Diterbitkan pada 3 Jun 2026, 14:52

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Polong memaparkan kisah tragis Maria Hadi, seorang pengamal ilmu hitam yang mencari keampunan di penghujung usia. Tindakan terdesak beliau melepaskan makhluk belaannya kepada orang yang salah akhirnya mengundang padah, apabila polong tersebut bangkit menuntut bela dan meninggalkan sumpah laknat yang menghantui warisnya.

Di sebalik kegelapan dan entiti yang menakutkan, teras utama dalam Polong sebenarnya adalah tentang “harga” sebuah keputusan. Filem ini menyampaikan mesej bahawa menjadi satu amaran keras bahawa pilihan yang salah pasti akan membuahkan natijah yang salah. Kesilapan yang dianggap remeh pada awalnya, akhirnya bertukar menjadi badai malapetaka yang tidak terkawal, memusnahkan sesiapa sahaja yang berada dalam lingkungan kesannya.

Dari segi lakonan tiada apa-apa yang perlu dipertikaikan lagi. Lakonan para pelakon boleh dianggap sebagai antara kekuatan utama filem ini. Setiap pelakon berjaya menyampaikan emosi ketakutan, tekanan, kemarahan dan penyesalan dengan berkesan sehingga penulis dapat merasai penderitaan yang dialami oleh watak mereka.

Filem seram merupakan antara filem yang mencabar dalam menyampaikan emosi. Emosi ketakutan bukan sahaja disampaikan melalui dialog, bahkan turut diterjemahkan melalui pergerakan tubuh, postur, ekspresi wajah dan bahasa badan

Dalam Polong, para pelakon menggunakan gerak tubuh yang mencerminkan keadaan psikologi watak mereka. Ketika berdepan gangguan makhluk halus atau konflik dalaman, riak wajah yang tegang, pandangan mata yang cemas, tubuh yang menguncup serta pergerakan yang tidak menentu berjaya menggambarkan ketakutan dan tekanan yang sedang dialami.

Penulis tertarik untuk mengulas perwatakan filem ini dengan satu teori yang dikenali sebagai Teori Fatal Flaw. Teori Fatal Flaw atau hamartia berasal daripada ideologi Aristotle, seorang ahli falsafah, yang menjelaskan bahawa kejatuhan seseorang watak sering berpunca daripada kelemahan atau kecacatan dalam dirinya sendiri.

Kelemahan ini tidak semestinya bersifat jahat, tetapi boleh berupa sifat tamak, terlalu percaya kepada orang lain, cemburu, keangkuhan, atau kegagalan membuat pertimbangan yang tepat. Kelemahan tersebut mendorong watak membuat keputusan yang salah, lalu mencetuskan rangkaian peristiwa tragis yang akhirnya membawa kepada penderitaan atau kehancuran.

Teori ini dapat dilihat melalui watak Fatimah dan Maria Hadi. Kedua-duanya menjadi mangsa kepada kelemahan diri yang membawa mereka kepada pilihan yang salah, sekali gus mencetuskan tragedi yang tidak dapat dielakkan. Bagi Fatimah, fatal flaw yang paling ketara ialah ketamakan terhadap harta dan kehidupan yang lebih mewah.

Keinginan untuk mencapai kesenangan material telah menyebabkan beliau mengabaikan pertimbangan yang rasional dalam memilih pasangan hidup. Ketamakan tersebut membutakan penilaiannya terhadap karakter sebenar individu yang dipilih, sehingga beliau terjebak dalam hubungan yang akhirnya membawa penderitaan dan kemusnahan kepada dirinya sendiri.

Dalam konteks hamartia, kejatuhan Fatimah bukanlah semata-mata disebabkan oleh nasib malang, tetapi berpunca daripada kelemahan dirinya yang gagal mengawal keinginan terhadap kemewahan dan akhirnya jatuh pada janji palsu.

Maria Hadi pula memperlihatkan bentuk fatal flaw yang berbeza. Kesilapan utamanya ialah membuat pilihan yang didorong oleh emosi dan pertimbangan yang tidak tepat sehingga mengakibatkan kematian insan yang tidak bersalah. Tindakannya bukan sahaja memberikan kesan kepada mangsa, malah meninggalkan beban psikologi dan rasa bersalah yang berpanjangan terhadap dirinya sendiri.

Akibat daripada keputusan tersebut, Maria terpaksa hidup dalam ketakutan dan dihantui oleh perbuatannya. Dalam kerangka teori hamartia, tragedi yang menimpa Maria merupakan manifestasi akibat daripada satu kesilapan besar yang berpunca daripada kelemahan pertimbangan dirinya.

Melalui watak tersebut, filem Polong memperlihatkan bagaimana satu kelemahan peribadi boleh berkembang menjadi punca tragedi yang lebih besar. Fatimah dan Maria bukan sekadar berdepan ancaman supernatural, malah berhadapan dengan akibat daripada pilihan yang mereka lakukan sendiri.

Oleh itu, unsur seram dalam filem ini bukan sahaja datang daripada gangguan makhluk halus, tetapi juga daripada hakikat bahawa setiap keputusan yang salah mempunyai harga yang perlu dibayar. Fatimah dibelenggu akibat ketamakannya, manakala Maria dihukum oleh rasa bersalah dan trauma yang lahir daripada kesilapannya sendiri. Kedua-duanya menjadi contoh jelas bagaimana fatal flaw berfungsi sebagai pemangkin kepada tragedi dalam naratif seram.

Melalui lensa teori Moral Criticism, nasib yang menimpa Fatimah dan Maria boleh dilihat sebagai bentuk pengajaran moral. Fatimah menerima akibat daripada ketamakan dan kecenderungannya menilai kebahagiaan melalui kekayaan material.

Maria pula terpaksa berhadapan dengan hukuman emosi dan psikologi akibat kesilapan yang menyebabkan orang lain menjadi mangsa. Kedua-dua watak ini memperlihatkan bahawa setiap tindakan mempunyai akibat, dan kesan daripada keputusan yang salah bukan sahaja menimpa diri sendiri, malah turut merosakkan kehidupan orang lain yang tidak bersalah.

Oleh itu, Polong wajar ditonton bukan sekadar sebagai sebuah filem seram yang memaparkan unsur mistik dan gangguan makhluk halus. Di sebalik elemen seramnya, filem ini mengangkat persoalan tentang pilihan hidup, tanggungjawab moral, ketamakan, rasa bersalah, dan akibat daripada tindakan manusia.

Seram yang dipaparkan bukan hanya datang daripada kewujudan polong atau makhluk halus, tetapi juga daripada hakikat bahawa manusia sering menjadi pencetus kepada tragedi melalui kelemahan dan kesilapan mereka sendiri.

Kekuatan Polong terletak pada kemampuannya menggabungkan hiburan dengan pengajaran. Filem ini mengingatkan penonton bahawa setiap pilihan yang dibuat mempunyai kesan, dan kadangkala akibat daripada satu keputusan yang salah boleh terus menghantui seseorang sepanjang hayat.

Inilah yang menjadikan Polong lebih daripada sekadar filem seram,  dan merupakan sebuah naratif yang mengajak penonton merenung nilai moral dan tanggungjawab terhadap setiap tindakan yang dilakukan.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi