Oleh Pie Asyraf
Diterbitkan pada 15 Januari 2026, 15:03

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Music Television atau lebih dikenali sebagai MTV merupakan satu daripada institusi media paling berpengaruh dalam sejarah hiburan global. Sejak pelancarannya pada awal dekad 1980-an, MTV bukan sahaja mengubah cara muzik dipersembah dan dipasarkan, malah membentuk budaya popular, gaya hidup remaja, serta bahasa visual generasi dunia.

MTV menjadi simbol kebangkitan era muzik visual, di mana imej, fesyen dan naratif artis sama penting dengan kualiti lagu itu sendiri. Walaupun pengaruhnya kini semakin pudar (mulai Januari 2026, telah ditutup operasinya) akibat perubahan teknologi dan tabiat penonton, MTV kekal sebagai ikon yang meninggalkan kesan mendalam terhadap industri kreatif dunia.

Sejarah Penubuhan MTV

MTV dilancarkan secara rasmi pada 1 Ogos tahun 1981 di Amerika Syarikat oleh Warner-Amex Satellite Entertainment sebelum berada sepenuhnya di bawah syarikat Viacom. Siaran pertama MTV dimulakan dengan ayat ikonik “Ladies and gentlemen, rock and roll” sebelum menayangkan video lagu Video Killed the Radio Star oleh kumpulan The Buggles.

Pemilihan lagu ini dianggap simbolik kerana menandakan peralihan daripada era radio kepada era televisyen muzik berasaskan visual.

Pada peringkat awal, MTV menyiarkan video muzik selama 24 jam sehari, satu konsep baharu yang belum pernah diperkenalkan sebelum ini. Namun begitu, kandungan awal MTV mendapat kritikan kerana kurang memaparkan kepelbagaian kaum dan genre muzik.

Tekanan awam akhirnya mendorong MTV menampilkan artis kulit hitam dan genre lain seperti pop, R&B dan hip-hop. MTV mula memasukkan video lagu Michael Jackson, iaitu lagu Billie Jean dan Thriller menjadi titik perubahan penting yang melonjakkan populariti MTV ke tahap global.

Menjelang akhir 1980-an dan awal 1990-an, MTV berkembang ke pelbagai negara termasuklah Eropah, Asia dan Amerika Latin. MTV Asia, MTV Europe dan MTV Japan menjadi medium utama penyebaran budaya pop Barat ke seluruh dunia.

Peranan MTV dalam Revolusi Industri Muzik 

MTV mengubah industri muzik secara menyeluruh. Sebelum kewujudan MTV, kejayaan artis banyak bergantung kepada siaran radio dan jualan album fizikal. Apabila kehadiran MTV, video muzik mula menjadi alat pemasaran utama. Artis perlu tampil dengan konsep visual yang kuat untuk menarik perhatian penonton.

Fenomena ini melahirkan generasi artis yang bukan sahaja berbakat dalam muzik, tetapi juga memiliki identiti visual yang jelas. Michael Jackson dikenali dengan tarian dan penceritaan sinematik, Madonna dengan imej provokatif dan berani, manakala Nirvana membawa estetika alternatif yang melawan arus komersial.

Selain itu, MTV turut memperkenalkan genre muzik baharu kepada khalayak arus perdana. Hip-hop, grunge dan muzik alternatif mendapat pendedahan luas melalui MTV, sekali gus mempercepatkan penerimaan global terhadap genre tersebut.

Budaya Pop dan Gaya Hidup 

MTV bukan sekadar saluran hiburan, tetapi agen pembentukan budaya belia. Fesyen artis MTV menjadi ikutan remaja, daripada jaket kulit, seluar koyak, kasut sukan sehinggalah gaya rambut dan solekan. Bahasa slanga, gaya pertuturan dan sikap memberontak turut dipopularkan melalui kandungan MTV.

MTV juga berperanan membuka ruang perbincangan isu sosial seperti identiti diri, kebebasan bersuara, seks, politik dan kesedaran HIV/AIDS melalui kempen khas dan program dokumentari. Ini menjadikan MTV lebih daripada sekadar hiburan kosong, sebaliknya medium pendidikan tidak formal untuk generasi muda.

Catatan Sejarah

Sepanjang kegemilangannya, MTV mencatatkan pelbagai rekod tontonan. Anugerah MTV Video Music Awards (VMA) menjadi acara televisyen paling dinantikan setiap tahun. Persembahan Madonna pada VMA 1984 dan insiden kontroversi artis-artis terkenal menjadikan VMA fenomena budaya global.

Video muzik Thriller oleh Michael Jackson menjadi video paling kerap diputarkan dalam sejarah MTV dan dianggap sebagai karya paling berpengaruh dalam sejarah muzik. Selain itu, program MTV Unplugged Nirvana pada tahun 1993 mencatatkan tontonan tinggi dan diangkat sebagai persembahan muzik paling bersejarah sepanjang zaman.

Permulaan Kemerosotan 

Memasuki alaf baharu, MTV mula mengubah hala tuju dengan mengurangkan siaran video muzik dan meningkatkan rancangan realiti seperti The Real World, Jackass, Punk’d dan MTV Cribs. Walaupun rancangan ini mendapat sambutan, namun menimbulkan kritikan kerana menyimpang daripada identiti asal MTV sebagai saluran muzik.

Kemunculan internet, khususnya YouTube pada tahun 2005, menjadi titik perubahan besar. Penonton kini bebas memilih dan menonton video muzik pada bila-bila masa tanpa bergantung kepada jadual televisyen. Platform penstriman muzik seperti Spotify dan Apple Music turut menjejaskan peranan MTV sebagai penentu trend muzik.

Dalam dekad 2010-an hingga 2020-an, pengaruh MTV semakin merosot. Banyak saluran MTV tempatan di Asia dan Eropah ditutup atau digabungkan. Pada tahun 2023, MTV News secara rasmi ditutup sebagai sebahagian daripada penstrukturan semula syarikat induk.

Kini, MTV masih wujud sebagai jenama global, namun peranannya lebih tertumpu kepada kandungan nostalgia, acara khas dan platform digital. MTV tidak lagi menjadi rujukan utama muzik, tetapi kekal sebagai simbol sejarah media dan budaya pop.

MTV merupakan tonggak utama revolusi muzik visual dan budaya pop global. Jenama tersebut membentuk generasi artis, peminat dan industri hiburan selama lebih tiga dekad. Walaupun kejatuhannya mencerminkan perubahan zaman dan teknologi, legasi MTV tetap abadi. MTV bukan sekadar saluran televisyen, tetapi fenomena budaya yang pernah menguasai dunia.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi