Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPesta Ponggal merupakan perayaan tradisional yang amat penting dalam kalangan masyarakat Tamil. Pesta tersebut akan disambut oleh masyarakat Tamil sekitar pertengahan bulan Januari.
Pesta Ponggal diraikan sebagai tanda kesyukuran atas hasil tuaian yang melimpah. Perkataan Ponggal (kata dasarnya Pongu) membawa maksud “melimpah”, merujuk kepada susu yang dibiarkan mendidih sehingga melimpah keluar dari periuk sebagai simbol rezeki, kemakmuran dan keberkatan. Perayaan ini bukan sahaja berteraskan keagamaan, malah mencerminkan hubungan erat antara manusia dengan alam semula jadi.

Asal usul Pesta Ponggal berkait rapat dengan kegiatan pertanian tradisional masyarakat Tamil sejak awal zaman. Ponggal diraikan sebagai perayaan menuai hasil selepas berakhirnya musim tanaman padi. Perayaan ini merupakan satu bentuk penghargaan kepada alam semula jadi yang telah memberikan sumber kehidupan, khususnya tanah, air, cahaya matahari dan hasil tanaman.
Dalam konteks kepercayaan Hindu, Ponggal turut dikaitkan dengan pemujaan kepada Dewa Matahari, yang dianggap sebagai sumber tenaga utama bagi aktiviti penuaian mahupun penanaman tanaman. Sejarah Ponggal membuktikan bahawa perayaan ini lahir daripada kehidupan masyarakat agraria yang bergantung sepenuhnya kepada keseimbangan alam.
Sambutan Ponggal berlangsung selama empat hari berturut-turut, dan setiap hari mempunyai makna serta amalan tradisi yang tersendiri. Hari pertama dikenali sebagai Bhogi ataupun Bhogi Pandigai. Aktiviti yang dilakukan ialah pembersihan rumah dan persekitaran. Barangan lama yang tidak lagi digunakan akan dibuang (pada zaman dahulu asalnya dibakar) sebagai simbol meninggalkan perkara negatif dan memulakan kehidupan baharu.
Bhogi Ponggal menekankan nilai pembaharuan diri serta kesediaan untuk menyambut masa hadapan dengan perkara yang lebih positif.
Hari kedua ialah Thai Ponggal, iaitu hari utama Pesta Ponggal. Nasi Ponggal akan dimasak menggunakan periuk tanah dan diletakkan di kawasan terbuka, biasanya di halaman rumah.

Bahagian leher periuk diikat dengan daun kunyit segar. Di sesetengah tempat, daun halia muda yang segar turut digunakan. Daun-daun hijau tersebut melambangkan kemakmuran. Apabila susu yang dimasak melimpah keluar dari periuk, laungan “Pongalo Pongal” akan dilaungkan sebagai tanda kegembiraan dan kesyukuran.
Thai Ponggal melambangkan penghargaan kepada matahari dan alam semula jadi yang telah memberikan rezeki kepada manusia.
Hari ketiga pula dikenali sebagai Maatu Ponggal, yang dikhususkan untuk menghargai haiwan ternakan, terutamanya lembu. Dalam kehidupan pertanian tradisional, lembu memainkan peranan penting dalam membajak sawah dan membantu kerja ladang.
Pada hari tersebut, lembu akan dimandikan, dihias dan diberikan makanan istimewa sebagai tanda penghargaan atas jasa mereka. Terakhir, ialah Kaanum Ponggal, iaitu hari untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan dan kemasyarakatan.
Kaanum Ponggal menekankan nilai perpaduan dan keharmonian sosial.
Pelbagai amalan tradisi dan budaya dilaksanakan sepanjang Pesta Ponggal. Antaranya penyediaan hidangan tradisional seperti Ponggal manis, nasi asam jawa dan kacang kuda sebagai simbol hasil tuaian.
Selain itu, hiasan kolam dilukis di hadapan rumah menggunakan serbuk beras berwarna bagi menyambut kedatangan tetamu dan sebagai tanda kesejahteraan.
Dekorasi rumah turut memainkan peranan penting dalam sambutan Ponggal. Tebu sering digunakan sebagai hiasan untuk perayaan ini kerana melambangkan kemakmuran, kesuburan dan kehidupan yang manis.
Dua batang tebu bersama-sama satu ikat daun kunyit akan diikat di pintu masuk utama. Amalan ini dipercayai berfungsi sebagai simbol sambutan yang penuh kemanisan dan kemakmuran bagi sesiapa yang melangkah masuk ke dalam rumah.
Tebu tersebut diletakkan secara berpasangan di kiri dan kanan pintu untuk melambangkan keseimbangan, keharmonian keluarga, serta dipercayai dapat menghalang unsur negatif daripada masuk ke kediaman. Manakala, tiga batang tebu disusun membentuk struktur seakan piramid atau khemah “Tipi” yang menyelubungi periuk.
Kepentingan tebu dalam Pesta Ponggal adalah sebagai simbol bahawa kehidupan merupakan gabungan antara suka dengan duka, penderitaan dengan kebahagiaan, serta pahit dengan manis.

Tebu-tebu ini diseimbangkan dengan teliti di atas periuk bagi menggambarkan bahawa kehidupan ialah sebuah keseimbangan dan keupayaan untuk mengimbangi segala aspek yang membolehkan seseorang mencapai kesempurnaan diri.
Seterusnya, daun mangga pula digantung di pintu masuk rumah sebagai simbol kesucian, keberkatan dan perlindungan daripada unsur negatif. Sementara itu, toranam digunakan sebagai hiasan gerbang atau pintu rumah untuk menyambut tenaga positif dan rezeki yang berpanjangan.
Toranam merupakan hiasan tradisional yang diperbuat daripada daun kelapa muda dan digunakan secara meluas dalam perayaan mahupun hari keraian masyarakat Tamil. Penggunaan daun mangga dan toranam sebagai hiasan juga mencerminkan konsep hiasan mesra alam yang diamalkan sejak dahulu kala.
Hiasan ini bermula dengan pemilihan daun kelapa atau mangga segar yang dipotong dan dianyam secara ringkas sebelum digantung di pintu masuk rumah atau gerbang. Hiasan ini melambangkan keharmonian antara manusia dan alam semula jadi serta nilai kelestarian dalam tradisi budaya masyarakat Tamil.
Pesta Ponggal sarat dengan nilai murni dan falsafah kehidupan. Di Malaysia, masyarakat Tamil menyambut perayaan ini dengan penuh meriah sama ada di rumah, kuil mahupun institusi pendidikan.
Pelbagai program kebudayaan, persembahan seni dan aktiviti komuniti dianjurkan bagi memeriahkan sambutan. Ponggal turut diraikan dalam suasana masyarakat majmuk, sekali gus memperkukuh semangat perpaduan dan saling menghormati antara kaum.
Perayaan ini menjadi sebahagian daripada warisan budaya Malaysia yang kaya dengan kepelbagaian tradisi.
Dalam proses mengadaptasi arus kemodenan, sambutan Ponggal telah disesuaikan dengan gaya hidup semasa tanpa mengabaikan nilai tradisi asalnya. Penggunaan media sosial dan teknologi kini menjadi platform utama untuk menyebarkan maklumat serta mempromosikan kefahaman yang lebih mendalam mengenai Pesta Ponggal kepada generasi muda.
Pesta Ponggal bukan sekadar perayaan tahunan, malah lambang kesyukuran, keharmonian dan keseimbangan dalam kehidupan. Melalui pengamalan tradisi yang berterusan, nilai-nilai murni dan semangat kekeluargaan yang dibawa oleh perayaan tersebut akan kekal relevan dalam kehidupan masyarakat Tamil mahupun masyarakat Malaysia secara keseluruhannya.
Diharapkan agar perayaan ini terus dipelihara sebagai khazanah budaya yang memperkaya identiti negara dan mengeratkan hubungan antara masyarakat berbilang kaum. Pongalo Ponggal!