Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSetiap kali menjelang Ramadan, ruang digital dan siaran arus perdana di Malaysia pasti dipenuhi kandungan masakan yang menggugah selera. Aroma juadah seakan-akan meresap keluar daripada kaca televisyen dan skrin telefon pintar, menyatukan imaginasi jutaan rakyat yang menanti detik berbuka puasa.
Jika pada hari ini nama Khairul Aming menjadi fenomena menerusi siri “30 Hari 30 Resepi”, suatu ketika dahulu masyarakat setia menunggu laungan ikonik “Ketuk-ketuk… Ramadan!” yang dipopularkan oleh Sheila Rusly menerusi rancangan Ketuk-Ketuk Ramadan.
Peralihan daripada kaca televisyen kepada platform media sosial bukan sekadar perubahan saluran penyiaran, sebaliknya mencerminkan transformasi budaya, gaya hidup serta cara masyarakat membina keterikatan emosi dengan bulan yang penuh keberkatan ini.
Era Televisyen dan Magis Dapur Studio
Sebelum ledakan media sosial menguasai ruang hiburan, televisyen merupakan medium utama yang menyatukan keluarga. Rancangan Ketuk-Ketuk Ramadan terbitan JS Pictures menjadi antara program wajib tontonan sepanjang bulan puasa. Konsepnya sederhana tetapi berkesan, dimana selebriti dijemput ke dapur untuk memasak sambil berbual santai tentang pengalaman dan kenangan Ramadan mereka.
Kesederhanaan konsep ini sebenarnya menjadi kekuatan utama. Tiada skrip yang terlalu ketat, tiada lakonan yang dibuat-buat. Yang terpancar hanyalah kejujuran interaksi antara hos dengan tetamu. Gelagat artis yang kekok memegang kuali, tersilap sukatan bahan atau terlupa langkah memasak menimbulkan rasa lucu dan simpati.
Penonton bukan sekadar memerhati demonstrasi resipi, malah merasai pengalaman emosi yang sama dengan menahan lapar sambil membayangkan keenakan juadah yang sedang disediakan.
Pada era tersebut, pengalaman menonton bersifat kolektif. Ahli keluarga berkumpul di ruang tamu setiap petang, menantikan episod baharu sebelum azan Maghrib berkumandang.
Televisyen menjadi medan kebersamaan; perbualan tentang resipi dan gelagat artis bersambung di meja makan ketika berbuka. Rancangan ini bukan sekadar hiburan, bahkan menjadi wahana pembinaan memori keluarga yang bertaut dengan suasana Ramadan.
Selepas lebih sedekad bersiaran, tirai Ketuk-Ketuk Ramadan dilabuhkan pada tahun 2019. Namun begitu, kenangan yang terakam melalui episod-episodnya terus hidup sebagai nostalgia kolektif, menandai satu zaman apabila televisyen menjadi nadi utama budaya popular.
Kebangkitan Media Sosial dan Dapur Digital
Memasuki dekad baharu, landskap media berubah secara radikal. Telefon pintar menggantikan televisyen sebagai medium utama tontonan. Kandungan tidak lagi terikat pada jadual siaran, sebaliknya boleh diakses pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja. Dalam konteks inilah kemunculan Khairul Aming menandakan satu fasa baharu budaya masakan Ramadan di Malaysia.
Melalui siri “30 Hari 30 Resepi”, beliau menampilkan resipi yang praktikal, visual berkualiti tinggi serta penyampaian yang tersusun dan ringkas. Setiap video diterbitkan dengan pendekatan profesional, namun tetap mengekalkan elemen santai dan mesra penonton. Strategi penerbitan kandungan secara konsisten sepanjang 30 hari Ramadan menjadikan siri tersebut sebagai rutin harian bagi jutaan pengikutnya.
Fenomena ini memperlihatkan perubahan pola konsumsi masyarakat. Jika dahulu penonton perlu menunggu waktu siaran tertentu, kini notifikasi di media sosial menjadi “azan digital” yang menandakan kemunculan resipi baharu.
Interaksi pula berlaku secara dua hala. Penonton boleh meninggalkan komen, bertanya soalan, berkongsi pengalaman mencuba resipi dan menerima maklum balas hampir serta-merta. Hubungan antara pencipta kandungan dengan audiens menjadi lebih intim dan demokratik.
Menariknya, fenomena ini turut menarik penyertaan selebriti arus perdana. Kehadiran tokoh seperti Aznil Nawawi dalam dapur digital memperlihatkan bagaimana media sosial merapatkan jurang antara artis dengan masyarakat. Jika dahulu artis menunggu undangan produksi televisyen, kini kolaborasi berlaku secara lebih fleksibel dan organik. Sempadan antara “selebriti televisyen” dengan “pempengaruh digital” semakin kabur.
Nostalgia dan Pembinaan Identiti Baharu
Walaupun platform berubah, inti pati kemeriahan Ramadan tetap utuh. Ketuk-Ketuk Ramadan mewakili era kebersamaan fizikal seperti sebuah keluarga yang berkumpul di ruang tamu, berkongsi tawa dan selera. Fenomena Khairul Aming pula mencerminkan zaman keterhubungan digital tanpa sempadan, apabila komuniti maya terbentuk merentasi negeri dan negara.
Nostalgia terhadap rancangan televisyen lama bukan sekadar kerinduan terhadap program tersebut, tetapi kerinduan terhadap suasana yang diwakilinya. Hal tersebut mengingatkan masyarakat kepada zaman yang lebih perlahan, apabila waktu petang diisi dengan menonton televisyen bersama keluarga.
Perubahan zaman turut memperlihatkan bagaimana budaya popular sentiasa berkembang seiring kemajuan teknologi. Kandungan masakan tidak lagi terhad kepada studio atau saluran tertentu. Sesiapa sahaja berpeluang menjadi pencipta kandungan, berkongsi resipi warisan keluarga atau inovasi kulinari baharu. Ruang media memperkaya khazanah gastronomi tempatan dan membuka ruang kepada eksperimen rasa yang lebih pelbagai.
Dalam masa yang sama, evolusi ini menuntut kebijaksanaan pengguna. Lambakan kandungan memerlukan keupayaan memilih dan menilai. Namun begitu, di sebalik cabaran tersebut, wujud peluang besar untuk memperkukuh identiti kulinari negara. Resipi tradisional yang dahulu mungkin hanya diketahui dalam lingkungan keluarga kini boleh didokumentasikan dan disebarluaskan kepada khalayak global.
Kesinambungan Tradisi dalam Wajah Baharu
Daripada laungan penuh semangat di set televisyen kepada sorotan kamera berdefinisi tinggi di dapur moden, evolusi budaya masakan Ramadan di Malaysia memperlihatkan kesinambungan tradisi dalam bentuk yang berbeza. Medium penyampaian berubah daripada televisyen kepada media sosial, namun tujuan dan semangatnya tetap sama dengan menyemarakkan kemeriahan Ramadan serta mengeratkan hubungan sesama masyarakat.
Hakikatnya, sama ada melalui Ketuk-Ketuk Ramadan yang dipelopori Sheila Rusly atau fenomena “30 Hari 30 Resepi” oleh Khairul Aming, kedua-duanya telah meninggalkan jejak tersendiri dalam landskap budaya popular negara. Kedua-duanya membuktikan bahawa masakan bukan sekadar soal rasa, tetapi wahana membina kenangan, identiti dan kebersamaan.
Tradisi boleh berubah wajah, teknologi boleh silih berganti, namun jiwa Ramadan yang sarat dengan nilai kesederhanaan, kesyukuran dan kegembiraan akan terus kekal merentas generasi. Dalam denyut nadi masyarakat Malaysia, dapur sama ada di studio televisyen mahupun di ruang digital tetap menjadi ruang penyatuan rasa dan cerita, mengikat masa lalu dan masa kini dalam satu hamparan budaya yang berterusan.