Diterbitkan pada 20 Januari 2026, 09:46

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Industri teater di Malaysia kini sedang melalui era perubahan dan cabaran yang menawarkan pelbagai potensi dan peluang baharu. Walaupun teater tidak tergolong sebagai hiburan popular dalam kalangan masyarakat, namun medium seni ini terus memainkan peranan yang penting dalam pembinaan identiti bangsa, nilai budaya serta wacana intelektual.

Akan tetapi, untuk mencapai tahap kematangan yang setara dengan negara maju seperti Jepun, Korea Selatan, Perancis, Amerika Syarikat dan United Kingdom, teater Malaysia masih perlu melalui proses pengukuhan dari aspek struktur institusi, dasar, sistem sokongan dan pembangunan khalayak.

Pengukuhan ini penting agar teater tidak sekadar kekal sebagai aktiviti seni pinggiran, malah turut berkembang sebagai sebuah industri budaya yang mapan dan berdaya saing.  Teater bukan sekadar seni persembahan, bahkan merupakan cerminan jiwa bangsa yang terus hidup dan bernafas dalam arus peredaran masa.

 

Perkembangan  Teater dalam Budaya Malaysia

Sejarah teater di Malaysia memperlihatkan perjalanan yang panjang dan kompleks. Bermula daripada bentuk tradisional seperti makyung, wayang kulit dan mek mulung, kemudian berkembang ke era pramerdeka dengan bangsawan, purbawara dan sandiwara, seterusnya memasuki era pascamerdeka dengan aliran realisme, eksperimental dan kontemporari. Perkembangan ini mencerminkan perubahan struktur sosial, pemikiran masyarakat dan transformasi budaya negara.

Kemunculan tokoh penting teater seperti Shahrom Husain, Aziz Jahpin, Murad Ibrahim, Kalam Hamidi, Bidin Subari, Dato’ Noodin Hassan, Krishen Jit, Dato’ Rahim Razali, Datuk Syed Alwi Syed Hassan, Tan Sri Johan Jaaffar, Dato’ Dinsman, Dato’ Faridah Merican, Hatta Azad Khan dan Zakaria Ariffin (sekadar menyebut beberapa nama), telah memperkenalkan pendekatan pementasan yang lebih eksperimental, filosofikal dan reflektif. Mereka memperkasakan bahasa teater sebagai medium intelektual, kritik sosial dan pembinaan identiti bangsa.

 

Cabaran Struktur dan Kekangan Sokongan

Di samping kecemerlangan sejarah dan tokoh penggiat, perkembangan teater moden juga perlu dilihat melalui kerangka institusi dan dasar. Program anjuran agensi kerajaan seperti Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), peruntukan geran kebudayaan, serta inisiatif pendidikan teater di sekolah dan institusi pengajian tinggi menunjukkan wujudnya sokongan struktur dalam pengurusan teater.

Meskipun kerangka dasar sudah wujud, pelaksanaannya masih menimbulkan persoalan. Secara umumnya, badan teater sama ada pertubuhan bukan kerajaan ataupun syarikat penerbitan seni pentas masih berhadapan dengan isu pembiayaan dan sokongan dana.

Industri teater Malaysia memerlukan ekosistem sokongan yang tersusun. Walaupun terdapat pelbagai agensi kerajaan, institusi pendidikan dan badan kebudayaan, jaringan kerjasama antara institusi ini masih belum terjalin secara strategik.

Isu kekangan dana dan prasarana sokongan sudah lama menjadi hambatan utama dalam pembangunan teater tempatan.  Kos pementasan yang tinggi melibatkan sewaan ruang pementasan, bayaran tenaga kreatif, kos penerbitan dan promosi hanya bergantung pada hasil jualan tiket dan tajaan terhad. Keadaan ini menyebabkan  aktiviti penerbitan teater menjadi projek yang berisiko dan tidak stabil.

Hal ini ditambah pula dengan tanggapan umum bahawa teater bukan industri yang menguntungkan.  Berbeza daripada negara maju, teater Malaysia sering dilihat sebagai aktiviti seni yang tidak menyumbang kepada sektor ekonomi kreatif. Sudah sampai masanya kerajaan membentuk suatu ekosistem teater yang berfungsi sebagai pemacu industri kreatif melalui pelancongan budaya dan pembangunan bakat yang akhirnya akan mewujudkan peluang pekerjaan dalam sektor seni persembahan.

Dalam era globalisasi dan dominasi teknologi digital, teater turut berhadapan dengan persaingan sengit dalam bentuk hiburan lain seperti filem, media sosial dan platform penstriman yang lebih pantas, murah dan mudah diakses. Ironinya, teater yang dianggap sebagai seni elit, terus terpinggir dan hanya diminati oleh kelompok kecil khalayak yang mempunyai kesedaran yang tinggi terhadap seni budaya bangsa.

Isu promosi dan pemasaran turut menghimpit penerbit teater apabila terdapat segelintir  organisasi media mengenakan bayaran untuk promosi teater dengan alasan penonton dikenakan bayaran masuk. Dalam hal ini, pihak berkuasa yang menaungi organisasi media perlu merangka suatu dasar yang mewajibkan media mewujudkan slot khas bagi mempromosikan pementasan teater tempatan. Langkah ini bukan sahaja memangkinkan pertumbuhan industri teater, tetapi turut menjadi medium mempopularkan teater kepada masyarakat umum.

 

Potensi Ekonomi dan Model Pementasan Berdaya Saing

Walaupun berhadapan kekangan kewangan dan prasarana, teater Malaysia masih mempunyai potensi untuk berkembang. Satu pelan pembangunan strategik perlu dirangka bagi meningkatkan potensi ekonomi dan daya saing industri teater dalam ekosistem ekonomi negara. Beberapa pementasan berskala besar seperti Puteri Gunung Ledang, P. Ramlee, Impak Maksima, Ola Bola, Kampung Boy dan Sulalat’Us Salatin (sekadar menyebut beberapa tajuk), membuktikan bahawa teater mampu menarik khalayak apabila digabungkan dengan strategi pemasaran yang berkesan dan teknik penerbitan yang bermutu.

Kejayaan pementasan tersebut membuktikan bahawa nilai estetika dan nilai komersial sesuatu persembahan boleh bergerak seiring.  Dengan perancangan strategik, sokongan penajaan berstruktur serta kerjasama antara sekor awam, sektor korporat dan penggiat seni, teater boleh berkembang sebagai produk budaya yang berdaya saing.

 

Kesimpulan

Cabaran yang wujud dalam industri teater Malaysia sebenarnya membuka ruang yang lebih luas kepada penggiat teater untuk melaksanakan pembaharuan dalam teknik penerbitan.  Penggiat teater perlu menguasai kemahiran pengurusan seni pentas, teknik promosi dan pemasaran moden serta teknologi digital bagi meningkatkan jumlah khalayak.

Anggota masyarakat pula perlu ditanam dengan kesedaran budaya untuk menghargai seni teater sebagai pengalaman intelektual serta pembinaan nilai dan jati diri. Dengan dasar yang mantap, pelaburan yang strategik, sokongan institusi, program promosi dan pemasaran yang berkesan serta kesedaran masyarakat, teater Malaysia berpotensi menjadi teras kepada pembangunan intelektual, budaya dan industri kreatif negara.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi