Oleh Pie Asyraf
Diterbitkan pada 17 Mac 2026, 10:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

 Masyarakat di Malaysia bukan sahaja menantikan kepulangan ke kampung halaman, juadah tradisional dan suasana kekeluargaan, malah kini menunggu kemunculan iklan raya daripada pelbagai jenama dan syarikat korporat.

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, iklan raya tidak lagi sekadar paparan promosi produk secara langsung. Sebaliknya, berkembang menjadi filem pendek yang sarat dengan jalan cerita, emosi dan nilai kemasyarakatan. Fenomena ini menunjukkan bahawa iklan raya telah berevolusi daripada strategi pemasaran biasa kepada sebuah bentuk penceritaan visual yang mempunyai nilai seni dan budaya tersendiri.

Perubahan ini sebahagian besarnya dipengaruhi oleh perkembangan platform digital seperti YouTube, Facebook dan Instagram yang menjadi medium utama penyebaran kandungan video. Melalui platform tersebut, syarikat tidak lagi terhad kepada durasi iklan televisyen yang singkat. Mereka boleh menghasilkan filem pendek berdurasi lima hingga sepuluh minit yang lebih mendalam dari segi penceritaan.

Oleh itu, iklan raya kini sering menampilkan plot dramatik, konflik keluarga, nostalgia kampung halaman serta mesej perpaduan yang dekat dengan kehidupan masyarakat.

Antara jenama yang sering menghasilkan iklan raya berbentuk filem pendek ialah Petroliam Nasional Berhad (Petronas). Sejak awal tahun 2000-an, syarikat ini dikenali kerana menghasilkan iklan raya yang menyentuh emosi penonton.

Pendekatan mereka biasanya menampilkan kisah kehidupan masyarakat biasa yang sarat dengan nilai kekeluargaan, kejujuran dan kemanusiaan. Walaupun mesej komersial tidak ditonjolkan secara langsung, jenama tersebut tetap berjaya membina hubungan emosi dengan penonton. Pendekatan ini menunjukkan bahawa penceritaan yang kuat mampu menjadi alat pemasaran yang lebih berkesan berbanding promosi produk secara terang-terangan.

Selain itu, syarikat lain seperti Tenaga Nasional Berhad, Telekom Malaysia dan Perusahaan Otomobil Nasional Sdn. Bhd. (Proton)  (sekadar menyebut beberapa nama syarikat) semakin aktif menghasilkan iklan raya berbentuk filem pendek.

Setiap syarikat cuba menonjolkan identiti tersendiri melalui tema cerita yang berbeza. Ada yang mengetengahkan hubungan kekeluargaan, ada yang menekankan nilai pengorbanan ibu bapa, dan ada juga yang menyelitkan unsur humor serta kejutan emosi. Kepelbagaian pendekatan ini menjadikan iklan raya sebagai satu bentuk kandungan yang dinantikan oleh masyarakat setiap tahun.

Dari sudut budaya, kemunculan iklan raya berbentuk filem pendek juga memperlihatkan bagaimana nilai tradisi dan identiti masyarakat Melayu diterjemahkan dalam bentuk visual moden.

Elemen seperti pulang ke kampung, penyediaan juadah tradisional, amalan bermaaf-maafan dan hubungan antara generasi sering menjadi tema utama dalam penceritaan. Ini secara tidak langsung membantu mengekalkan memori kolektif masyarakat tentang makna sebenar sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Tambahan pula, iklan raya yang kreatif sering menjadi bahan perbincangan dalam kalangan masyarakat. Ada yang berkongsi video tersebut di media sosial, ada yang membuat ulasan, malah ada juga yang menonton berulang kali kerana jalan ceritanya yang menyentuh perasaan.

Fenomena ini menunjukkan bahawa iklan raya bukan lagi sekadar kandungan komersial, tetapi telah menjadi sebahagian daripada pengalaman budaya masyarakat moden.

Walau bagaimanapun, perkembangan ini juga membawa cabaran tertentu. Persaingan antara jenama untuk menghasilkan iklan raya yang paling menyentuh hati semakin sengit.

Setiap tahun, penonton mengharapkan idea yang lebih segar, jalan cerita yang lebih kreatif dan mesej yang lebih bermakna. Jika sesebuah iklan terlalu klise atau terlalu jelas mempromosikan produk, penonton mungkin kurang memberi perhatian. Oleh itu, pembikin iklan perlu bijak mengimbangi antara elemen penceritaan dan tujuan pemasaran.

Kesimpulannya, kemunculan iklan raya dalam bentuk filem pendek merupakan satu fenomena menarik dalam dunia pemasaran dan budaya popular di Malaysia. Video raya bukan sahaja berfungsi sebagai alat promosi bagi syarikat korporat, tetapi juga menjadi medium penceritaan yang menggambarkan nilai kemasyarakatan, nostalgia dan identiti budaya.

Dengan sokongan platform digital serta kreativiti pembikin kandungan, iklan raya berpotensi terus berkembang sebagai sebuah bentuk karya visual yang dinantikan oleh masyarakat setiap kali menjelang Aidilfitri.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi