome to the Black Parade, Famous Last Words dan I Don’t Love You telah mencetuskan fenomena pada tahun 2006 dengan membawa genre “emo rock”.
Pengumuman kedatangan kumpulan tersebut ke Asia Tenggara telah mencetuskan fenomena baharu ketika itu apabila sistem jualan dalam talian pihak penganjur telah mengalami kesesakan. Hal ini menyebabkan “peperangan” dalam kalangan peminat yang ingin membeli tiket itu. Akhirnya, pihak penganjur bersetuju untuk memanjangkan tarikh persembahan kepada dua hari.
Rata-rata peminatnya terdiri daripada generasi Y ataupun dikenali juga sebagai generasi Millennial. Golongan tersebut kebanyakan lahir antara tahun 1981 hingga 1996.
Kekacauan yang berlaku disebabkan keinginan manusia untuk mengimbau kenangan dan bernostalgia dengan pelbagai perkara sebelum ini. Budaya bernostalgia ini sudah lama diamalkan oleh seluruh manusia di dunia ini. Namun begitu, sebelum wujudnya Internet, budaya itu terbatas pada media yang ada seperti media cetak; akhbar, buku dan majalah dan media penyiaran; televisyen dan radio.
Apabila Internet muncul sekitar awal abad ke-21, budaya bernostalgia itu terus berkembang pesat dan mula menular melalui pelbagai media. Kemunculan media sosial seperti Facebook, Instagram, Threads dan YouTube telah mempercepatkan lagi budaya ke segenap golongan.
Mengikut konteks di Malaysia, syarikat penyiaran seperti Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Astro terlebih dahulu telah membawa budaya bernostalgia ini kepada rakyat Malaysia. Sekitar penghujung 1990-an menuju ke abad ke-21, RTM banyak menyiarkan filem-filem arahan dan lakonan seniman legenda negara, Tan Sri P. Ramlee.
Dari penyiaran filem-filem seperti Bujang Lapok, Seniman Bujang Lapok, Pendekar Bujang Lapok, Do Re Mi dan Laksamana Do Re Mi telah berjaya mengimbau kenangan golongan generasi Baby Boomers yang lahir antara tahun 1946 hingga 1964 dan generasi X pada filem-filem lama keluaran Malay Film Productions.
Bagi generasi Y pula, kemunculan filem-filem ini di televisyen telah membantu mereka untuk mengenali filem-filem awal Melayu dan juga mengenali industri perfileman Melayu.
Kemudian, kedatangan syarikat penyiaran berbayar seperti Astro telah menambahkan lagi ruang kepada tayangan filem-filem lama dalam televisyen Malaysia. Melalui saluran Astro Ria dan Prima, filem-filem seperti Sultan Mahmud Mangkat Dijulang, Sri Mersing, Hang Tuah dan Lanchang Kuning berjaya membawa penonton golongan yang berumur dalam 30-an ke atas untuk mengimbau kenangan mereka menonton filem di pawagam pada ketika itu.
Generasi Y yang menjadi generasi muda pada awal tahun 2000-an dapat mengenali pelakon-pelakon veteran seperti Nordin Ahmad, Aziz Sattar, S. Shamsuddin, Sarimah, Maria Menado, Kuswadinata, Saadiah dan Saloma.
Seterusnya, muncul pula siaran radio yang menyiarkan lagu-lagu lama, iaitu Sinar FM. Stesen radio ini ditubuhkan oleh pihak Astro pada tahun 2004 dengan menyasarkan penyiaran lagu-lagu retro yang sekitar tahun 1980-an dan 1990-an. Kemunculan stesen radio ini turut memberi peluang kepada para pendengar generasi Baby Boomers dan generasi X untuk mengenang nostalgia dan melayan keasyikan lagu-lagu ketika zaman mereka muda. Sudah tentunya lagu-lagu dari dendangan penyanyi seperti Royston Sta Maria, Francissa Peter, Uji Rashid, Hail Amir dan Zaiton Sameon mengembalikan kenangan zaman percintaan generasi ini.
Lagu-lagu bergenre rock kapak dendangan kumpulan rock Wings, Ukays, Search, Umbrella dan Fotograf pula menjadi halwa telinga kepada peminat dari generasi X dan generasi Y. Lagu-lagu ‘tangkap leleh’ yang disiarkan oleh stesen radio ini sedikit sebanyak mengubat kerinduan kepada dua generasi ini yang hidup dalam zaman peralihan analog ke digital.
Memasuki era digital ini, budaya bernostalgia dilihat sudah semakin berkembang dan mula merangkumi pelbagai perkara. Jika dahulu kaset, radio dan pemain kaset menjadi buruan pengguna generasi X dan Y, sekarang peralatan muzik itu sudah menjadi barang langka dan tidak lagi dijual di mana-mana.
Oleh itu, para pengumpul barang langka mula mengumpul peralatan tersebut sebagai satu hobi dan juga barang dagangan yang boleh digadaikan. Rata-rata hobi sebegitu dimonopoli oleh peminat generasi X dan Y. Hal ini kerana pada masa itu, mereka masih kecil dan tidak mampu untuk membeli barangan tersebut.
Apabila sudah dewasa dan berkerjaya, keinginan untuk mengimbau kenangan untuk hadir meluap-luap menyebabkan mereka sanggup untuk mencari dan membeli barang-barang tersebut sebagai satu koleksi.
Pengumpulan barang langka dan antik bukan sahaja melibatkan perabot dan peralatan elektrik serta muzik, malah melibatkan barang-barang lain seperti kemeja-T, jersi pasukan bola sepak, tin lama dan patung figura. Hal ini menjadikan budaya itu semakin berkembang sejajar dengan peredaran zaman.
Seperti yang dinyatakan sebelum ini, kemunculan media sosial telah mempercepatkan lagi perkembangan budaya itu. Dengan adanya saluran seperti TikTok dan YouTube, masyarakat dapat menikmati semula apa yang mereka terlepas ketika zaman mereka muda dahulu akibat kekangan kewangan dan masa.
Masa kini, mereka dapat menikmati semula kenangan mereka seperti menonton konsert kumpulan KRU, kumpulan nasyid In-Team dan UNIC serta menikmati semula menonton kartun Ultraman dan Dragon Ball.
Budaya ini akan berterusan. Jika sekarang generasi X dan Y yang menguasai perkembangan itu bagi mengimbau kenangan zaman 80-an dan 90-an, pada masa hadapan, generasi Z dan Alpha pula yang akan menguasai budaya itu bagi mengenang kembali kenangan mereka pada zaman 2000-an dan 2010-an.