Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangMelawan arus tidak lagi hadir sebagai penentangan keras, tetapi sebagai pilihan yang wujud di sisi. Sonik bergerak dari kesedaran itu — bahawa wacana budaya memerlukan lebih daripada satu suara, lebih daripada satu pusat.
Wawancara ini menelusuri pemikiran di sebalik kelahiran Sonik bersama-sama ketua pengarangnya Mohd Jayzuan, editor Ku Syafiq dan penerbit Mutalib Uthman, termasuklah pendekatan kuratorial dan pemilihan kolumnis.
DB: Bagaimanakah Sonik melihat kedudukannya dalam landskap majalah berbentuk budaya? Adakah serupa dengan Dewan Budaya (DB)?
Mutalib Uthman: Saya rasa DB itu sendiri sudah menjadi majalah arus perdana yang mapan. Sonik pula kami lihat sebagai satu bentuk budaya saingan (counter culture) dalam majalah berbentuk budaya. Ironinya, DB juga pernah menerbitkan artikel tentang budaya saingan — iaitu sesuatu yang menentang sifat majalah itu sendiri. Kami (sidang editorial) ingin meletakkan Sonik sebagai majalah yang setara, satu alternatif yang berdiri sendiri.
DB: Bagaimanakah proses penghasilan Sonik bermula? Adakah mengikuti proses konvensional penerbitan majalah?
Mohd Jayzuan: Saya seorang kuratorial — saya kurator pameran dan persembahan seni. Jadi saya melihat majalah ini seperti sebuah pameran. Saya sedang menguruskan idea, artis dan suara. Disebabkan itu, saya tidak melihat proses ini sebagai proses penghasilan majalah yang tipikal. Apa yang menarik bagi saya ialah kolumnis dalam Sonik bukan sekadar menulis untuk majalah, tetapi menulis bersama. Mereka bukan pengisi ruang (filler); mereka memainkan peranan penting dalam membentuk identiti majalah ini.
DB: Apakah pendekatan kuratorial yang diambil dalam pemilihan kolumnis dan penulis?
Mohd Jayzuan: Buah tangan pertama, kami melabelkannya sebagai “pameran utama” berkenaan Kamal Sabran, dan pameran itu berlaku dalam bentuk kata-kata. Sebab itu pendekatan kami agak kuratorial. Kami sengaja memilih individu yang tidak dilabel sebagai penulis.
Contohnya Abdul Hafidz Adam, Lisa Fuad, Ranerrim — mereka boleh menulis, tetapi khalayak tidak menganggap mereka sebagai penulis. Namun begitu, mereka ada idea yang jelas dan kuat. Kami memang mahu suara yang berbeza. Kalau saya mengundang penulis yang sudah biasa menulis, akhirnya akan jadi seperti Dewan Budaya, Dewan Sastera atau Svara. Sonik tidak meletakkan tekanan bahawa sastera itu mesti ketat atau terlalu intens. Kami anggap majalah ini kasual, pop dan berada di tengah — tidak terlalu ringan, tidak terlalu berat.
DB: Adakah senarai kolumnis ini akan berubah ?
Mohd Jayzuan: Setakat ini, senarai kolumnis adalah penulis tetap. Mungkin satu dua akan berubah untuk isu akan datang. Idea besarnya ialah projek jangka panjang. Katakanlah kalau berjaya terbit hingga 20 isu, kami boleh melihat kolumnis mana yang mendapat sambutan dan mungkin membukukan tulisan mereka pula. Sebab itu dari awal saya berbincang dengan Ku Syafiq — mereka ini bukan “penulis” dalam erti kata konvensional, tetapi kolumnis.
DB: Bagaimanakah pemilihan topik dilakukan? Adakah terdapat garis panduan khusus?
Ku Syafiq: Kami memberi kebebasan kepada kolumnis. Contohnya Lisa Fuad, seorang penyanyi dan frontwoman band Fuad, tetapi untuk isu pertama dia menulis tentang filem.
Ranerrim pula menulis tentang seni kontemporari, selari dengan latar dia. Kalau Nazim Masnawi menulis tentang filem untuk isu pertama dan mahu teroka benda lain untuk isu kedua, itu juga tidak menjadi masalah.
Kami tidak memberi arahan yang terlalu ketat. Kami sediakan pelantar, termasuklah gaya rumah penerbitan — selebihnya bebas meneroka.
DB: Mengapakah memilih untuk menerbitkan majalah, sedangkan ramai menganggap majalah sudah tidak relevan?
Mutalib Uthman: Kebanyakan akan mengeluarkan kata-kata negatif, iaitu majalah tak boleh pergi jauh. Buku pun orang kata tak boleh pergi jauh. Akan tetapi kalau tidak ada orang memulakan, kita tidak akan tahu sejauh mana impaknya.
Kami sebenarnya ada pilihan untuk tidak menerbitkan majalah ini, sampai satu tahap, (kami) betul-betul pening kepala (makan masa menyiapkannya).
kalau tak buat, akan mati sebelum bermula
Mohd Jayzuan: Bagi saya, ini soal proses. Sebagai artis sepenuh masa, saya pernah buat banyak projek — Khizanat, Rumah Khizanat, Kedutaan Ipoh, Kedutaan Ipoh –Jakarta, Kedutaan Ipoh – Jepun.
Tidak semua kekal tetapi proses itu pernah terjadi. Setiap proses memberi kesan kepada saya sebagai manusia dan artis. Kalau Sonik mati sekalipun, sekurang-kurangnya kami pernah buat. Itu lebih penting!
DB: Dubook Press pernah menerbitkan Membedah Wayang Gambar yang bersifat seperti majalah. Ada yang menganggapnya tidak berjaya. Bagaimanakah pandangan anda?
Mutalib Uthman: Memang niat asal saya mahu jadikan buku itu sebagai majalah. Membedah Wayang Gambara saya buat seorang diri. Banyak projek saya sebelum ini juga dibuat sendirian.
Untuk Sonik, keadaannya berbeza. Ada orang yang bantu curate, susun kandungan dan fikir bersama. Saya hanya merancang, menyediakan dana dan penerbitan. Jadi lebih tersusun dan idea lebih mudah berkembang.
Mohd Jayzuan: Faktor utama ialah dana. Kebanyakan projek seni berlaku kerana ada dana atau komisen. Kalau sumber kewangan kukuh, insya-Allah projek itu berjalan lancar.
DB: Apakah cabaran sebenar dalam menerbitkan majalah budaya hari ini?
Mutalib Uthman: Buku mungkin sudah berada dalam fasa genang (stagnant). Oleh itu, kami perlukan cabaran baharu — dan bagi kami, cabaran itu ialah majalah. Kalau menerbitkan majalah sesuatu yang senang, orang lain sudah lama buat. Pada awalnya, kami menyangka menyiapkan majalah adalah mudah.
Mohd Jayzuan: Tambahan pula, kami bukan melihat Sonik sebagai syarikat majalah. Lebih secara kolektif
DB: Apakah peranan generasi muda dalam kesinambungan Sonik?
Mutalib Uthman: Kami mahukan legasi — generasi seterusnya boleh menyambung tanpa perlu bermula dari kosong. Dengan pengalaman yang kami ada, Ku Syafiq boleh belajar dan mengelakkan kesilapan yang sama.
Saya mahu suatu hari nanti orang seperti Ku Syafiq mengambil alih. Kalau tidak, kita akan lihat orang lama buat kerja yang sama sampai tua.
Mohd Jayzuan: Untuk berlaku adil, Sonik lebih kukuh dan konsisten kerana adanya Ku Syafiq. Dia bukan sekadar pengasas bersama, tapi benar-benar berfungsi — menyemak dan memastikan majalah dihasilkan sempurna.
Ku Syafiq: Sebagai orang muda, saya sakit hati bila lihat generasi baru terpaksa mula dari kosong, sedangkan banyak benda sudah dibuat sebelum ini. Duduk bersama Jay dan Mut, saya dapat belajar secara langsung — jalan pintas yang sihat.
DB: Adakah Sonik terbuka menerima penulis baru?
Mohd Jayzuan: Buat masa ini, kami tidak membuka secara terbuka. Kami akan menentukannya sendiri.
DB: Mengapakah Kamal Sabran dipilih sebagai fokus dalam edisi pertama?
Mohd Jayzuan: Kamal Sabran merupakan seorang figura yang orang kenal dan sebaliknya. Bagi yang mengenali beliau, mereka akan tahu bahawa dia melawan arus —radikal, inovatif, eksperimental dan budaya saingan. Perkara tersebut merupakan manifesto Sonik.
Apabila orang nampak nama Kamal Sabran, mereka sudah boleh agak arah majalah ini dan saya percaya, sebelum ini tidak pernah ada temu bual mendalam seperti yang kami lakukan.
Tamat
Sonik – Piagam Kontraporari edisi Perdana, Isu 01, Januari 2026 kini sudah beredar dalam pasaran.