Diterbitkan pada 14 April 2026, 16:59

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Lagu raya telah mengalami satu anjakan yang sukar dinafikan sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Fungsinya tidak hanya menemani perjalanan pulang ke kampung, saat menyediakan persiapan raya atau mengalun di tengah kehangatan rumah yang dipenuhi keluarga.

Sebaliknya, semakin kerap muncul sebagai kandungan–sesuatu yang direka untuk ditangkap, dipotong,dan diedarkan dalam kitaran pantas media sosial.

Dalam dunia yang diatur oleh algoritma, di mana perhatian diukur melalui detik-detik singkat–lagu raya juga mula tunduk kepada logik yang sama: cepat, mudah dan segera memberi kesan.

Kecenderungan ini jelas apabila semakin banyak lagu raya dibina mengelilingi potensi viral. Korus dipadatkan supaya sesuai dengan klip 15 saat, permulaan (intro) dipendekkan agar tidak mengganggu perhatian, dan struktur lagu diratakan sehingga kehilangan lenggok emosi.

Lebih ketara lagi, tarian kini bukan sekadar pelengkap– sering menjadi pusat kepada penciptaan. Lagu ditulis bersama gerakan; hook dicipta untuk dihafal dengan tubuh, bukan hanya dengan telinga. Dalam keghairahan ini, kita mula melihat satu peralihan halus tetapi penting: muzik tidak lagi memimpin pengalaman, sebaliknya mengiringi visual.

Fenomena ini bukan muncul tanpa asas. Lagu seperti Alamak Raya Lagi! oleh De Fam pernah membuktikan bahawa gabungan melodi catchy dan tarian yang mudah diikuti mampu mencipta momen budaya yang meluas. Lirik dan tarian tersebut hidup dalam ingatan ramai bukan sahaja sebagai lagu, tetapi sebagai pengalaman kolektif–sesuatu yang ditari, dikongsi, dan diraikan bersama.

Namun begitu, kejayaan ini juga membuka ruang kepada satu kecenderungan yang lebih formulaik, apabila pendekatan yang sama diulang tanpa sensitiviti terhadap konteks atau emosi.

Begitu juga dengan Serumpun lagu Mimy Fly yang turut mencuri perhatian ramai. Lagu ini menampilkan hook yang cepat melekat dan visual yang mudah dijadikan tarian atau cabaran dalam media sosial. Seterusnya menjadikan lagu raya yang disebut tadi tular dalam masa singkat.

Akan tetapi, lagu-lagu tersebut menjadi buah mulut datang dengan kompromi; fokus yang berat pada gaya (trend) dan elemen hiburan membuatkan makna dan emosi sebenar yang biasanya melekat pada lagu raya cenderung terpinggir.

Hal sebegini mengingatkan bahawa populariti sesaat tidak semestinya bersamaan dengan pengalaman mendalam, dan bahawa tularnya sesuatu lagu, walaupun menggembirakan, kadangkala menenggelamkan rasa yang sepatutnya menjadi teras sesebuah lagu raya.

Apabila formula menggantikan kejujuran, hasilnya mula terasa kosong. Lirik menjadi semakin generik, emosi dipermudah, dan segala yang tidak menyumbang kepada “momen tular” diketepikan.

Dalam usaha untuk menjadi mudah diikuti, kebanyakan lagu akhirnya menjadi cepat dilupakan. Kita mungkin masih menari dengannya, tetapi semakin kurang benar-benar merasainya. Dalam konteks raya–yang pada asasnya berkait rapat dengan memori, kemaafan, dan hubungan–kehilangan ini bukan sesuatu yang kecil.

Dalam landskap  Jodoh Lebaran, lagu tersebut hadir sebagai satu pengecualian yang menenangkan. Apa yang membezakannya bukanlah percubaan untuk melawan arus secara dramatik, tetapi keengganannya untuk tunduk sepenuhnya kepada tekanan semasa.

Lagu tersebut tidak dibina sebagai klip; dibina sebagai lagu. Melodinya diberi ruang untuk bernafas, susunannya berakar pada bunyi tradisional Melayu yang hidup, dan temanya–mencari jodoh ketika raya–cukup spesifik untuk terasa jujur, tanpa perlu menjadi berat.

Menariknya, walaupun tidak jelas dicipta untuk algoritma, lagu ini tetap berkembang dalam ruang tersebut. Di sinilah letaknya kekuatan sebenar Aisha Retno: memahami bahawa penularan adalah kesan, bukan matlamat.

Walaupun lagu ini turut disempurnakan dengan tarian, Aisha Retno bijak memilih joget dan inang sebagai tunjang utamanya, memastikan gerakan itu mengangkat, bukan menenggelamkan identiti lagu.

Di sinilah letaknya kekuatan sebenar beliau sebagai seorang seniman: memahami bahawa penularan adalah kesan, bukan matlamat. Lagu ini tidak bergantung kepada gimik untuk menonjol, sebaliknya melalui tarian, namun tetap berdiri kukuh sebagai karya yang lengkap.

Keputusan Aisha untuk menyeimbangkan kehendak pasaran dengan kreativiti membuktikan kecerdasannya dalam mencipta muzik yang relevan tanpa mengorbankan rasa dan emosi yang menjadi terasnya.

Perbandingan ini menjadi lebih menarik apabila kita melihat karya terdahulu seperti Ketipak Ketipung Raya, di mana kecenderungan ke arah elemen persembahan dan keceriaan visual lebih ketara.

Evolusi ini menunjukkan bahawa garis antara hiburan dengan formula sememangnya tipis–dan kejayaan Jodoh Lebaran mungkin terletak pada keupayaannya untuk menyeimbangkan kedua-duanya tanpa kehilangan jiwa.

Selain aspek muzik dan tarian, kekuatan Jodoh Lebaran terletak pada cara Aisha menulis dan menyampaikannya dengan suara yang telus. Lagu ini tidak melompat ke tema yang jauh atau dibuat-buat; tetap dekat dengan pengalaman peribadi yang relevan pada usianya yang sedang meningkat dewasa–mencari erti cinta sejati dan pasangan yang sesuai dalam meniti perjalanan hidup.

Hasilnya, lagu ini tidak kedengaran ‘try hard’ atau hipokrit; sebaliknya, bernyawa, terasa tulen, dan mudah dihubungkan oleh pendengar, sama ada mereka yang sudah berumah tangga atau masih menanti jodoh.

Lebih menarik lagi, liriknya sarat dengan pantun dan seloka tradisional, seperti; dua tiga kucing berlari/ mana nak sama si kucing belang. Secara halus mengangkat nilai puisi lama ke medium moden.

Walaupun Aisha adalah anak generasi baharu, jelas mempunyai kesedaran dan penghargaan terhadap sastera Melayu lama, lalu berjaya mengadaptasinya agar tetap relevan dan dinikmati generasi hari ini.

Pendekatan ini bukan sahaja memperkaya nyawa lagu, tetapi juga menunjukkan kepintaran Aisha sebagai seniman muda–menghubungkan warisan budaya dengan pengalaman kontemporari tanpa terasa dipaksa atau dibuat-buat.

Namun begitu, persoalan yang lebih besar kekal: ke mana arah muzik raya selepas ini? Adakah akan terus bergerak sebagai kandungan yang dikejar oleh algoritma, atau kembali kepada peranannya sebagai pembawa rasa dan memori? Platform seperti TikTok bukanlah musuh, hanyalah medium tetapi apabila medium mula menentukan bentuk dan nadi karya, sesuatu yang lebih mendalam berisiko hilang.

Kejayaan Jodoh Lebaran mengingatkan kita kepada suatu hakikat yang mudah tetapi sering dilupakan: dalam usaha mengejar perhatian, kita tidak boleh mengabaikan rasa.

Hari Raya bukan sekadar tentang apa yang kita lihat atau kongsikan, tetapi apa yang kita alami dan simpan. Dalam dunia yang semakin bising ini, lagu yang benar-benar kekal bukanlah yang paling kuat bergema–tetapi yang paling tepat menyentuh.

Pendengar masa kini semakin bijak dan berpengetahuan, memiliki “rasa” yang halus dan mampu menilai kecerdasan sesuatu lagu. Mereka dapat membezakan antara karya yang tulen dengan yang sekadar tiruan.

Dalam dunia yang kini dipenuhi lirik dan melodi yang dihasilkan oleh AI, karya yang benar-benar mampu menarik perhatian hanyalah yang menuntut kebijaksanaan, kepekaan, dan sentuhan manusia sejati.

Bagi pengkarya zaman ini, kejayaan Jodoh Lebaran adalah contoh nyata bahawa lagu raya yang berkesan lahir daripada keberanian untuk jujur dan cerdas. Mengingatkan bahawa penularan bukan matlamat akhir. Sebaliknya adalah kesan sampingan dari karya yang tulen. Lagu yang bermakna menuntut pengkarya untuk memahami tradisi, merasai emosi pendengar, dan menulis dengan suara sendiri, tanpa tergoda untuk sekadar meniru trend atau gimik.

Kita masih akan kembali kepada lagu-lagu raya malar segar  kerana melodi dan liriknya telah menembusi hati generasi demi generasi; namun pengkarya baru mempunyai peluang untuk mencipta sesuatu yang segar, sambil tetap memancarkan “rasa raya” yang sebenar–menghubungkan kenangan, harapan dan kehangatan hari kemenangan dengan pengalaman kontemporari.

Hakikatnya untuk mencipta lagu raya yang akan dikenang, kreativiti perlu berpadu dengan kejujuran, penghargaan terhadap budaya dan keberanian untuk tidak mengorbankan rasa demi perhatian semata. Hanya dengan cara itu, lagu-lagu baru boleh berdiri bersama klasik, memberi inspirasi, dan terus menggerakkan hati pendengar dari generasi ke generasi.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi