Diterbitkan pada 22 Januari 2026, 09:03

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Niti Daun merupakan acara perarakan bagi masyarakat Dayak di Sarawak. Dalam perarakan tersebut, para peserta yang hadir akan mengenakan pakaian tradisional masing-masing. Selain masyarakat Dayak, etnik lain seperti Melanau, Bidayuh dan Kelabit turut menyertai perarakan. Perarakan ini bertujuan untuk memupuk semangat kekitaan dan perpaduan dalam kalangan etnik yang wujud di bumi Sarawak.

Disebalik perarakan tersebut, tersimpan makna simbolik dalam Niti Daun, iaitu mencerminkan keharmonian, kepelbagaian kaum serta penerimaan budaya antara satu sama lain tanpa ada isu yang dibangkitkan. Niti Daun menjadi platform penting untuk memperlihatkan kekayaan warisan budaya, semangat muhibah dan jati diri masyarakat yang saling menghormati dan menghargai. Nilai kebudayaan tidak hanya dipelihara malah dikongsikan secara terbuka, menjadikan Niti Daun sebagai satu daripada simbol kesatuan di Negeri Sarawak.

Niti Daun bagi daerah Mukah telah berlangsung dengan penuh meriah di Dataran Pehin Setia Raja, Mukah. Program yang dianjurkan kali ke-2 ini telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri Ekonomi merangkap Ahli Parlimen P213 Mukah, Yang Berhormat (YB) Dato Hajjah Hanifah Hajar Taib. Acara tahunan tersebut telah disertai hampir 2000 orang peserta dan 20 kontinjen yang mewakili pelbagai latar belakang etnik, pekerjaan dan juga agama di sekitar Mukah.

Perarakan sepanjang 1.5 kilometer itu bukan sahaja mempamerkan keunikan busana tradisional pelbagai kaum malah turut memperkukuh semangat kekitaan serta memperkenalkan kekayaan warisan budaya tempatan kepada orang luar. Acara diteruskan dengan Upacara Miring Niti Daun, iaitu ritual tradisional bagi kaum Iban yang dijalankan sebagai tanda memohon restu dan perlindungan daripada roh nenek moyang agar acara berjalan dengan lancar serta dijauhkan dari sebarang musibah.

Upacara tersebut melibatkan penyediaan sajian seperti telur ayam, rokok, sirih pinang, nasi pulut, tuak dan daun selada. Selain itu, seekor ayam hidup digunakan untuk “berbiau” yang bermaksud membaca mantera dengan menyatakan niat atau doa. Setelah selesai berbiau, ayam tersebut akan disembelih dan bulu ayam dicabut untuk diletakkan di dalam piring.

Setelah selesai acara miring, maka pelepasan perarakan Niti Daun dimulakan dengan diiringi oleh paluan Gendang Rayan semasa perarakan dijalankan. Salah seorang penghulu yang ditugaskan, iaitu Penghulu Langi, akan membawa piring semasa perarakan berlangsung.

Menurut beliau, kaum Dayak menjadi tumpuan utama dalam memperagakan busana tradisional masing-masing. Perarakan dilihat lebih meriah dan berwarna-warni, sekali gus mencerminkan semangat perpaduan dan kebersamaan antara kaum yang semakin kukuh di daerah Mukah.

Terdapat juga persembahan kebudayaan seperti tarian ngajat yang memukau para hadirin dan tidak ketinggalan tarian yang dinanti-nantikan, iaitu tarian poco-poco. Selain itu turut diadakan pertandingan antara 20 kontinjen yang terdiri daripada wakil sekolah, kampung dan agensi kerajaan serta swasta.

Oleh itu, Niti Daun merupakan acara yang penting dan pada tahun akan datang menjadi lebih meriah serta berskala besar. Hal ini bukan sahaja dapat memperkenalkan keunikan budaya Dayak yang ada di Sarawak kepada masyarakat luar, malah dapat mengangkat Niti Daun sebagai satu acara tahunan yang ikonik.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi