Mungkin penulis perlu memohon maaf kepada seluruh karyawan Kata Hati kerana skeptikal terhadap mutu filem tersebut. Penulis tertanya apakah yang akan dipertontonkan dalam filem ini menyebabkan tidak berminat menontonnya meskipun secara percuma!
Namun begitu, penulis tertarik akhirnya untuk datang menonton selepas melihat treler dalam media sosial tentang filem Kata Hati yang Mengisahkan seorang aktres popular tanah air menjalani penggambaran filem perang tempur bersama-sama pelakon lelaki yang juga kekasihnya.
Filem ini mengejutkan, dan di luar jangkaan penulis sama sekali. Boleh juga penulis katakan mungkin boleh menjadi antara pencabar kuat bagi kategori Filem Terbaik Festival Filem Malaysia akan datang!
Jalan cerita filem ini mengingatkan penulis pada “cerita berbingkai” atau “cerita dalam cerita”. Demikianlah filem romantik komedi arahan Nadiah Hamzah yang berjudul Kata Hati, yang berada di pawagam seluruh tanah air bermula 4 Jun 2026.
Selepas menonton, penulis tertanya bolehkah warga filem negara kita menerima dan berubah selepas ditegur, dan disindir oleh warga filem yang diketuai Aziz dalam filem ini? Mahukah mereka bermuhasabah dan berubah setelah melihat beberapa sikap, perlakuan, serta kata-kata watak dalam filem ini?
Antaranya, anak lelaki penerbit filem bergelar Dato’ boleh berbuat sesuka hati, “kaki perempuan”, tidak setia dalam percintaan, naik sebagai pelakon utama kerana ayahnya penerbit, boleh memecat pelakon sesuka hati, dan sentiasa berbohong kepada kekasih.
Sediakah warga filem tanah air (tetapi, bukan semua terasa) menerima kata-kata Aziz, seperti “Inilah pelakon sekarang…”, “Hai… pelakon aku ni…”, “Eh ni apa ni? Tak ada yang jaga set ke?”, dan “Inilah pelakon sekarang. Nak berlakon ke nak popular?”
Kata Hati cuba memberitahu, jika tiada pun “anak wayang” yang jujur, berbakat besar, berusaha keras, berprinsip dan tidak mengambil kesempatan seperti menjual maruah diri untuk naik, namun menyarankan agar sikap-sikap positif tersebut diteladani.
Hal tersebut ditegaskan menerusi kata-kata Ayra Natasha (Nia Atasha) kepada Zayn Mikhail, kekasihnya (Fazziq Muqris) selepas penggambaran Ops Kata Hati selesai.
Dia menegaskan hal sedemikian tanpa menyedari Dato’ (Razib Salimin), ayah Zayn, tiba-tiba muncul di hadapannya sambil berkata, “Wah, berani kamu buat kenyataan maut, ya Ayra”.
Walau bagaimanapun, Ayra tidak keseorangan kerana kakaknya, Maya (Scha Al-Yahya) yang menjadi pengurus, menyokong dengan menegaskan kepada penerbit itu agar menghormati pendirian Ayra jika berhajat mahu mengambilnya berlakon lagi.
Begitu juga dengan dialog Kak Long (Noreen Iman), “Im, kalau kau ada peluang untuk bahagia, ambillah” yang ditujukan kepada adiknya, Imran yang hampir putus cinta dengan Ayra.
Dalam dunia penuh kepura-puraan, Kata Hati menjadi naskhah yang seolah-olah mengingatkan bahawa cinta sejati tidak pernah memilih latar, sebaliknya lahir daripada keikhlasan paling dalam.
Surat Imran kepada Ayra pada penghujung kisah amat menyentuh, bukan sahaja hati pelakon popular tersebut dan Maya, malah hati penonton di pawagam. Pemuda berkenaan menyatakan suara hati, dan ketetapan perasaannya yang tidak goyang. Cintanya tulus dan padu, tidak seperti Zayn.
Imran tidak berlagak, sebaliknya merendah diri walaupun dia berpelajaran tinggi, dan bercita-cita menjadi jurubina. Sementelah kilauan dunia glamor sering memukau mata. Walau bagaimanapun, di sebalik semua itu, tersembunyi sisi manusiawi yang sarat emosi, dan rahsia hati.
Konteks sedemikian yang menjadi teras filem Kata Hati, yang dekat dengan kehidupan warga filem mutakhir.
Menggabungkan suka dan duka, tawa dan air mata, filem terbitan Wayangworks Sdn. Bhd. dan Filmscape Sdn. Bhd. ini tampil sebagai karya segar, menyulam kisah cinta luar jangka antara dua dunia, anak wayang/selebriti dengan individu biasa.
Muhammad Bahir (yang juga suami Nadiah) selaku penerbit turut mengakui idea penghasilan Kata Hati tercetus daripada pengamatannya terhadap kehidupan sebenar selebriti.
“Di sepanjang berada dalam industri, kami bertemu banyak selebriti dan melihat perbezaan antara persona di depan kamera dengan kehidupan sebenar di sebalik lensa,” jelasnya.
Jadi, tambah Muhammad, pihaknya mahu menghasilkan kisah di sebalik dunia glamor tersebut, disulami jalan cerita menghiburkan, dan dekat dengan penonton. Kata Hati, tambahnya, bukan sekadar kisah cinta, tetapi potret realiti kehidupan sebenar.
Penerbit Eksekutif, Juliana Foo pula menyifatkan Kata Hati yang menjalani penggambaran di Kuala Lumpur dan Kuantan muncul tepat pada waktunya ketika penonton dibanjiri karya aksi lasak dan seram.
“Filem ini membawa nafas “dongeng moden” dengan elemen percintaan berisiko tinggi, menyajikan momen indah, penuh emosi dan dekat dengan hati penonton, yang pasti akan merasai pengalaman manis bercinta dalam bentuk berbeza,” katanya.
Dari segi lakonan, penulis tidak tahu bagaimana Nadiah membentuk para pelakonnya. Dari watak utama hingga watak kru semuanya cemerlang. Lakonan masing-masing baik dan meyakinkan!
Namun begitu, setelah menonton, penulis faham mengapa Nadiah mempertaruh para pelakon baharu seperti Nia, Yusof, dan Fazziq, serta Noreen. Nadiah mengakui Nia, Yusof dan Fazziq masih baharu, tetapi kesungguhan mereka luar biasa dan komitmen yang diberikan sangat membanggakan.
Kata Hati bukan semata-mata hiburan, sebaliknya cerminan realiti kehidupan moden. Apa pun, kata Nadiah, beliau sengaja memilih pendekatan lebih ringan selepas mengarahkan beberapa naskhah berat sebelum ini, termasuk filem Motif (2019).
“Saya mahu hasilkan filem cinta ringan, tetapi tetap menyentuh jiwa,” ujarnya sambil berharap penonton dapat merasai kejujuran cinta dipaparkan, dan beramai-ramai menonton di pawagam.
Mengangkat genre romantik komedi, Kata Hati mengisahkan hubungan antara Ayra, aktres filem popular, dengan Imran, pemandu e-hailing.
Konflik timbul apabila kehidupan sempurna Ayra mula retak selepas insiden memalukan menjadi tular, iaitu Zayn kekasihnya berskandal dengan Linda (Nina KSC), pelakon pembantu Ops Kata Hati, sebelum takdir menemukan dirinya dengan Imran yang hidup sederhana tanpa pesona dunia hiburan.