Diterbitkan pada 30 April 2026, 10:19

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Hari ini, penerimaan terhadap sesebuah filem tidak lagi bergerak dalam satu arah yang seragam. Sebuah filem boleh ditolak oleh pengkritik, tetapi pada masa yang sama diraikan oleh penonton. Fenomena ini semakin ketara dalam era digital apabila reaksi terhadap filem tidak lagi dibentuk oleh ulasan akhbar semata-mata, sebaliknya turut dipengaruhi oleh media sosial, nostalgia, komuniti peminat dan pengalaman tontonan yang bersifat lebih peribadi.

Dalam keadaan ini, filem tidak hanya dinilai sebagai teks sinema, tetapi juga sebagai pengalaman emosi yang dibaca secara berbeza oleh kelompok yang berbeza. Filem Michael (2026) memperlihatkan keadaan ini dengan begitu jelas. Sebagai sebuah filem biografi yang mengangkat figura Michael Jackson, filem ini hadir dengan beban budaya yang besar sejak awal. Michael Jackson bukan sekadar seorang penyanyi terkenal, tetapi sebuah ikon budaya global yang telah lama melampaui batas muzik.

Beliau merupakan simbol hiburan popular, memori generasi dan bagi ramai penonton, lambang kepada zaman yang sukar digantikan. Maka, Michael tidak hadir sebagai sebuah filem biasa. Filem ini hadir sebagai pertemuan antara sejarah, nostalgia, mitos selebriti dan jangkaan budaya yang telah lama terbina di sekeliling nama besar.

Namun begitu, sebaik sahaja filem ini ditayangkan, penerimaannya memperlihatkan satu jurang yang ketara. Dalam kalangan pengkritik, Michael menerima reaksi yang dingin. Filem ini dikritik sebagai terlalu berhati-hati, terlalu selamat dan gagal menjadi sebuah biografi yang benar-benar berani menelusuri kerumitan subjeknya.

Beberapa ulasan profesional melihat filem ini sebagai karya yang lebih berminat memelihara imej Michael Jackson berbanding memahami manusia di sebalik legenda itu. Bagi kelompok tersebut, Michael bukan gagal kerana persembahannya lemah, tetapi kerana naratifnya terlalu terkawal untuk menjadi sesuatu yang benar-benar bermakna.

Sebaliknya, penonton memperlihatkan penerimaan yang jauh berbeza. Walaupun pengkritik melihat kelemahan dari sudut naratif dan kedalaman, penonton tetap menyambut filem ini dengan lebih lunak. Reaksi penonton lebih tertumpu pada kekuatan persembahan, daya hidup lagu ikonik dan keupayaan filem ini menghidupkan semula susuk Mchael Jackson di layar.

Michael mungkin bukan sebuah biografi yang sempurna, namun filem ini tetap berfungsi sebagai pengalaman emosi yang memuaskan. Filem tersebut mengembalikan nostalgia, menghidupkan semula memori dan memberikan ruang untuk penonton kembali merasai kehadiran seorang ikon yang telah lama menjadi sebahagian daripada imaginasi budaya mereka.

Perbezaan ini menjadikan Michael menarik bukan semata-mata kerana isi filemnya, tetapi kerana cara filem ini diterima. Mengapakah pengkritik melihat kekurangan, sedangkan penonton melihat penghormatan? Mengapakah satu pihak menuntut kedalaman, sementara satu pihak lagi memadai dengan kenangan?

Persoalan inilah yang menjadikan Michael sebagai sebuah fenomena budaya. Dalam konteks ini, Michael memperlihatkan bagaimana sesebuah karya tidak pernah diterima secara mutlak, sebaliknya sentiasa dibaca melalui dua lensa yang berbeza, iaitu lensa kritikan dan lensa kekaguman.

 Naratif yang Selamat dan Terlalu Terkawal

Secara umum, dalam kalangan pengkritik, penerimaan terhadap Michael memperlihatkan satu pola yang agak konsisten. Filem ini tidak ditolak sepenuhnya sebagai karya sinema yang lemah, tetapi lebih dilihat sebagai karya yang gagal memenuhi potensi. Kritikan utama terhadap Michael bukan hanya tertumpu pada aspek teknikal semata-mata, malah pada persoalan yang lebih mendasar, iaitu bagaimanakah filem ini memilih untuk membina Michael Jackson sebagai subjek biografi.

Beberapa ulasan awal mengakui bahawa Michael memiliki kekuatan visual yang meyakinkan. Persembahan pentas dirakam dengan tenaga yang kuat, muziknya masih berfungsi sebagai daya tarik utama dan Jaafar Jackson memberikan persembahan fizikal yang cukup meyakinkan untuk menghidupkan kembali tubuh serta gerak Michael Jackson di layar.

Akan tetapi, pujian ini tidak cukup untuk mengubah nada umum pengkritikan. Bagi kebanyakan pengkritik, kekuatan teknikal tersebut tidak mampu menutup kelemahan terbesar filem ini, iaitu naratifnya yang terlalu berhati-hati dan terlalu terkawal.

Antara kritikan yang paling kerap diulang ialah sifat filem ini terlalu “selamat”. Michael dilihat sebagai sebuah biografi yang enggan mengambil risiko untuk menyelami sisi paling rumit dalam kehidupan subjeknya. Filem ini menampilkan zaman kanak-kanak Michael, tekanan keluarga, disiplin keras Joe Jackson (ayah Michael Jackson) dan kebangkitan kariernya sebagai bintang global.

Naratifnya bergerak dengan sangat berhati-hati, seolah-olah setiap konflik hanya dibenarkan muncul sekadar cukup untuk memberi kesan dramatik, tetapi tidak pernah benar-benar diberi ruang untuk berkembang menjadi renungan yang lebih mendalam. Hasilnya, filem ini terasa licin, kemas dan menghiburkan, tetapi terlalu terkawal untuk benar untuk benar-benar mengganggu.

Filem ini juga dilihat sebagai terlalu “sanitized”, yakni terlalu dibersihkan daripada sisi-sisi yang lebih sukar dan mencabar. Pengkritik melihat Michael sebagai sebuah filem yang lebih cenderung memelihara imej Michael Jackson daripada menyoal kerumitan yang membentuknya. Dalam erti kata lain, filem ini tidak berusaha memahami Michael Jackson sebagai manusia yang penuh kontradiksi, tetapi lebih berminat mengekalkan Michael Jackson sebagai ikon yang selamat untuk diraikan. Pilihan naratif seperti ini menjadikan filem tersebut terasa lebih hampir kepada penghormatan korporat daripada biografi yang berani.

Kelemahan ini menjadi lebih ketara apabila filem tersebut dinilai sebagai biografi. Dalam tradisi filem biografi, kekuatan sesebuah karya bukan hanya terletak pada keupayaannya mengumpulkan detik-detik penting dalam tokoh besar, tetapi pada keupayaannya mentafsir detik-detik itu sebagai pengalaman manusia yang kompleks.

Di sinilah Michael dilihat gagal. Filem ini bergerak dari satu peristiwa ikonik ke satu peristiwa ikonik yang lain, tetapi jarang berhenti cukup lama untuk memberi makna kepada pengalaman tersebut.

Akibatnya, Michael dilihat oleh pengkritik sebagai sebuah filem yang terlalu indah untuk menjadi jujur. Filem ini tahu bagaimana mahu mengagumkan penonton melalui muzik, visual dan nostalgia, tetapi tidak cukup berani untuk menyelidik sisi yang lebih gelap dan lebih manusiawi. Dalam hal ini, masalah Michael bukan kerana gagal menjadi hiburan, tetapi disebabkan menjadi pembacaan yang benar-benar bermakna terhadap tokoh yang diangkatnya.

 Nostalgia, Emosi dan Kuasa Ingatan Budaya

Jika pengkritik menilai Michael sebagai teks yang terlalu berhati-hati, penonton pula menerimanya melalui kerangka yang jauh berbeza. Di sinilah letaknya jurang sebenar antara kedua-dua kelompok ini. Bagi pengkritik, filem ditimbang melalui naratif, kedalaman dan keberanian tafsiran. Bagi penonton pula, filem sering diterima melalui emosi, ingatan dan pengalaman. Dalam konteks ini, Michael tidak semestinya perlu menjadi biografi yang sempurna untuk dianggap berjaya. Cukup sekadar mampu menghidupkan semula rasa.

Hal inilah yang menjelaskan mengapa Michael tetap diterima dengan lebih lunak oleh penonton walaupun berdepan kritikan profesional yang dingin. Bagi khalayak umum, kekuatan utama filem ini tidak terletak pada keberanian naratifnya, tetapi pada keupayaannya membangkitkan kembali memori budaya yang telah lama melekat dalam kesedaran kolektif.

Lagu-lagu seperti Billie Jean, Thriller, Beat It dan Bad bukan sekadar elemen runut bunyi, tetapi sebahagian daripada sejarah emosi yang telah lama hidup bersama penonton. Apabila lagu-lagu ini kembali dipersembahkan di layar, penonton tidak sekadar menonton sebuah filem, tetapi mengingati semula satu zaman.

Di sinillah nostalgia memainkan peranan yang besar. Michael bukan sekadar menjual cerita tentang Michael Jackson, malah menjual pengalaman mengingati Michael Jackson. Bagi penonton yang membesar dengan muziknya, filem ini berfungsi sebagai ruang untuk kembali kepada memori lama. Bagi penonton yang lebih muda pula, filem ini menjadi ruang untuk menyentuh semula aura budaya yang selama ini hanya dikenali melalui warisan pop global. Dalam kedua-dua keadaan, filem ini berfungsi bukan terutama sebagai teks sejarah, bahkan sebagai mesin nostalgia yang menghidupkan semula hubungan emosi antara ikon dengan peminat.

Penerimaan penonton juga banyak bergantung pada persembahan Jaafar Jackson. Kebanyakan reaksi umum, aspek yang paling kerang dipuji bukanlah struktur filem, tetapi keupayaannya meniru tubuh, suara dan gerak Michael Jackson dengan meyakinkan. Bagi penonton, Jaafar Jackson bukan sekadar pelakon, tetapi medium yang memungkinkan ilusi itu berlaku. Kejayaan terbesar filem ini bukan kerana mentafsir Michael Jackson secara mendalam, tetapi berjaya mencipta semula kehadiran Michael Jackson secara visual dan emosi. Menerusi konteks tontonan popular, ilusi ini sudah memadai untuk menghasilkan kepuasan.

Hal ini memperlihatkan bahawa penonton tidak semestinya datang ke pawagam untuk menuntut ketepatan sejarah atau pembacaan psikologi yang rumit. Penonton sering datang untuk merasai, bukan semestinya menyoal semula. Maka, apabila pengkritik melihat kekurangan dari sudut naratif, penonton melihat kelebihan dari sudut pengalaman. Apabila pengkritik melihat pengelakan, penonton melihat penghormatan. Apabila menuntut tafsiran, penonton memadai dengan kehadiran.

Dalam hal ini, penerimaan penonton terhadap Michael memperlihatkan satu hakikat penting dalam budaya popular, iaitu bahawa sesebuah karya tidak selalu bertahan kerana kedalaman intelektualnya,sebaliknya keupayaannya mengaktifkan emosi kolektif. Michael mungkin gagal memuaskan pengkritik sebagai biografi yang kritikal, tetapi bagi penonton, filem ini tetapi berjaya sebagai pengalaman nostalgia yang memulihkan hubungan mereka dengan seorang ikon yang telah lama menjadi sebahagian daripada ingatan budaya global.

Perbezaan yang ketara antara penerimaan pengkritik dengan penonton terhadap Michael bukan sekadar selera, tetapi mencerminkan dua cara berbeza manusia berinteraksi dengan budaya. Filem yang sama ditonton oleh khalayak yang sama-sama melihat, tetapi tidak semestinya membaca dengan cara yang sama. Dalam hal ini, jurang penerimaan terhadap Michael tidak berlaku secara kebetulan. Lahir daripada perbezaan fungsi budaya, perbezaan cara membaca teks dan perbezaan harapan terhadap apa yang sepatutnya dilakukan oleh sesebuah filem.

Bagi pengkritik, filem dibaca sebagai teks budaya. Ertinya, filem tidak hanya dilihat sebagai hiburan, tetapi sebagai struktur makna yang membaca ideologi, pilihan naratif dan tafsiran terhadap realiti. Dalam kerangka ini, Michael dinilai bukan sekadar berdasarkan mutu lakonan atau kekuatan visual, tetapi berdasarkan apa yang cuba disampaikan melalui filem tentang Michael Jackson sebagai tokoh budaya. Pengkritik tidak hanya bertanya sama ada filem itu menghiburkan, filem itu jujur, berani dan bermakna.  Pengkritik melihat pengelakan sebagai kelemahan, naratif yang terlalu selamat sebagai kegagalan dan nostalgia yang berlebih sebagai bentuk perlindungan terhadap mitos.

Penonton pula membaca filem melalui kerangka yang berbeza. Bagi khalayak umum, filem tidak semestinya perlu berfungsi sebagai teks ideologi. Filem lebih kerap diterima sebagai pengalaman afektif, yakni ruang untuk merasa, mengingati dan mengalami semula sesuatu yang pernah bermakna. Menerusi kerangka ini, Michael tidak ditonton terutama untuk menilai kejujuran sejarahnya, tetapi untuk merasai kembali kehadiran Michael Jackson sebagai ikon budaya. Penonton tidak semestinya menuntut filem ini untuk membedah kontradiksi, kerana bagi mereka, fungsi utama filem ini bukan untuk menyiasat, tetapi untuk menghidupkan semula.

Perbezaan ini menjelaskan bahawa pengkritik dan penonton sebenarnya tidak menonton filem yang sama walaupun mereka duduk di hadapan layar yang sama. Pengkritik menontotn sebuah teks yang perlu ditafsir. Penonton menonton sebuah pengalaman yang perlu dirasai.

Yang satu mencari makna, yang satu lagi mencari hubungan emosi. Yang satu bertanya apa yang disembunyikan, yang satu lagi menikmati apa yang dihadirkan. Maka, jurang penerimaan itu lahir bukan kerana satu pihak lebih betul daripada yang lain, tetapi kerana kedua-duanya datang dengan tujuan budaya yang berbeza.

Melalui konteks ini, nostalgia menjadi unsur penting untuk memahami penerimaan penonton. Nostalgia bukan sekadar kerinduan terhadap masa lalu, tetapi satu bentuk kuasa budaya yang mampu mengatasi penilaian rasional. Apabila penonton menonton Michael, mereka bukan hanya menonton seorang tokoh, tetapi menonton semula sebahagian daripada masa lalu mereka sendiri.

Michael Jackson bagi ramai orang bukan sekadar artis, tetapi bunyi zaman, memori remaja, suara rumah dan imej dunia yang pernah mereka kenal. Dalam keadaan ini, filem tidak lagi ditimbang semata-mata berdasarkan kekuatan naratif, tetapi berdasarkan keupayaannya mengaktifkan semula memori yang telah lama tersimpan. Nostalgia menjadikan kekurangan naratif terasa kurang penting kerana emosi telah mengambil alih fungsi penilaian.

Pada masa yang sama, jurang ini juga tidak dapat dipisahkan daripada struktur industri budaya itu sendiri. Filem biografi, khususnya yang melibatkan tokoh besar, jarang lahir sebagai karya bebas sepenuhnya. Menerusi keadaan ini, filem seperti Michael bukan sekadar karya seni, tetapi juga produk budaya yang membawa tanggungjawab komersial dan simbolik. Naratif yang terlalu selamat bukan semata-mata pilihan estetik, tetapi juga hasil daripada sistem yang mahu memastikan legenda kekal boleh dijual, boleh diraikan dan boleh diwariskan tanpa gangguan besar.

Jurang antara pengkritik dengan penonton terhadap Michael sebenarnya memperlihatkan sesuatu yang lebih besar daripada sekadar perbezaan reaksi terhadap sebuah filem. Sebaliknya, memperlihatkan dua fungsi utama budaya popular itu sendiri. Di satu pihak, budaya popular ialah ruang tafsiran yang menuntut pembacaan kritikal. Di pihak yang lain, budaya popular ialah ruang emosi yang mengekalkan kenangan, keselesaan dan keterikatan. Michael berdiri tepat di tengah-tengah dua fungsi tersebut

Biografi sebagai Teks Bermasalah

Filem biografi sebenarnya sering dianggap sebagai bentuk penceritaan yang paling hampir dengan sejarah kerana mengangkat tokoh yang benar-benar wujud dan peristiwa yang pernah berlaku. Namun begitu, biografi tidak pernah menjadi sejarah dalam bentuk yang tulen. Dalam erti kata lain, biografi bukan sekadar menceritakan kehidupan seseorang, tetapi memilih bahagian kehidupan mana yang mahu dipaparkan, dibesarkan atau disenyapkan. Oleh sebab itu, setiap biografi sentiasa membawa masalah yang sama; hadir dengan wajah sejarah, tetapi bekerja melalui logik pilihan.

Dalam konteks ini, Michael memperlihatkan dengan jelas bagaimana biografi lebih cenderung mengurus imej daripada membedah manusia. Filem ini tidak benar-benar berusaha memahami Michael Jackson sebagai sosok yang penuh kontradiksi, sebaliknya lebih berhati-hati dalam menyusun semula imej Michael Jackson sebagai warisan budaya yang masih boleh diraikan.

Pilihan untuk menonjolkan trauma, kejayaan dan kebesaran pentas sambil mengelakkan bahagian yang lebih rumit menunjukkan bahawa Michael bukan sekadar filem biografi, tetapi juga bentuk pengurusan legenda. Ia tidak membongkar mitos, sebaliknya memastikan mitos itu kekal utuh untuk diwariskan semula.

Hal ini menjadikan biografi bukan sekadar genre filem, tetapi alat budaya yang menentukan bagaimana seseorang tokoh akan terus diingati. Penonton datang dengan anggap bahawa mereka sedang menonton sejarah, sedangkan yang dipersembahkan ialah tafsiran terhadap sejarah yang telah dipilih dengan cermat. Maka, persoalan penting dalam membaca biografi bukan lagi sama ada filem itu tepat sepenuhnya, tetapi siapa yang memilih naratifnya, apa yang ditonjolkan dan apa yang sengaja dibiarkan hilang.

Implikasi 

Bagi penonton Malaysia, Michael bukan sekadar sebuah filem tentang seorang selebriti Barat, tetapi sebuah pengalaman budaya yang dekat dengan memori tempatan. Michael Jackson telah lama hadir dalam kehidupan budaya masyarakat Malaysia melalui radio, televisyen, kaset, MTV, dan pentas hiburan sejak dekad 1980 an.

Lagu, gaya tarian, dan imej visualnya bukan sesuatu yang asing, malah telah menjadi sebahagian daripada pengalaman generasi yang membesar bersama ledakan budaya pop global. Oleh sebab itu, Michael lebih mudah diterima bukan sebagai filem sejarah, tetapi sebagai ruang nostalgia yang menghubungkan penonton tempatan dengan memori budaya mereka sendiri.

Namun begitu, penerimaan seperti ini juga memperlihatkan satu implikasi yang lebih besar. Apabila filem diterima terutama melalui nostalgia, penonton cenderung memberi ruang yang lebih kecil kepada persoalan tentang apa yang dihilangkan, apa yang disenyapkan, dan siapa yang mengawal naratif yang dipaparkan.

Dalam keadaan ini, penonton bukan sekadar menikmati sebuah filem, tetapi secara tidak sedar menerima bentuk ingatan yang telah dipilih untuk mereka. Nostalgia menjadikan filem terasa akrab, tetapi pada masa yang sama boleh melembutkan dorongan untuk mempersoalkan bagaimana sesuatu tokoh itu dibentuk semula oleh industri budaya.

Inilah cabaran utama kepada penonton Malaysia dalam berhadapan dengan budaya popular global hari ini. Penonton tempatan bukan lagi sekadar pengguna hiburan, tetapi juga penerima aktif pelbagai bentuk memori budaya yang diimport melalui filem, muzik, dan media digital.

Maka, menonton filem seperti Michael bukan hanya soal suka atau tidak suka, tetapi soal bagaimana kita membaca naratif yang dibawa kepadanya. Dalam dunia yang dipenuhi imej, nostalgia, dan warisan budaya yang telah dikemaskan, tugas penonton bukan sekadar menikmati, tetapi juga belajar bertanya tentang memori siapa yang sedang diwariskan dan kebenaran siapa yang sedang dipelihara.

Penutupnya, penerimaan terhadap Michael memperlihatkan bahawa sesebuah filem tidak pernah hadir sebagai karya yang dibaca secara tunggal. Filem yang sama boleh ditolak sebagai teks yang lemah oleh pengkritik, tetapi pada masa yang sama diterima sebagai pengalaman yang memuaskan oleh penonton.

Dalam hal ini, Michael menunjukkan bahawa budaya popular sentiasa bergerak antara dua kutub yang berbeza, iaitu antara keperluan untuk menilai dan keinginan untuk merasai. Pengkritik membaca filem sebagai teks yang perlu ditafsir, manakala penonton menerimanya sebagai ruang emosi yang menghidupkan semula nostalgia. Jurang inilah yang menjadikan Michael lebih penting dibaca bukan sekadar sebagai filem biografi, tetapi sebagai cerminan bagaimana budaya popular berfungsi dalam membentuk makna, ingatan, dan keterikatan emosi.

Dalam konteks yang lebih luas, Michael juga memperlihatkan bahawa filem biografi bukan sekadar menceritakan masa lalu, tetapi turut menentukan bagaimana masa lalu itu akan diingati. Sebagai penonton, kita bukan hanya menerima cerita tentang seseorang tokoh, tetapi juga menerima bentuk ingatan yang telah dipilih, dikemas, dan diwariskan melalui industri budaya.

Atas sebab itu, persoalan paling penting yang ditinggalkan oleh Michael bukanlah sama ada filem ini berjaya atau gagal, tetapi bagaimana kita memilih untuk mempercayai naratif yang dibentuk untuk dikenang. Dalam dunia budaya popular yang semakin dipenuhi imej dan nostalgia, tugas penonton bukan hanya menikmati, tetapi juga belajar membaca dengan lebih sedar, agar setiap kekaguman tidak memadamkan keupayaan untuk terus bertanya.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi