Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSetiap tahun, tanggal 13 Februari seluruh dunia meraikan Hari Radio Sedunia bagi mengingatkan kita tentang peranan besar radio dalam kehidupan manusia.
Hari penting itu diwujudkan bagi memperingati penubuhan Radio Pertubuhan Bangsa Bersatu pada tahun 1946, iaitu detik bermulanya radio sebagai sumber penting komunikasi selepas Perang Dunia Kedua.
Tema Hari Radio Sedunia pada tahun ini; “Radio dan Kecerdasan Buatan: AI ialah Alat, Bukan Suara,” membawa maksud yang cukup jelas. Pada era ini, maklumat serba pantas menyebabkan semua tugasan di stesen radio mesti dilakukan dengan cepat. Oleh itu, AI menjadi alat bantu yang berkesan bagi melaksanakan tugas penting – menghasilkan kandungan, menterjemah, menyusun arkib hinggalah memudahkan akses kepada pendengar.
Namun begitu, radio tetap bergantung pada manusia, dengan pakej kreativiti, emosi, suara, pengurusan editorial dan hubungan akrab yang dibina dengan pendengar. AI boleh membantu, tetapi tidak mampu menggantikan sentuhan dan jiwa manusia di udara.
Walaupun dunia hari ini berhadapan dengan pelbagai platform digital, radio tetap kekal relevan. Pada peringkat global, radio masih merupakan medium yang paling banyak digunakan.
Radio istimewa kerana berupaya menjangkau khalayak yang sangat luas.
Radio menjadi ruang terbuka yang membawa pelbagai suara tampil ke hadapan. Kandungan radio juga mencerminkan realiti masyarakat majmuk serta memberi ruang kepada dialog yang sihat dan membina.
Dengan kos operasi yang rendah, radio merupakan medium yang paling sesuai untuk komuniti terpinggir dan golongan yang kurang bernasib baik. Radio memberi peluang kepada semua lapisan masyarakat untuk bersuara dan mengeluarkan pandangan.
Dalam situasi kecemasan dan bencana pula, radio sering menjadi medium untuk menyalurkan maklumat yang sahih dengan pantas.
Theatre of the Mind
Sebagai sebuah medium komunikasi yang sering digelar Theatre of the Mind, radio tidak memerlukan visual untuk berkomunikasi dengan pendengar. Dengan bergantung sepenuhnya pada suara, bunyi dan muzik, radio mampu membawa imaginasi pendengar untuk membayangkan keceriaan dan kesakitan pelakon, kemerduan suara penyampai dan penyanyi, serta menjentik emosi pendengar.
Apabila imaginasi dihidupkan, emosi pendengar akan berkembang membentuk jalan cerita di dalam minda. Emosi itu akan membawa perasaan pendengar untuk membina rasa suspens menjadi lebih mendebarkan, kisah sedih lebih menyayat hati dan komedi lebih mencuit rasa.
Ketiadaan visual bukan satu kelemahan. Sebaliknya membentuk kekuatan yang menjadikan pengalaman mendengar lebih peribadi, mendalam dan menyentuh hati. Bunyi menjadi pencetus utama perasaan. Muzik sayu membangkitkan rasa sedih, manakala sorakan kemenangan menyalakan semangat perjuangan.
Radio juga mewujudkan hubungan intim antara penyampai dan pendengar. Suara yang didengar dalam ruang peribadi, sama ada melalui telefon pintar, komputer riba atau di dalam kenderaan, menimbulkan rasa keakraban, seolah-olah penyampai bercakap secara langsung kepada pendengar.
AI atau Suara Manusia?
Apabila berbicara mengenai dunia penyiaran radio, persoalan yang sering timbul ialah mampukah teknologi mengambil alih tugas manusia? Dalam era digital, radio bukan sekadar saluran penyampaian maklumat. Radio merupakan alat komunikasi pelbagai hala, bukan lagi komunikasi sehala. Suara penyampai radio membawa kemesraan, empati dan keikhlasan yang sukar diterjemahkan dalam bentuk data atau algoritma.
Ketika negara berhadapan bencana, ketika masyarakat melalui saat sukar dilanda wabak, atau ketika seorang pendengar berkongsi kisah pilu, penyampai radio bertindak bukan sahaja sebagai orang tengah yang mendengar dan menerima, tetapi turut memproses isu bagi mencari jalan penyelesaian lalu kemudian menjadi sahabat, teman, guru, pembimbing, dan penasihat.
Namun begitu, revolusi yang dicetuskan oleh AI tidak boleh diabai atau ditolak begitu sahaja. AI mampu menjana skrip, membaca berita dengan suara sintetik yang hampir menyerupai manusia, mencipta lagu, menulis lirik serta menganalisis data pendengar.
Dari sudut kecekapan dan keberkesan kos, AI mampu menawarkan pilihan yang sukar ditolak. Stesen radio boleh diprogram untuk beroperasi 24 jam tanpa henti, dengan sifar kesilapan teknikal, serta menyampaikan kandungan kepada segmen pendengar yang lebih khusus.
Sejauh manalah AI mampu melakukan tugas penyampai radio sepenuhnya?
Jika dilihat dari sudut teknikal dan kreativiti, AI mungkin boleh melaksanakan peranan tersebut. Malah AI kini boleh meniru nada ceria atau sedih seorang manusia tetapi tetap gagal memaparkan emosi dan sentuhan kemanusiaan.
Bayangkan seorang pendengar yang menghubungi konti untuk berkongsi kesedihan kerana kehilangan insan tersayang. Penyampai AI mungkin hanya mampu menjana penyelesaikan berdasarkan data yang diperoleh, manakala respons seorang penyampai manusia bukan hanya berdasarkan jawapan berfakta tetapi turut didorong oleh emosi kemanusiaan dan rasa simpati yang tulen.
Namun demikian, menolak AI secara mutlak merupakan satu tindakan yang tidak wajar. AI bukan musuh yang menjadi ancaman. AI ialah alat teknologi yang memperkasakan walalupun tidak mungkin menjadi alternatif yang lebih baik.
Oleh itu, jadikan AI sebagai pembantu dalam kerja penyelidikan, penyediaan kandungan, analisis trend dan automasi tugas rutin. Perkara ini akan memberi banyak ruang kepada penerbit dan penyampai untuk menumpukan perhatian pada aspek kandungan kreatif.
Hari Radio bukan sekadar sambutan, temanya bukan sekadar slogan, tetapi sebuah renungan tentang masa hadapan industri penyiaran. Di tengah-tengah deru algoritma dan kepesatan teknologi, radio berdiri sebagai suara yang bernadi yang mengingatkan kita bahawa teknologi seharusnya mengakrabkan, bukan memisahkan.
________________________________
Mohamad Letfee Ahmad pernah berkhidmat sebagai Pensyarah Kanan Komunikasi di Limkokwing University (2001-2008) sebelum dilantik sebagai Pengarang Urusan dan Pengurus Berita, BERNAMA Radio pada 2008-2016.