Diterbitkan pada 26 Januari 2026, 09:52

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Antara denyut nadi yang perlahan dengan hembusan nafas yang tertahan, tersembunyi kekuatan yang tidak terucap – kekuatan untuk bertahan, menyembuhkan dan bangkit semula. Seperti akar yang terus mencengkam tanah walau diterpa ribut yang menggila, atau seperti bara yang tetap menyala meski diselimuti abu kesenyapan, seni menjadi bahasa sunyi yang berbicara apabila lidah sudah tidak mampu meluahkan kata.

Dalam dunia yang segalanya menuntut kepantasan, SeNadi SeNafas mengajak kita untuk berhenti sejenak dan menyelami makna ketabahan yang paling jujur – bukan dengan kelantangan suara, tetapi dalam keheningan. Bukan sekadar pameran seni; SeNadi SeNafas merupakan ruang sakral di mana seniman menuangkan segala getir kehidupan dalam daerah sunyinya, lalu mengolah menjadi sebuah simfoni visual yang menyentuh dasar hati. Setiap goresan dan palitan warna gema kepada perasaan yang pernah remuk, namun kini bangkit dalam bentuk yang lebih kuat dan berani.

SeNadi SeNafas mempertemukan kita dengan seni sebagai nadi yang menghidupkan dan nafas yang memulihkan – dua denyutan halus yang menggambarkan pertembungan antara pengalaman peribadi dengan kuasa penyembuhan kreatif. Di sinilah muncul persoalan yang tidak mudah dijawab, tetapi begitu dekat di hati:

Mampukah seni menjadi tempat di mana luka menjadi cahaya? Apakah dalam denyut nadi dan hela nafas yang dikongsi antara seniman dengan penonton, tercipta ruang untuk kita sama-sama pulih, walau hanya sedikit atau seketika?

Galeri Shah Alam, membawa SeNadi SeNafas. Gabungan dua orang tokoh seni terkemuka negara, iaitu Hasnul Jamal Saidon dan Raja Shahriman Aziddin yang menjelmakan sebuah pertemuan emosi mendalam menerusi karya lukisan, ukiran, seni digital dan instalasi yang bukan sekadar memaparkan visual, tetapi menyentuh saraf halus kehidupan: ketabahan, harapan dan kebangkitan diri.

Seperti dua aliran sungai yang berbeza, namun bertemu di muara takdir yang sama, karya mereka bersatu dalam satu denyut dan satu nafas. Mereka bukan sekadar berkongsi ruang galeri, tetapi berkongsi inti jiwa: mengangkat beban peribadi, menterjemah derita dan menyuluh harapan dari celah-celah kegelapan. Dalam palit warna dan bentuk pahatan, kita disapa oleh kesunyian, kegigihan dan cahaya halus yang memancar dari jiwa yang pernah bungkam.

Ini merupakan pertemuan dua tenaga seni yang berlainan namun saling melengkapi. Seperti dialog; jasmani dan rohani, antara bentuk yang nyata tetapi getar yang tersembunyi, pameran ini telah membuka ruang untuk kita merenung tentang erti kebangkitan semula, harapan yang tenang dan kesatuan manusiawi yang melangkaui sempadan seni dan emosi.

Hasnul Jamal Saidon,

Keheningan karyanya yang sarat dengan metafora dan spiritualiti, membawa kita mengembara ke dalam dimensi batin. Lukisan dan karya digital beliau seolah-olah menjadi cermin kepada alam semesta dalaman – di mana unsur roh, alam semula jadi, dan kesedaran diri bersatu dalam satu getar halus.

Dalam setiap warna dan bentuk yang mengalun lembut, kita dapat merasai perjalanan jiwanya – seorang seniman yang menggali makna hidup melalui bahasa yang tidak terikat oleh kata-kata.

Perjalanan peribadinya sebagai pesakit kanser, membawa dimensi baharu kepada seni kontemporari Malaysia. Di sebalik warna lembut dan gerak seninya yang meditatif, tersembunyi naratif peribadi tentang kesakitan, ketenangan dan pemulihan batin. Karya beliau bukan untuk menggegarkan, tetapi menenangkan; bukan untuk memerintah perhatian, tetapi mengundang penyerahan dan kesedaran.

Melalui elemen seperti multimedia, filem pendek, muzik, serta naratif audio visual yang menyentuh, Hasnul menyampaikan konsep khusyuk dalam seni – sebagai cerminan kepada keikhlasan dalam doa. Seni menjadi ruang ritual, tempat beliau berserah, mengampuni, memaafkan dan menyembuh. Dalam karyanya, kita bukan hanya melihat, malah turut disapa untuk merenung: bagaimana seni boleh menjadi doa, dan doa boleh menjadi seni.

Raja Shahriman Aziddin

Sebaliknya, Raja Shahriman Aziddin menampilkan kekuatan dalam keteguhan – melalui karya logam yang menakjubkan dan sarat dengan kemahiran teknikal tinggi. Logam yang keras dan dingin ditundukkan oleh tangan dan jiwa beliau untuk menjadi simbol kepada kekuatan, perjuangan dan ketahanan diri. Setiap ukiran dan struktur membawa beban sejarah, mitos dan spiritualiti, menjadikan karya beliau bukan sekadar hasil seni, tetapi tubuh berjiwa yang menyimpan cerita.

Di sisi lain, melalui arca logam yang padat dan dramatik, beliau membina tubuh seni yang menyatakan keberanian. Dalam setiap lekuk besi dan ketajaman bentuknya, kita melihat pertarungan hidup yang tidak menyerah, ketegasan terhadap penderitaan dan keinginan untuk tetap teguh walau dilanda ribut emosi dan sejarah peribadi. Karya logam beliau, meskipun kelihatan fizikal dan teknikal, sebenarnya mengandungi roh perjuangan yang mendalam – satu suara yang tidak menjerit, tetapi tetap membara.

Roh dan tubuh, nadi dan nafas, karya-karya tersebut saling bersahutan dalam ruang Galeri Shah Alam, mencipta satu pengalaman menyeluruh yang menyentuh baik minda mahupun rasa. Di sinilah wujud satu keseimbangan yang jarang ditemui – karya fizikal yang kuat dan gagah disandingkan dengan karya yang halus dan kontemplatif, menjadikan pameran tersebut simfoni seni yang menghormati kepelbagaian pendekatan dan ekspresi.

Lebih dari sekadar gabungan karya dua tokoh besar, pameran ini membawa kepada penghormatan negara, dianggap sebagai satu pengiktirafan besar kepada seni tanah air, khususnya di Selangor. Bukan sahaja mengangkat kedudukan dua tokoh seni tersebut, malah turut memperkukuh peranan Galeri Shah Alam dan Yayasan Seni Selangor Darul Ehsan sebagai wahana penting dalam memelihara dan memupuk seni kontemporari Malaysia.

Pameran ini juga menampilkan pelbagai bentuk ekspresi artistik: multimedia interaktif, instalasi seni, arca logam, filem pendek, lagu-lagu asli, dan catatan naratif peribadi, menjadikan pengalaman menontonnya bukan sahaja visual tetapi immersif dan emosional. Sebuah pengalaman menyeluruh.

SeNadi SeNafas menyeberangi sempadan bentuk dan medium, menolak idea bahawa seni harus kaku dalam kategori. Sebaliknya, mengalir bebas – seiring nafas, sejajar nadi –dan menyentuh setiap pengunjung dengan cara yang tersendiri. Sebuah pameran yang seninya hidup dan menyentuh kehidupan, malah bukan kepada penciptanya sahaja, malah bagi yang menyaksikannya.

Simbol “Nadi” dan “Nafas” dalam tajuk pameran bukan sekadar metafora indah.  Perkataan tersebut adalah simbol kehidupan –saling bergantung dan tidak pernah terpisah. Nadi yang berdenyut tidak bermakna tanpa nafas yang menghidupkan. Demikian juga seni kedua-dua tokoh ini, meskipun berbeza dalam pendekatan, bertemu dalam satu irama: penghormatan terhadap kehidupan yang dijalani dengan sedar dan jujur.

Hasnul Jamal Saidon tidak sekadar menampilkan karya seni sebagai objek untuk dilihat; beliau membuka ruang hati dan jiwa dalam setiap karyanya. Dengan pendekatan yang inklusif dan penuh empati, Hasnul mengajak setiap pengunjung untuk turut serta dalam perjalanan emosinya – bukan sebagai pemerhati pasif, tetapi sebagai peserta aktif dalam sebuah dialog hidup.

Dalam suasana galeri yang tenang dan penuh keheningan, setiap kisah peribadi yang dikongsi oleh pengunjung menjadi seolah-olah gema yang berbalas dengan lukisan dan instalasi beliau. Kisah-kisah itu, meskipun kecil dan kadang tersembunyi, menemukan resonansi dalam karya Hasnul yang memuatkan lapisan perasaan seperti kesakitan, pengampunan dan harapan. Proses ini menjadikan ruang pameran lebih dari sekadar galeri seni­.

Melalui penguasaan teknik  penempaan (forging), Raja Shahriman menyatukan kemahiran turun-temurun dengan pendekatan seni moden. Bagaikan perkahwinan antara ketuk tangan zaman silam dengan wacana kontemporari, menjadikan setiap arca bukan hanya objek seni, tetapi pernyataan budaya yang tegas. Simbol seperti keris, gerak pahlawan dan motif tradisi Melayu dimanifestasikan dengan kesedaran estetika moden, menjadikan karya beliau relevan, berakar dan merentasi generasi.

Di dalam setiap lekuk dan lipatan besi, kita melihat bukan hanya kekuatan fizikal, tetapi ketabahan jiwa. Setiap arca berdiri bukan untuk mengagumkan, tetapi untuk mengingatkan: bahawa di sebalik tubuh yang keras, terdapat sejarah, perjuangan, dan maruah yang tidak mudah dilupakan.

Apabila diletakkan dalam dialog dengan karya Hasnul Jamal Saidon, yang lebih halus, kontemplatif dan spiritual, maka wujudlah satu ketegangan yang harmoni – seperti suara rendah dan tinggi dalam satu melodi. Hasnul berbicara dalam bahasa senyap dan dalam, manakala Raja Shahriman bersuara dengan tubuh yang lantang dan padat. Perbezaan ini bukan pertembungan, tetapi mewujudkan pertemuan dua tenaga seni yang saling mengangkat – menambah kedalaman dan pelbagai dimensi emosi, intelektual dan budaya dalam keseluruhan pengalaman pameran.

Inilah yang menjadikan SeNadi SeNafas lebih daripada pengalaman visual. Pengalaman budaya yang menyentuh akar, emosi yang mencabar jiwa, dan renungan yang memanggil kesedaran.

SeNadi SeNafas adalah perjalanan yang memerlukan keberanian untuk merasa dan kerendahan hati untuk menyembuh. Pameran yang membentangkan karya, jiwa, sekali gus membuka ruang untuk kita menyentuh apa yang benar.

Di tengah dunia yang terlalu pantas melupakan, pameran ini mengajak kita untuk berhenti sejenak, mendengar nadi sendiri dan menarik nafas yang dalam kerana mungkin, dalam diam yang diciptakan, kita akan kembali bertemu dengan diri sendiri –yang telah lama hilang dalam kebisingan harian.

SeNadi SeNafas merupakan undangan untuk mengingati apa yang menjadikan kita manusia: kemampuan untuk merasa, untuk menyambung dan untuk bermula semula. Dalam ruang galeri yang sunyi tetapi penuh gema ini, kita diajak untuk menyedari –bahawa setiap daripada kita, tanpa mengira siapa, sedang hidup dalam irama yang sama.

Nadi.

Nafas.

Hidup.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi